Monday, 17 October 2011

Perasan muda


Cepatnya masa berputar. Bulan November akan datang dalam beberapa hari lagi. Bulan yang aku nanti setiap tahun. Suka dan teruja bila ia datang. Mungkin disebabkan oleh itu bulan yang telah menamatkan keperitan dan kesusahan mama selama 9 bulan kandung aku ke sana ke mari. Dan, bulan itu beri aku satu nafas untuk merasa keberadaan hidup di sini. Tapi, bukan hal ini yang aku mahu jadikan sebagai satu penulisan. Itu hanyalah metafora. Dan, isi penulisan aku adalah semua figura di bawah.

Figura ini adalah momen-momen bersama kanak-kanak ribena yang selalu buat aku gembira. Ada masanya, aku rasa aku marah, ada masanya aku sebal dengan mereka tapi, banyak masanya aku akan ketawa dan berlagak seperti sama umur seperti mereka. Perasan muda. Bulan depan, bulan November, hari terakhir bersama mereka. 

Ada seorang antara mereka pernah berkata: jiwangnya aku menulis di dalam blog. Aku senyum dan ketawa. Selalunya, aku cuba untuk menulis seperti biasa dan aku selalu berharap yang aku akan menggunakan Bahasa Melayu standard untuk meletakkan blog aku tidak merapu seperti dahulu. Oh ya, maksud aku, merapu di dalam blog pertama aku. Penggunaan bahasa aku teruk dan bila aku baca semula, aku seolah-olah tidak percaya, penulisnya adalah aku. Dari penulisan, orang akan dapat nilai macamana pemikiran dan kupasan kita. Itu yang cuba aku tekankan. Mungkin jiwang bagi mereka kerana aku menggunakan bahasa standard tapi bagi aku, itu adalah percubaan aku untuk terus mengekalkan bahasa sendiri. Aku sedang mencuba untuk menulis dengan santai dan seikhlas hati.

Di akhir penulisan ini, aku doakan kamu semua akan berjaya di dalam meneruskan keberadaan hidup di tempat lain. Bila masuk sekolah menengah nanti, teruskan berusaha hingga berjaya. Kalau mahu orang lain hormati kamu, hormatilah juga orang lain. Sayangi diri sendiri dahulu sebelum kamu sayang cinta dengan orang lain. Kalau ada cinta hati kamu buat masa sekarang, seawal umur begini, selalu percaya, kalau ada jodoh takkan ke mana. Jangan terlalu berharap dan cubalah untuk berjaya dalam hidup terlebih dahulu. Capai cita-cita dan jadikan impian kamu sebagai realiti. Kalau cinta kamu yang ada sekarang berjaya hingga ke jinjing pelamin, kirimkan kad jemputan nanti. okay.^_^






















2 comments:

sponsor by:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...