Thursday, 8 September 2011

Hilang nilai

Aku kira-kira, congak dengan tangan, bayangkan sifir darab dengan otak, pura-pura bijak dalam aspek nombor, tentang nilai-nilai yang perlu ada dalam diri manusia. Diam. Lesu. 

Kesedaran tentang pentingnya nilai menghormati diri sendiri / orang lain, jujur, sabar, toleransi, adil, yakin pada diri sendiri dan segala macam lagi nilai baik yang berkali-kali diulang oleh ibu bapa, guru dan yang sewaktunya dengannya makin kurang dalam diri insani sekarang. Hiba hati bila ingat adanya  penderaan anak / isteri/ bapa, pembuangan bayi, penderaan seks, fitnah, penipuan, pembunuhan, penculikan dan aku rasa pemerdagangan manusia adalah isu yang dulu kita tidak percaya tapi dengan adanya  jumlah 2.5 juta orang yang telah diperdagangkan di seluruh  dunia memang sangat menakutkan dan mengerikan aku. Orang jual orang. Dipakai sehingga habis. Bagi aku, itu kejam.

Dengan berita yang kita baca dan dengar hari-hari jelas sangat menunjukkan yang nilai kemanusiaan semakin menipis sama seperti menipisnya lapisan ozon atmosfera. Mungkin benarlah, dunia semakin hampir untuk kiamat. Diam-diam aku dengan  insiden rabun nilai macam ini. Kegilaan manusia semakin menjadi-jadi. Perlu dikaji sebenarnya, apa yang mendorong dan jadi pemangkin manusia rabun nilai ini untuk terus menolak nilai baik dalam hidup. Mungkin, ini boleh jadi kajian menarik bila aku buat master atau PHD. Mungkin. 

Melatih orang untuk punya nilai baik dalam diri bukannya senang. Dari kecil kena pupuk, latih dan perhati. Pemantauan sangat penting dibuat oleh ibu bapa terhadap anak masing-masing. Bukan saja orang lain malah ada juga saudara sendiri yang hancurkan nilai baik. Berpura-pura baik, talam dua muka tapi sebenarnya sudah ada rancangan untuk jual anak saudara sendiri. Itu sudah melampau. Tapi, itu juga hakikat hidup dalam era teknologi maklumat ini.

Cabaran makin jelas bila tugas untuk membentuk nilai ni ada di bahu aku. Sekarang ni, budak semakin bijak. Kadang-kadang jauh lebih bijak dari cikgu. Mereka serba pintar terutama dalam dunia teknologi. Sebab tu, penerapan nilai-nilai murni sangat perlu untuk mereka dari kecil. Diajar untuk jaga diri sendiri di mana-mana pun mereka berada.

Semua orang berpotensi untuk diperdagangkan, tidak kira kanak-kanak, perempuan atau lelaki. Sebab itu, semua orang pun kena berhati-hati. Benda ni lah yang dorong aku untuk selalu buat post mortem untuk adik-adik aku. Dengan siapa mereka berkawan dan pergi, aku akan awasi dan tanya sampai puas hati. Ini hal kronik. Masalah dunia sejagat yang semua orang kena alert sebelum terkena. Ia semakin hampir dengan kita. Sangat hampir dan ia memberi rasa tidak selamat lagi. Betul. 

Aku buat entri ini dengan fikiran bercelaru. Macam perkara aku fikir selepas dengar ceramah pemerdagangan manusia dalam bengkel tadi. Aku mahu berkongsi dengan semua. Kes-kes yang ada sekarang bukan saja menakutkan tapi aku harap aku sendiri, keluarga dan semua orang berhati-hati selalu. Alert. Sesiapa pun boleh jadi mangsa.

Manusia yang diperdagangkan dijadikan buruh untuk bekerja

Mereka dijadikan pelacur
Kanak-kanak dikurung, dijadikan peminta sedekah dan ada yang jadi mangsa pemindahan organ.

No comments:

Post a Comment

sponsor by:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...