Friday, 30 September 2011

Ketakutan

google
( Berdua itu baik tapi bukan untuk berkata-kata tidak baik )

Ketakutan tiba-tiba datang menyerang perasaan yang sedang tenang. Sesaknya dada mendengar kata bila ada yang cuba menjatuhkan orang lain. Lemah seperti mahu ambil batu letak di dalam telinga sebagai penghalang untuk tidak mendengar setiap kata yang terucap. Tergamam dengan situasi ini. Aku berharap agar selepas ini, bukan telinga aku yang digunakan sebagai pendengar. Aku tidak sanggup. Berkatalah dengan mereka yang boleh memberi jawapan terbaik. Aku tidak sempurna untuk berkata apatah lagi memberi jawapan. Jauh selagi untuk menilai perkara yang sebelumnya aku tidak ada. Aku hanya musafir di sini.

Thursday, 29 September 2011

Mungkin


Ada masanya, idea ada tapi gagal untuk dijadikan sebuah penulisan yang ada nilai. Buntu. Mungkin tiada fokus yang secukupnya untuk sesuatu perkara. Bak kak adik ipar aku, makanlah pisang selalu untuk mendapatkan fokus yang baik. Aku liat sedikit untuk beli pisang di sini walaupun itu adalah buah kecintaan aku. Agak mahal dan itu alasan yang paling lazim untuk orang seperti aku yang sebenarnya malas untuk membuat pembelian yang agak murah di pasar Satok. Pasar minggu yang terkenal di Kuching tapi boleh dikira dengan jari jumlah lawatan aku ke sana. Sesak dan panas. Aku alah. 

Percubaan untuk bermain dengan gambar, mungkin boleh menampakkan sedikit percubaan untuk menceriakan hari-hari aku. Kelam sebenarnya. Entah, bila akan terus cerah tanpa ada kabut bersama-sama. Bagus juga. Aku mahu terus percaya, sedikit masa lagi, akan terbuka pintu ketawa untuk aku. Mungkin esok atau mungkin selepas aku buat entri ini.

Menunggu.

Aku mahu gambar ini yang berkata-kata:



Tuesday, 27 September 2011

kejujuran

GOGGLE
Beri hati dengan jujur



Sedari kecil, aku dididik untuk bersikap jujur pada diri sendiri dan orang lain. Aku tahu, semua orang pun diajar begitu. Jelasnya, sinteron atau drama yang selalu dipertontonkan saban hari menunjukkan untuk  meneruskan kelansungan hidup, kita harus jujur. Tapi, kata seorang kawan, tidak perlu terlalu jujur jika mahu terus berada di bumi ini. 

Aku teringat tentang cerita Pak Pandir. Lurusnya Pak Pandir selalu dianggap kepada kejujuran yang tiada logika. Dia jujur dan lurus bendul namun, akibatnya boleh memusnahkan kehidupan sendiri atau yang lain. Rasanya tidak perlu aku memberi contoh cerita Pak Pandir kerana kalau tidak kerana terkenalnya Pak Pandir, mana mungkin ada sampai ada pepatah lurus bendul seperti Pak Pandir.

Bagi aku, perlakuan yang dilakukan selama keberadaan bila bangun pagi dari tidur adalah bermula dari niat. Orang kata, biar apapun yang kita buat, betulkan niat terlebih dahulu. Tapi, adakalanya bila aku jujur, ada pula yang tidak dan bila orang lain jujur, mungkin aku pula yang bersikap kurang jujur. Seperti yang aku katakan tadi, antara elemen untuk terus hidup, pilihan ada di dalam tangan masing-masing. Pilih saja sama ada terus jujur atau seimbangkan  sedikit jujur dan tidak jujur. Selebihnya, dikembalikan kepada ketentuan Tuhan untuk berikan markah pada borang daftar masuk sikap kita.

Monday, 26 September 2011

sahabat

google



Hampir sedekad lebih berlalu, aku cuba untuk mengenang kenangan dulu. Ada beberapa orang kawan baik yang aku sayang seperti saudara sendiri mahukan aku mengenang tentang rentetan kronologi hidup yang pada kami, itulah cerita menuju alam remaja yang terindah sepanjang masa.

Perkenalan sewaktu hari pertama masuk sekolah yang agak menerujakan dan di tambah lagi dengan rasa takut, cemas dan malu datang berlapis-lapis di dalam diri. Kali pertama bertemu, kekok jangan cakap. Kelu seribu bahasa. Hanya senyuman yang jadi seperti tangan menghulur salam. 

Keberadaan di sekolah menengah bersama kawan baru seperti mereka meninggalkan memori suka duka hidup dalam menjalani fasa hidup yang seterusnya. Aku suka dan gembira. Tidak pula terfikir, beginilah sudah kehidupan kami. Belajar, bekerja dan bertemu jodoh. Kita menangis dan ketawa bersama. Makan sepiring, tidur sekatil. Berkongsi bantal dan selimut. 

Kenangan di asrama yang selalu bikin tersenyum sendiri bila teringat masa sembunyi di dalam loker asrama gara-gara ponteng kelas prep malam atau petang. Warden cucuk lubang loker pakai lidi barulah terjerit-jerit. Seperti kata kawan baik aku, nining, masa tu, kesedaran sivik kami masih kurang. Sekarang barulah terfikir, kenapa cikgu larang sembunyi di dalam loker atau tidur di dalam loker sementara yang lain pergi kelas?. Rupa-rupanya, bayangkan kalau ada kebakaran atau kecemasan yang sungguh tidak berbau, bukannkah itu mengundang bahaya pada nyawa sendiri? aku dan kawan yang lain geleng kepala. Ketara sangat usia sebegitu selalu tidak berfikir panjang. Mahu mudah saja.

Okey, aku cuba untuk mengimbau kenangan. Satu persatu datang. Tapi, aku mahu limitkan setakat itu saja untuk entri ini. Disambung bila ada kelapangan. Kerana, bayaran untuk setiap kenangan tiada harganya. Itulah yang banyak mengajar erti hidup sehingga jadi seperti sekarang.

Tahun ini, selepas meninggalkan tahun 1995- 2010, hanya 2 orang saja lagi yang belum berumahtangga. Ninah, rohaidah, dewi, aku selalu doakan kamu bertemu jodoh secepat mungkin. Mana tahu, kita boleh dukung anak bersama-sama dengan umur yang sama. Mungkin juga, generasi inilah, maksud aku, anak-anak kitalah (senyum) nanti yang akan mewarisi segala kenakalan dan kecerdikan kita. Aku senyum.  Banyak erti untuk kenakalan dan kecerdikan itu untuk kita.

Ada masa, aku buka buku lama kita. Linda, haliza, aizan dan nining, semoga kalian selalu hidup bahagia di samping suami tersayang. Aku ingat kalian seperti aku mengingati hari pertama perkenalan kita. Rindu.

p/s andai ada teman yang tidak tertulis namanya, maafkan aku. aku bercadang untuk meletakkan nama kalian pada cerita seterusnya.

kecuaian




Sama ada sikap ini sudah sebati dalam diri atau hanya sekadar sikap yang berlaku akibat kurangnya kesedaran akan keselamatan, aku pun kurang pasti. Aku jadi agak hairan dengan sikap diri sendiri. Menakutkan empunya diri dan juga mereka yang sayangkan aku terutamanya si dia. Insan belahan jiwa yang selalu ada setiap masa dan ketika. Seperti yang sudah dicatatkan bila dia ditakdirkan untuk membimbing dan didik aku yang serba serbi ada kurang dan lemahnya di mana-mana. Maka, kesyukuran itu aku selalu panjatkan untuk Ilahi. Segala puji untuk Allah, Tuhan sekalian alam.

Mengutarakan isu tentang sikap ni, aku mulai sedar akan keburukan sikap cuai. Aku cuba untuk tidak menyentuh sikap dalam bekerja tapi ini soal sikap kecuaian aku di rumah. 

Beberapa lama dahulu, aku selalu masak air guna cerek biasa, aku lupa yang aku masak air sehinggalah air di dalam cerek tu kering dan bau terbakar seluruh rumah. Aku berlari ke dapur dan padamkan api. Perkara ni berlaku berulang kali dan semuanya akibat aku lupa.

Kemudian, sebelum pergi kerja, aku akan ke tandas dan aku selalu lupa padam lampu tandas tu sebab lazimnya aku akan kelam kabut untuk pergi ke tempat kerja. Takut pada insiden sesaknya jalan raya. Konon.

Selepas itu, Aku juga sudah beberapa kali lupa padamkan kipas di ruang tamu sebelum pergi kerja. Bila sampai rumah, kipas terus berpusing ligat dan bayaran elektrik memang meningkat saban bulan.

Dan pagi tadi, aku goreng cucur udang, bila sudah masak, aku toskan dan masukkan di dalam bekas untuk bawa bekal ke tempat kerja. Aku bersiap di bilik sehinggalah aku tercium bau terbakar dan rumah berasap. Aku berlari ke dapur dan rupa-rupanya aku lupa tutup api selepas masak cucur tadi. Minyak sudah jadi hitam dan berasap seluruh dapur.

Aku berishtighar banyak-banyak. Kecuaian demi kecuaian aku buat.  Semua akibat aku LUPA. Bila aku fikir-fikir dengan semua insiden yang pernah aku lalui memang sah bahayanya sikap pelupa ni. Mujur saja Tuhan masih selamatkan aku.

Kemudian bila aku ingatkan diri, aku takut untuk jadi terus begini. Perlukah aku makan kismis dan madu banyak-banyak untuk memastikan memori aku tidak terus terganggu? Dan sebenarnya, aku teringat kata-kata seorang kawan, bila seorang perempuan melahirkan anak, banyak urat-urat saraf dia yang akan terputus dan itulah kadang-kadang yang menyebabkan seorang perempuan makin pelupa. Kalau begitulah, berapa banyak kelupaan lagi yang aku akan alami selepas melahirkan anak nanti? 

Mudah-mudahan saja, aku mampu memulihkan ingatan ini seperti sediakala. Amin.


Sunday, 25 September 2011

darah



Dalam kelansungan hidup. aku selalu percaya setiap keindahan akan diuji dengan keburukan rupa sesuatu kejadian yang tidak akan dapat digambarkan oleh mata kasar manusia. Kalaulah saja, aku boleh memastikan keindahan itu akan berlansung begitu saja tanpa ada yang mampu menukarnya menjadi tragedi ngeri, mungkin aku adalah insan terpilih yang punya keupayaan itu. Cuma, sehingga sekarang ia hanya imaginasi yang terlalu tinggi untuk digapai oleh manusia seperti aku. Dalam perlakuan bila melakukan kesilapan, aku hanya mahukan kemaafan. Sesakit manapun aku, kalau saja ada kemaafan, jiwa aku yang bukannya sekeras mana pun akan lembut juga. Aku punya hati sensitif yang bila kamu hirisnya, ia berdarah dan darah akan terus mengalir sehingga kamu jugalah yang menghentikan darah itu. 

Thursday, 22 September 2011

tudung ekpress atau hijab lilit

Lilit atau belit, bagi aku itu sama saja. Bila memakai edisi selendang berbelit-belit walaupun sudah memang memakainya hari-hari, aku tahu ada yang pandang semacam. Aku berkira-kira sendiri. Bukan lagi mencongak kerana aku agak bebal dengan nombor sedari dulu. Kontra dengan si dia, suami yang begitu tahu mengira pakai otak tanpa pakai tangan seperti yang aku selalu lakukan. 

Kata mereka: tengoklah nanti, bila sudah ada anak, dapat kah tidak belit tudung lagi macam ni lagi.  atau: eh, berapa jam lilit tudung tadi? 
Dengan lilitan begini, gunalah dialog di atas

Sebenarnya dan sejujurnya, aku masih berfikir apa maksudnya kata-kata begini. Ia sekadar kata atau pun ada maksud tersirat. Jawapan apa sebenarnya yang mereka mahu aku jawab? Okey, aku positif begini, itu gurauan semata-mata. Tapi, kalau aku cuba berada di sebelah negatif, itu satu cara untuk memerli aku. Tengok, sampai ke situ aku bawa perkara ini. 

Bila ada sekali dua aku pakai tudung ekpress, mereka kata: eh, muka nampak lainlah pakai macam ni. Macam orang tua. Mereka kata: tak sesuailah pakai tudung ni ( tudung ekspress lah tu). Tak cantik.


sudah tua?

Tapi, bila aku pakai selendang / shawl dan berlilit-lilit tidak kisahlah seperti mana lilitan aku, mereka akan tegur juga seperti kata mereka yang aku sudah taipkan di atas. Oh, aku tidak faham. Atau aku yang sensitif? Tapi, setakat ini, setiap kali mereka memberi komen perihal tudung ekpress dan tudung lilit tu, aku selalu senyum dan menjawab dengan sebaik-baik jawapan seperti ini:  Tengoklah nanti macamana kalau saya sudah ada anak (sambil ketawa)  atau eh, saya lilit tidak sampai pun 5 minit ( sambil senyum) atau eh, ya ke, nampak tua? lepas ni, saya tidak akan pakai tudung ni lagi lah ( sambil senyum juga)

Sehingga ini, aku tidak faham tapi aku masih aku. Kamu cakap apapun, inilah aku. Aku dengan duniaku. Aku memakai dengan penuh keselesaan tidak kira apa sekalipun.

Sekurang-kurangnya aku masih bersyukur dan rasa dihargai kerana hari guru yang lepas, hadiah yang paling banyak aku terima ialah selendang dari murid-murid dan aku bertuah kerana punya kawan seperti kak siti, zie dan nining kerana tidak lokek untuk berikan aku selendang walaupun bukan hari jadi aku. Nampak sangat yang mereka faham akan kecintaan aku terhadap benda ini. Terima kasih. 

belum selesai

GOOGLE


Mulanya, aku berharap untuk dapat menyelesaikan 2 kerja dalam satu masa seperti yang aku sudah catatkan dalam entri semalam. Tapi, tanpa kemahuan aku, 2 kerja menjadi 4 dan ianya buatkan aku tarik nafas untuk bertenang tanpa henti dan berharap semoga tuan besar aka big boss tidak dengar akan hembusan nafas aku yang seperti semput. 1 laptop dan 1 komputer di atas meja. Sekejap aku beralih guna laptop, sekejap pula guna komputer. Eh, macam wanita besi yang sebenarnya bukan besi.

Aku cuba untuk mengaku dalam hati yang aku boleh sempurnakannya seawal yang boleh. Okey. Nampaknya, misi aku gagal. Mungkin kerana taktik yang agak lemah ditambah lagi dengan masalah-masalah lain yang membuatkan kerja tidak berapa menjadi. Padahal, aku sudah sematkan dalam hati, aku boleh. Tapi, ia hanya imaginasi.

Bertemu klien seperti yang aku janjikan, itu sudah beres. Mendengar dan membuat pernyataan yang paling ringkas supaya dia lebih faham kerana umur setahun jagung seperti dia yang baru mengenal cinta belum tentu sudah arif apa itu erti cinta. Pedulikan. Kemudian, aku siapkan buku program yang akan digunakan esok dan kerananya aku sampai di rumah jam 2.45 petang. Dan,ada  2 perkara yang secara tiba-tiba jadi tugasan aku itulah sebenarnya yang masih belum selesai. Seperti kata mereka, aku akan jadi AJK buku program secara TETAP DAN BERPENCEN selagi aku berada di sini. Hmm... mungkin dan mungkin tidak. 

'TODAY I STAY HERE, NEXT DAY, IM NOT SURE'.

Penangguhan 2 kerja  akan membawa kepada hari isnin. Aku mahu berharap agar masa tu cepat berputar dan aku dapat kelegaan dengan seadanya. Kerana sebenarnya ada 4 kerja lagi minggu depan yang juga 'urgent'. Selamat bekerja dengan tabah hati. Mudah-mudahan semuanya usai seperti yang dirancang dan dimahukan.


Kecil


Aku kecil. Sekecil kotak televisyen yang ada di belakang gambar aku. Tapi, aku punya jiwa yang besar. Bila orang selalu cakap-cakap, orang yang berbadan besar, hati dia kecil dan hati dia lagi mudah terusik dari mereka yang berbadan kecil. Ya, seperti aku. Ada sesiapa yang mengaku? Eh, kita simpan saja rahsia diri kita. Biar hanya mereka yang benar-benar mahu memahami kita, faham siapa kita. 

Kecil-kecil cili padi. Jangan disangka air yang tenang tiada buaya. Hmm... kusut fikiran ini. Ada 3 kerja yang menunggu untuk dibereskan dalam masa terdekat ini. Mahu pusing juga kepala. Mujurlah ada blog ini, selalu jadi tempat bermonolog selain dari adanya si dia yang sudi tadah telinga sebesar mungkin untuk jadi pendengar paling baik.

Dalam kaunseling, luahan hati klien perlukan tempat yang teraputik dan selesa. Barulah klien dapat meluahkan rasa dengan sebaiknya tanpa sekatan. Hari ini, aku ada klien lagi. Mahu bicara tentang cinta, katanya. Semalam, dia menangis mengenang nasib diri. Jujurnya, aku terharu dengan air mata itu. Cuma, aku tidak boleh terpengaruh dengan emosi begitu. Realistik seorang pendengar. Dengan segala kudrat yang ada, aku harap aku boleh buat 2 kerja dalam satu masa hari ini. Mendengar bicara tentang cinta klien dan membuat design untuk buku program yang tarikh akhirnya hari ini untuk dicetak. Tapi, itu sudah melanggar etika kerja aku. Haih!



Monday, 19 September 2011

Senyum

Senyum. 

Aku cuba untuk membuat entri dengan jiwa yang gembira. Aku juga berharap pembaca membaca entri ini dengan rasa yang tenang tanpa rasa sebu. Kerana, kala ini, aku sudah boleh menarik nafas lega. Usai sudah satu tanggungjawab untuk adakan aktiviti di sekolah . Mahu semput sebenarnya aku dalam usaha memastikan aktiviti ini berjalan lancar. Ada juga kekurangannya, ada juga silapnya. Tapi, itu masih boleh diterima logik akal. Pengajaran untuk aku di masa akan datang. 

Cuma, perkara yang paling buat, aku kecewa bila ada nama hanya pada kertas tanpa membuat kerja. Mujurlah, ada juga yang sudi menolong walaupun itu bukan tugasan untuk dia. Moga saja dia selalu dimurahkan rezeki selalu. Biarlah si labu dengan labinya. Sekurang-kurangnya aktiviti bermula dan berakhir seperti yang dirancang. Aku senyum lagi. Melupakan segala kepenatan siang tadi dan hari sebelumnya. Mengingat plot sehari yang lepas. Bukan bermadu kasih tapi mengisi masa yang ada dengan berkasih sayang. Terima kasih. 






                                         Aku sedang belajar untuk memakai warna tanah.
Menu makan tengahari dengan suami tersayang dan sepupu tercinta


Pencarian selendang sepanjang 2 meter 
Makanan yang dipesan tidak habis dimakan, tolonglah tapau. Sayang kalau ditinggalkan. Sayang bayar.
Tiada lagi warna garang

Mengenang kata si dia: sayang, kenapa selendang ni tebal macam kain langsir?
aku: ketawa dan buat mimik muka.

Sunday, 18 September 2011

Nikmat

Senang itu nikmat. Sakit itu nikmat. Ujian itu pun satu nikmat. Tidak kira, nikmat apa yang kita dapat, dahuluinya dengan syukur. Sehebat manapun kita, kita tetap manusia biasa yang tidak cukup sempurna. Segah manapun nama kita dan kekayaan yang kita ada, kita tetap dikapankan  di dalam satu liang lahad yang gelap gelita tanpa pelita. Ya, padahal di rumah kita ada lampu yang harganya mahal dan tidak mampu dibeli oleh mereka yang berpendapatan ala kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Bertuahnya badan.

Sejak akhir-akhir ini, aku selalu mengenang setiap nikmat yang aku ada. Sakit, senang dan ujian datang 3 dalam satu. Rententan itu, aku selalu percaya, selepas kesusahan akan datang kesenangan. Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah. 

Keyakinan dalam diri selalu ada yang aku masih punya peluang untuk buka mata hari ini dan esok kerana DIA. Dan, aku masih terus tegar di sini kerana inilah aturan hidup aku yang tertulis di dalam Loh Mahfuz dan sesungguhnya, aku senang dengan kirana plot hidup begini.


Tears may drop, but you’re there to WIPE it away




Menikmati ragam manusia (Regatta Sarawak 2011)

Manusia, lain orang, lain hatinya


Pilihan untuk terus berkasih sayang

Memenuhi keperluan dan kehendak
Apapun cabarannya, utamakan logik akal


Lima: Itu dia

25: itu aku dan nombor 5 itu simbolik untuk kita

Saturday, 17 September 2011

Mati

GOOGLE


Kalau saja kehidupan di dunia ini dijalani penuh bahagia tanpa ada rasa kebencian, kesombongan, hasad dengki dan keegoan, aku masih berfikir apa yang manusia lakukan dengan jiwa yang kudus begini. Kala rutin sekarang selalu memberi cuak dan kecut hati kerana adanya plot hidup yang selalu menuntut untuk membuat perbalahan dan mencabut  nyawa teman secara diam-diam. Aku mahukan sepasang telinga yang tuli dan mata yang separa buta kerana aku tidak mahu menjadi pendengar untuk plot begini. Sudah-sudahlah dengan mengadu domba. Belajarlah untuk buat hal sendiri dan tidak perlu untuk bercerita dengan semua bahawa diri lah yang paling hebat. Kalau sudah hebat, nama akan tetap jadi sebutan dan tidak perlu mencanang kehebatan sendiri.

Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama. Aku semakin percaya, pasca berada di sesuatu tempat  akan bergantung kepada adab dan pekerti empunya diri. Kalau baik, baiklah. Kalau jahat, jahatlah kenangannya. Dan aku yakin, perkara baik yang dibuat lazimnya jarang diingat tapi, perkara jahat yang dibuat, lazimnya akan diingat selalu dan diperkatakan selalu. Manusia. Aku mahu menginsafi diri sendiri. Mendidik hati untuk meminimumkan kekhilafan diri kerana aku tidak pasti bila masanya aku akan mati.

“I believe that every single event in life happens in an opportunity to choose love over fear.”
― Oprah Winfrey

Friday, 16 September 2011

Ketenangan

(sumber gambar)


Seperti sebelumnya, mimpi-mimpi indah adakalanya jadi kenyataan yang paling menerujakan. Pertemuan diharap untuk jadi penebus kesunyian di dalam diri untuk lebih banyak tersenyum. Ternyata, bila pertemuan impian bertukar jadi pertemuan realiti, ia membahagiakan malah kendati pun diberi emas pertama, ini adalah pilihan terbaik untuk terus tenang dalam hidup. Sekali lagi, kendati pun punya komitmen kerja yang maha banyak, tapi, ia semacam tidak menjadi satu bebanan bila ada yang sudi menadahkan telinga untuk mendengar setiap bait kata lelah, payah dan peritnya untuk terus bekerjaya. Maha suci Allah yang selalu memahami dan memberi kala diri memerlukan. Maka, aku bisa senyum, ketawa dan beroleh ketenangan dengan adanya kurniaan ini. Alhamdulillah. Dan, aku semakin pasti yang berdua itu lebih baik dari bersendiri.

Be thankful for what you have; you'll end up having more. If you concentrate on what you don't have, you will never, ever have enough ~Oprah Winfrey ~

Wednesday, 14 September 2011

Sambung belajar

Mengimbas kenangan zaman persekolahan dan masa bergelar mahasiswi, aku rasa aku boleh kategorikannya sebagai zaman keseronokan seseorang. Aku berkata begitu ikut rasa hati aku sebab aku tahu ada juga yang berpendapat, kehidupan selepas punya kerjaya atau profesi adalah kehidupan paling mengembirakan. Terpulanglah dengan pendapat dari pengalaman seseorang.

Kalau dibanding tara, kehidupan sebagai pelajar memang sungguh menyesakkan jiwa. Ada 1001 tekanan yang terpaksa rela dihadapi untuk menjadikan diri seorang yang berjaya untuk masa depan. Tipulah, kalau ada yang mengaku yang mereka tidak mahu mengubah kehidupan seperti kais pagi makan pagi, kais petang makan petang kepada  kehidupan makan penuh berkhasiat sarapan pagi, kudapan, makan tengahari, makan petang, makan malam dan ada juga yang supper.Jadi, tidak hairanlah kalau ada yang sanggup bersengkang mata untuk belajar, biar biru mata hitamku asalkan dapat keputusan cemerlang.

Tapi, dalam kesengsaraaan mendapatkan sebuah kejayaan, kadang-kadang akan timbul rasa tidak puas hati bila  ada orang yang hanya setakat belajar bukannya belajar bersungguh-sungguh dapat pula keputusan cemerlang. Genius la katakan. Bertuahnya badan dapat anugerah sebegitu dari Tuhan.  Dan aku bukanlah golongan genius. 

Aku dilahirkan dari golongan mereka yang perlu berusaha lebih dan lebih untuk dapatkan kejayaan. Sebab tu lah, sedari dulu lagi, aku akan buat nota peta minda untuk setiap bab yang aku belajar. Lebih berwarna-warni lagi kalau peperiksaan makin dekat. Beli kertas A4 yang berwarna-warni dan buat peta minda untuk setiap tajuk. 

Baiknya masa belajar dulu, aku berkawan dengan mereka yang tidak lokek untuk berkongsi ilmu/nota. Boleh fotostat saja tajuk lain dari kawan dan kumpul punya kumpul boleh sempurna satu buku. Semua dalam bentuk peta minda atau nota kecil. Dari dalam sudut hati, moga kawan-kawan aku terdahulu tu dimurahkan rezeki selalu kerana kemurahan berkongsi ilmu tanpa ada iri hati. Memang ada juga yang kedekut ilmu, sembunyi nota dan soalan peperiksaan tapi, tidak mengapa. Hati sudah tidak menyumpah lagi. Sudah telan semua kepahitan dugaan hidup.

Rentetan dari cerita di atas, aku sebenarnya bicara tentang peperiksaan. Hari ni, hari kedua aku jadi pengawas peperiksaan UPSR. Macam-macam ragam yang aku saksikan. Ada yang tenang, gelisah dan ada juga juga yang seperti kosong masuk ke dalam bilik peperiksaan. Betapa sebenarnya aku faham apa yang mereka rasa. 

Aku juga pernah begitu. Belajar dan menjawab peperiksaan. Pernah juga kecewa bila sudah belajar sepenuh jiwa tapi mengulang semula subjek untuk semester depan. Menangis tanpa henti pun tiada guna sebab itulah cabaran belajar. Kalau pun ada yang masa belajar dulu selalu dapat yang cemerlang seperti kegagalan sukar untuk mejadi teman, aku pasti, bila dia sudah punya kerjaya, pasti ada cabaran lain yang dia lalui. Dan si kawan yang selalu dapat markah sederhana dan ada kalanya gagal tu akan dapat kesenangan sedikit dari segi cabaran hidupnya bila sudah bekerjaya. Klise dan itu karma.

Aku berfikir, banyak perkara dalam hidup yang aku sudah senaraikan tapi masih tertangguh kemenjadiannya. Aku perlu masa dan wang. Salah satunya, sambung belajar. Hmm...

p/s Belajarlah sampai ke negeri China. Pepatah yang aku selalu dengar. Bagi aku, belajar itu adalah proses yang tiada henti. Infiniti. Setiap hari adalah pelajaran yang perlu dipelajari. Terpulang kepada kita untuk mencari input dari setiap episod kehidupan harian kita. Cabaran juga adalah pelajaran.

Merindui kawan seperjuangan di bawah:
Ralat: Sesi Nov 2001- Nov 2004. Graduation: April 2005


Graduation: May 2007


Moga kamu semua bahagia selalu.^_^

Tuesday, 13 September 2011

Gaun pengantin sanding putih kelabu untuk disewa




warna mekap untuk warna baju ni


kain ni panjangnya 10 meter, ada lapisan di dalam juga. Jadi tidak perlu pakai kain dalam.



Gambar di atas adalah gambar gaun pengantin aku masa sanding yang lepas. Jadi, aku mahu sewakan untuk sesiapa yang berminat termasuk baju lelaki tu. Harga, jangan risau, nanti kita runding-runding.^_^
Kalau ada sesiapa yang berminat, bolehlah emel aku: nazrimisya@yahoo.com.
@
add aku dalam facebook: 
 aku pakai nama : misya janah

Urgent

Kerja

Percubaan untuk jadi orang yang sentiasa bertanggungjawab itu sukar. Kena jadi versatile selalu. Bagi kerja apapun, buat juga dengan semua kudrat yang ada. Aku harap aku dapat selesaikan semua benda ni secepat mungkin. Mana mungkin  bulan madu dapat diteguk dengan tenang hujung minggu ini kalau kerja ini masih terbengkalai. Ada kerja yang perlukan aku  untuk menyusahkan si dia. Seboleh-bolehnya, aku berharap untuk tidak mengganggu dia tapi kemampuan dan tahap kepandaian aku sangat berkurangan dan kerana itulah aku  perlukan dia untuk menyempurnakannya. Ya, ada kekurangan yang dia akan sempurnakan. Alhamdulillah. Tuhan kurniakan dia yang selalu membantu  meleraikan kekusutan yang ada. Dan, aku masih mahu mengatakan, ini perlu segera. Urgent. 

Monday, 12 September 2011

Nasi banjir


Nasi berulam kuah seperti banjir belum surut. Makanan rutin yang jadi santapan aku keseorangan. Bila mama tahu, mama selalu pesan, masak sayur juga biar sihat tubuh badan. Pesan mama lagi, jangan makan maggie, sosej, nugget dan fishball banyak sangat. Tidak bagus untuk kesihatan.

Aku kata: aku masak sedap-sedap pun, aku makan seorang tetap seleranya tetap berbeza bila makan beramai-ramai. Makanan yang tidak sedap pun, kalau dimakan beramai-ramai, boleh habis juga dan silap-silap bertambah lagi.

Mahu atau tidak, aku masak begini dan inilah aku rasa paling instant selain daripada mee instant! Dua dalam satu, masukkan nasi dalam kuah ikan rebus. Baca doa dan makan. Aku sudah terima rutin begini. Masak seringkas yang  boleh untuk isi perut agar kudrat empat kerat dapat dibanting semula. Ada masanya, sebak juga di dada bila menyuap nasi tapi, ya, aku selalu bermonolog, aku kuat, tabah dan selalu bersemangat.  Chayo- chayo. Ya kan saja, walau dalam hati berkata penipu.

Doa aku, tahun depan, tiada lagi nasi banjir begini. Aku mahu bersedia menjamu selera dengan pelbagai juadah bersama si dia.  Biar makan ikan masin saja asal kami berdua atau sikit masa lagi boleh bertiga. Hmm.. amin. Itu doa dari sudut hati paling dalam.


Sunday, 11 September 2011

Set siang Safi Rania


Entri kesan safi rania gold yang aku post 24 Ogos lalu masih lagi jadi entri popular setiap minggu. Bila aku check Nuffnang dan stat, pembaca masih ramai yang cari info tentang produk ni. Aku suka dengan kesedaran  orang-orang yang selalu mencari info dahulu sebelum menggunakan sesuatu produk. Sama juga dengan aku. 
Inilah set siang safi rania

Sebelum beli, aku akan buat kajian dulu. Banding tarakan yang testimoni orang lain tentang produk tu. Dan kalau hati sudah terpaut, aku ikut kata hati untuk beli. Dan, hari ni, aku beli lagi produk safi rania ni. Pembersih muka dan serum yang aku beli tu sudah habis. Kali ni, aku beli yang set siang. Kira murah lagi daripada beli satu-satu. Untuk set siang ni, ada serum, toner dan pembersih muka.  Harga set ni RM 47.90.


 Untuk yang masih cari info fungsi produk safi rani ni, di sini aku kongsikan:

Fungsi Serum safi rania:

  • Menyerap dpantas untuk menganjalkan kulit
  • Menyamaratakan tona kulit
  • Sesuai digunakan setiap hari
Fungsi Penyegar safi rania
  • Membersih dengan formula tanpa alkohol
  • Mengecilkan liang roma
  •  Menyegarkan wajah sepanjang hari
Fungsi pembersih wajah
  • Membersih kotoran dan debu dengan berkesan
  • Mampu menanggalkan solekan di wajah
  • Gunakan pada waktu siang
Fungsi gel pembersih
  • Dengan formulasi lembut berasaskan gel
  • Imbangan PH untuk lembapan berpanjangan
  • Membersih tanpa mengikis lembapan semulajadi kulit
Fungsi skrub
  • Menanggalkan sisa kotoran dan sel kulit mati
  • Menyihat dan mengembalikan keserian wajah
  • Sesuai digunakan 2-3 kali seminggu
Fungsi krim pelembab siang SPF 20PA++
  • Melindungi daripada sinaran UVA dan UVB
  • Mengekalkan lembapan
  • Menganjal serta mencerahkan kulit
Fungsi Krim pelembab malam
  • Menghidrat kulit secara intensif
  • Mengekalkan lembapan
  • Menganjalkan kulit wajah
Fungsi Krim kecantikan
  • Mengurangkan tanda penuaan
  • Mengekalkan lembapan
  • Gunakan sebagai asas solekan.

Secara konklusinya,  semua serum, krim malam dan krim malam safi rania ni mudah menyerap pada kulit. Sebelum ni, krim lain yang aku guna kadang-kadang terpaksa tunggu dulu 5 minit atau aku kipaskan muka. Tapi, sejak pakai safi rania ni, aku tidak perlu lagi kipas segala. Mudah menyerap dan muka rasa licin selalu. Toner dia pula memang dapat menyerap daki yang masih tertinggal pada muka walaupun selepas cuci muka. Scrub dia pun dapat segarkan kulit dan kesan-kesan jerawat pun cepat pudar sebab ia berfungsi untuk hilangkan sel kulit mati.

Selamat mencuba untuk semua ^_^

Sifu cinta

Suatu ketika dulu, dalam kecelaruan mencari identiti diri, terpujuk juga hati oleh sang cinta.  Bercinta dan dicinta. Lumpuh dalam cinta palsu tanpa ada komitmen untuk bersama-sama. Pedih, luluh hati tiada noktah. 

Bertahun sengsara, Tuhan dengar juga doa. Dan berakhirnya cinta palsu itu, dipertemukan dengan cinta baru. Dia. Dalam tidak sedar, ada rasa dihargai lebih dari cinta terdahulu. Tanya sama hati, bukan minta pendapat pada teman lagi. Cinta disambut dengan rela hati. Berteman, diikat, dinikahi dan dikahwini melahirkan rasa cinta sempurna. 

Dia menyempurnakan kekurangan yang ada. Memberikan apa yang tiada. Menerima tanpa syarat. Menyayangi seperti tiada lagi yang lebih indah dari ini.

Hari ini, setengah tahun lamanya, tanpa sedar berkongsi hidup dengannya. Dialah aspirasi hidup. Dialah segala-galanya pada diri. Dialah  sifu terbaik. Dialah dunia, dialah akhirat. Terima kasih cinta. Ada banyak lagi yang kita akan lalui esok. Harapan aku, kita masih boleh terus berkenalan. Biar makin lama kita bersama, makin sayang dalam hati.  Jauhkan semua perbalahan. Berdoa, aku boleh cinta dia sehingga ke hembusan nafas yang terakhir. Begitu juga dia.

sumber gambar

Saturday, 10 September 2011

I have no tears > there is only pain


sumber gambar

Sakit, selalu datang tanpa diundang. Melenyapkan kesihatan yang baik. Menukar wajah gembira kepada hiba. Aku benci bila sakit begini. Sadis, sendiri mengharung perit. Lemah bagai tiada nafas lagi. Si dia yang jauh, risau. Tapi, apalah daya kalau jarak menyukarkan dia menghulur tangan mengusap air mata.

 Sabarlah.

Aku hanya berharap setiap sakit ini dapat menghapus dosa. Memberi satu rasa bahawa tiada manusia yang kekal sihat bahagia. Kalau lah saja selepas sakit ini, ada berita gembira, aku mengira untuk sujud syukur pada-Mu Ya Allah. Aku yakin, setiap kesusahan ia diiringi kesenangan. Dan, aku menunggu hikmah sakit ini untuk tersenyum dengan kegembiraan. Amin.

Bertemu di perantauan

20 bulan menunggu saat ini, akhirnya aku bertemu juga. Lamanya menanti bikin hati penasaran selalu. Tidak sangka dapat juga bertemu mereka yang punya  asal dan bangsa seperti aku. Aku bukannya bersifat perkauman tapi, adalah satu kegembiraan bila berpeluang untuk berjabat salam dan bercakap bersama mereka yang datang dari negeri yang sama bila berada di negeri yang berlainan.

 Bahagia dan seperti satu keluarga rasanya.

Kepedihan yang ada masuk 2 tahun seakan beransur pergi. Walau ada masanya ia memujuk hati untuk terus rasa sakit tapi, harus diingat bahawa inilah perjuangan hidup yang perlu diteruskan. Ia tidak akan berakhir selagi Tuhan bagi aku peluang untuk hidup.

Belajar tentang segala cerita hidup yang penuh teka teki. Di mana akhirnya hidup, itulah rahsia Allah. Manusia itu jahil dan salah seorangnya aku. Aku dan kamu tidak akan pernah tahu di mana rezeki, jodoh, ajal dan maut kita. Hanya Allah yang boleh bagi petunjuk.

Hari ini Allah pertemukan kami. Makan dan ketawa bersama-sama. Indahnya rasa. Sedapnya menjamah makanan yang dibuat oleh orang sendiri. Sekian lama asyik makan makanan orang di sini, tentu ada bezanya bila menu itu dibuat oleh orang sendiri. 

Alhamdulillah, untuk rezeki hari ini. Semoga tuan rumah, Kak As sekeluarga yang menjemput Sabahan beraya di rumahnya tadi dimurahkan rezeki selalu oleh Tuhan.

Aku belum sendawa tapi perut sudah berisi. Puas dengan keenakan makanan dan kegembiraan bertemu pendidik Sabahan yang bermukim di Kuching. Terima kasih. ^_^




Jauh kami datang untuk mendidik


Soto daging versi Sabah yang tidak ada di kuching

2 kali aku makan 

Kemesraan. Tiada lagi istilah tetamu. Bila ditanya, dia jawab, ini semua adik angkat dia.

Ambuyat @ sagu 

Cicah ambuyat yang sangat mengiurkan perasaan

Hai, hai.

Senyuman yang sudah lama aku cari

Today we stay here, next day, we r not sure

Dengan kak As, 3 dari kiri

Inilah kami. Datang untuk mendidik walau dalam hati merintih untuk balik. Duduk atas sofa, kak As, mak dia dan suami  laling dia. Dia panggil suami dia Ling. Aku dengar suka. Ingat si dia. Suami yang tercinta.

sponsor by:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...