Monday, 10 October 2011

Sepi

Sumber gambar: http://koleksicinta.co.cc
Sakit rasanya bila perlu melalui setiap fasa bersendiri. Bukannya aku tidak ada kesabaran malah setiap saat aku berdoa supaya kesabaran itu tetap milik aku selalu. Dan tidak terhitung rasanya berapa ramai yang selalu mengingatkan aku supaya bersabar di dalam menghadapi  kronologi hidup yang seterusnya. Aku gembira kerana masih ada yang sudi memberi peringatan bahawa sukar macamana pun perjalanan esok hari, aku kena kuat dan terus senyum tanpa henti. 

Tapi, adakalanya, aku rasa aku tidak cukup kuat untuk bersabar. Sampai masanya aku akan sebak, terasa, sedih dan akhirnya aku pun tewas dengan airmata yang payah benar untuk dihentikan alirannya. Aku cuba untuk tidak bimbang bila perjalanan dia perlu diteruskan. Kalau boleh aku akan berdoa selagi aku belum terlena supaya dia selamat sampai di destinasi. Kerisauan yang selalu buat aku seolah-olah menghalang dia untuk tidak balik dan ia adalah saat yang paling aku tidak suka.

Episod airmata begini juga akan selalu mengingatkan aku kepada beberapa orang kawan yang senasib dengan aku. Sendiri dan ada yang anak pun terpaksa ditinggalkan kerana adanya kekangan tempat kerja yang jauh di pedalaman. Kemudian dari itu, aku dapati, setiap orang ada permasalahannya sendiri. Aku tahu, mereka juga ada pengalaman rasa sendiri. Dengan itu lalu, aku terima keadaan aku dan dia seadanya. Kami jauh di mata tapi dekat di hati. 

Jauh di sudut hati, aku sakit sendiri di tempat orang. Aku mencari kawan untuk bersosial tapi semuanya ada komitmen dengan keluarga sendiri. Jadi, aku hanya tunggu dia datang untuk jadi teman aku bersosial a.k.a menjalankan tanggungjawab aku sebagai isteri untuk dia sepanjang dia ada di sini. Di dalam keadaan seperti ini, ia sekali lagi akan mengingatkan aku dengan kawan-kawan lama yang aku tinggalkan nun jauh di Sabah. Aku percaya, kalau ada kalian bersama aku sekarang, hidup aku tidaklah sebosan ini bila dia tidak ada. Menariknya, ada orang kata, kalau aku ada anak, mungkin aku tidaklah bosan lagi dan Insyallah mudah, mudahan saja Tuhan makbulkan doa aku, suami, keluarga dan kawan-kawan untuk aku dapat zuriat sedikit masa lagi. Amin.

Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Aku harap-harap aku cukup kuat untuk bertahan dengan ujian ini. Seberapa banyak aku dan dia bersabar, sebanyak itulah pahala yang akan kami kumpul. Cuma, aku yakin ada tolak tambahnya pahala aku bila ada masanya aku lupa dan mengeluh kerana diberi ujian begini. Manusia mudah lupa dan itu salah satu sikap aku. Semoga aku selalu tegar dengan setiap halangan kerana aku tahu aku tidak akan diuji melebihi daripada apa yang aku mampu lakukan.

google

No comments:

Post a Comment

sponsor by:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...