Monday, 31 October 2011

Sakit 2.0

[google]


Alhamdulillah, sakit yang perit untuk aku jalani sudah beransur pergi. Begitu cepat Tuhan tarik nikmat kesihatan dan begitu cepat juga DIA ganti dengan nikmat sihat. Mungkin, aku lupa untuk bersyukur dengan nikmat ini kerana itulah Tuhan uji aku dengan sedikit sakit begini. Syukran Jazilan, Ya Allah.

Ironi di sebalik nikmat ini, aku terus lagi diuji dan diuji. Kali ini untuk membuat keputusan. Dan, aku tahu keputusan yang aku buat akan beri satu kesan pada diri aku atau pada mereka. Kalau aku pilih untuk diri aku: mereka kecewa. Dan kalau aku pilih untuk mereka: aku pula kecewa. Di sini tiada  situasi menang-menang. Hanya ada satu pihak sahaja. 

Sudah penat aku memikir. Mencari sedikit ruang untuk bernafas dan mengharapkan ada seseorang yang bisa menghulur bantuan. Tapi, hingga ke saat aku menaip penulisan ini, keputusannya masih begitu. Masih tidak bertukar dan masih membikin hati aku terus berkecamuk pada tahap yang tiada tara. 

Terlalu sukarkah untuk membuat pertimbangan untuk aku di dalam tugasan itu? kenapa aku diminta untuk membuat keputusan sedangkan mereka tahu keputusan itu memang tidak akan mendapat konsensus daripada sesiapa. Itulah budaya yang aku belajar di sini. Dan, apalah kuasa yang ada pada seorang seperti aku, yakni sekadar picisan yang tidak punya apa-apa untuk dijadikan sebagai sandaran supaya ada yang sudi berkata: saya setuju. Atau, akukah yang masih takut untuk bersuara meminta bantuan walaupun aku tahu jawapannya adalah: saya tidak bersetuju. 

Lalu, pabila aku sendiri sudah tahu jawapannya begitu dan begitu, perlukah lagi aku mencuba dan membuang masa untuk meminta? Ini adalah ujian untuk minda aku berfikir secara logika dan cubaan untuk melihat sejauh mana aku berani untuk bersikap asertif pada diri sendiri. 

Kuasa veto tidak ada pada aku. Kalau ada kuasa veto itu, aku tidak akan jadi begini.
Ya Allah, Engkau permudahkanlah urusanku, lapangkanlah dadaku. Moga-moga akan ada insan mulia yang menghulur bantuan di saat-saat nafasku sudah sampai di kerongkong. Aku sudah tidak berdaya untuk berfikir. Aku penat merungut sendiri. Aku menangis tapi, mereka masih juga tidak mengerti atau mungkin mereka pura-pura untuk tidak memahami. Aku benci. Sakit begini. Cepatlah masa berlalu, biar ujian ini pergi walaupun aku masih tidak tahu sama ada aku lulus atau gagal.

No comments:

Post a Comment

sponsor by:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...