Sunday, 18 December 2011

Aku gembira tengok kau bahagia.


Ketika ini, di sudut mana pun aku berada, aku masih letakkan setiap keperitan dan kesengsaraan yang aku pernah lalui di bahagian yang selalu aku jenguk. Susahnya aku pada masa lalu kadang-kadang terus menjadi satu keinsafan pada diri sendiri bahawa kehidupan ini bukannya untuk merasa bahagia saja tapi ia perlu dirangkul dengan rasa kepayahan yang berganda-ganda. Kalau saja mereka-mereka yang pernah ada bersama aku dulu dapat mengimbas kembali waktu-waktu tersukar di dalam  pencarian kejayaan dan kebahagiaan aku, aku pasti, akan ada air mata jatuh lagi menitik di pipi. Sedangkan ketika ini pun, bila bercerita dengan si dia, ada air yang masih bergenang di kelopak mata. Rasa-rasa itu sangat menyakitkan dan ketika itu, aku boleh umpamakan yang aku tidak akan pernah merasa untuk bahagia. 

Untuk satu ketika, apabila kasih sayang dijadikan sampah, pengorbanan ditukar menjadi penyeksaan, kawan menjadi musuh dan kejayaan jadi satu cabaran untuk diatasi, aku semacam gila. Bagaimana aku mahu teruskan kehidupan sebegitu?. Menangis usah dibicara, itu rutin yang paling menyebalkan selama aku berhidup. Dalam jiwa aku ada sakit yang tiada sembuh, ada luka yang amat parah dan ada dendam yang terus membiak. Penipuan dan ketidakjujuran adalah racun yang menjadikan aku menyimpan amarah yang cukup panjang. 

Cuma, mujur saja,  keajaiban itu datang bergolek seperti bulan jatuh ke riba. Aku terlalu lama terpuruk dan setelah aku buka pintu yang lain, barulah aku dapat lihat, yang ada sesuatu untuk aku di sana. Dalam penghidupan, aku terlalu mengharapkan pada keajaiban pabila aku sudah tiada daya untuk terus bernafas dengan selamat. Aku berserah dan bertawakal seratus- peratus pada DIA. 

DIA memberi bukan sedikit tapi terlalu banyak. Aku dipertemukan dengan orang yang salah sebelum aku bertemu dengan  tuan empunya tulang rusuk kiriku. Demi Tuhan, aku syukuri kurniaan-NYA kerana jadikan aku sebahagian dari tulang rusuk dia. Dengan dia, aku menginsafi diri, masih ada yang mampu untuk sayang dan jujur dalam episod-episod cerita aku. Kemudian, dia berikan aku satu lagi nafas lega untuk punya profesi dan itu adalah satu hadiah yang tidak ternilai untuk aku dan keluarga. Betapa tidak, aku selalu mengenangkan nasib aku dan DIA beri satu persatu. Alhamdulillah, itu adalah ganjaran atas kesabaran dan aku berterima kasih pada setiap derita yang aku pernah lalui. Kerana derita-derita itu, aku berdiri sebagai aku sehingga kini.

Dan, aku juga terharu bila ada kawan yang berkata: ' aku gembira tengok kau bahagia '. Katanya, itu adalah balasan selepas keperitan yang aku lalui sebelum ini.

Sekarang, aku sedang berusaha untuk meneutralkan segala rasa negatif dan menikmati kehidupan bahagia aku seadanya. Di hadapan aku, akan ada cabaran yang akan selalu datang menguji. Insyallah, selagi nafas ini terhembus, aku akan terus kuat selagi ada DIA yang berhak aturkan setiap pemulaan, keberhasilan dan pengakhiran hidup aku.

Terima kasih kawan.


No comments:

Post a Comment

sponsor by:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...