Saturday, 15 October 2011

senang cerita


[sumber gambar]


Hujan lebat di luar rumah. Aku menghadap laptop dan cuba untuk menaip sebuah penulisan petang ini. Tugasan yang ada, aku andaikan aku sudah buang jauh-jauh. Untuk seketika kerana aku rasa ini adalah momen untuk bertenang. Membogelkan segala kekusutan di dalam minda. Aku sudah cakap tanpa kias dengan si dia akan setiap permasalahan dari sikap tidak ambil peduli mereka. Biar aku namakan mereka itu mereka. Usah terlalu telus bila menulis begini. Susah. Mahu tempah masalah ke mahkamah? Gilakah?.

Mengenang semula zaman masa mentelaah pelajaran, jiwa muda yang tidak sabar untuk merealisasikan impian berkerjaya. Amboi. Suka. Kemudian, pabila sudah berkerjaya, mahu pula belajar semula, muda seperti yang sebelumnya. Berfesyen seperti orang muda. Tiada istilah warna tua untuk yang veteran. Terang-terang saja. Nampak sangat manusia itu tidak pernah kenal erti puas. Selalu mahu saja. Selagi ada nafas dihembus, selagi itu setiap kemahuan mahu diikut. Ya, uniknya manusia.

Sejujurnya, aku tiada ada idea yang berharga bagaimana untuk mendidik jiwa muda ini. Ada sikap luar biasa yang sukar untuk aku olah menjadi biasa. Kalau aku kata biadap, aku melampau pula. Tapi, itulah hakikatnya yang ada. Aku rasa, sabar saja tidak cukup kuasa untuk jadikan mereka manusia beradab. Harus ada tekniknya. Mana mungkin aku mahu mandrem mereka. Berdosa.

Oleh itu, aku perlu memulakan pencarian untuk teknik menawan hati mereka. Aku tidak suka bermuka-muka. Kalau aku tidak suka, aku tunjukkan. Aku suka, aku tunjukkan juga. Jadi, apa pun caranya aku masih mencuba. Tapi, kalau teknik masih gagal, aku serah saja pada logika mereka, kalau mahu jadi orang yang berguna, belajar untuk berperaturan dan kalau mahu jadi orang tidak berguna, persetankan peraturan. Senang cerita.

No comments:

Post a Comment

sponsor by:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...