Sunday, 27 November 2011

anak

Zaman kanak-kanak adalah satu pengalaman yang benar-benar selalu buat aku tersenyum dan sengih sendiri.  Jadi, kepulangan aku ke kampung adalah dengan satu harapan yang aku akan dapat bersua muka sememangnya dengan keluarga dan salah seorang daripadanya ialah bertemu dengan anak buah aku. Perangai dia selalu buat aku berangan-angan untuk cepat-cepat ada anak sendiri. Dia comel, dia nakal, dia manja dan dia juga selalu bikin hati aku selalu berdoa, moga-moga dalam masa-masa yang terdekat ini,  zuriat untuk aku dipermudahkan ujudnya. 

[Angkat dua tangan maksudnya 'peace'. ]

[ Merah jambu dan kelabu ]


 [ Sikit masa saja lagi, adalah rezeki untuk aku ]

Saturday, 26 November 2011

Rencana lahir

[Google]


Hembus-hembus nafas dari udara yang Tuhan anugerahkan untuk aku telah melancarkan setiap sudut perjalanan sistem badan bagi meneruskan kelangsungan hidup selagi keberadaan aku adalah pada lingkungan koordinat atas muka bumi ini.

Ada juga ketikanya, aku sujud penuh syukur pada kurniaan ini dan ada juga masanya aku khilaf kerana terlupa untuk meluah rasa syukur aku tidak kira dengan perbuatan atau dengan perkataan. Seperti yang aku pernah tahu, manusia selalu mudah untuk melupa sesuatu  perihal walaupun pada akarnya, perkara itu adalah tiang untuk terus berdiri teguh.

Kata Luqman Hakim:"Hai anakku! Tewaskanlah kemarahanmu dengan sifat sopan-santunmu, keterburuan dirimu dengan sifat tenangmu, hawa nafsumu dengan ketaqwaanmu, keraguanmu dengan keyakinanmu, kebatilanmu dengan kebenaranmu dan kebakhilanmu dengan kebaikanmu(pemurah). Jadilah engaku orang yang tenang sabar di dalam kesempitan, yang gembira di dalam kebencian, yang bersyukur di dalam kemewahan, yang khusyuk di dalam solat dan yang bersegera bersedekah"(sumber: nurilliyin)


Lewat umur sebegini, aku pernah marah dengan penuh rasa hingga menjadi igauan aku setiap malam. Aku pernah sakit kecewa yang perit hingga jadikan aku berhati batu dan memutuskan untuk tidak pernah memberi kesempatan lagi pada arjuna yang sangat menyebalkan perasaan. Aku pernah gagal berkali-kali untuk capai kejayaan terutamanya dalam pelajaran dan kerjaya aku. Ia membuat aku hampir-hampir putus pengharapan untuk capai impian aku sehinggalah keajaiban itu datang dan merealitikan semuanya.

Alhamdulillah, hidup selama 29 tahun ini, aku masih meneruskan tuntutan perjalanan hari-hari aku dengan penuh semangat. Sehingga ini, genap umurku 29 tahun, suami, keluarga dan kawan-kawan selalu menjadikan hidup aku indah-indah. Perihal sedih dan terguris itu tetap ada tapi, itu aku letakkan di belakang tabir cerita aku. Perihal itulah yang hiasi senyum aku dengan penuh manis. Aku adalah antara orang terpilih yang selalu diuji. Syukur.

Dan untuk ke sekian kalinnya, aku sedang merencana banyak perkara untuk cerita yang seterusnya. Moga-moga saja dengan pertambahan umur, rezeki aku juga dipermurahkan, urusan aku dipermudahkan, umur aku dipanjangkan dan kasih sayang untuk aku diperbanyakkan. Selamat hari lahir untuk diriku. Esok adalah hari Awal Muharam dan sudah tentu tahun baru begini, aku mengharapkan perbahasan soal hidup seterusnya adalah lebih baik dan paling baik adalah baik-baik saja.

Wednesday, 23 November 2011

Salam untuk kawan maya



[Google]

Dalam meneruskan penceritaan pengalaman dalam fasa-fasa kehidupan, aku berterima kasih kepada kawan-kawan maya yang selalu ada memberi respon di setiap cerita hidup aku. Terima kasih yang tidak dapat aku ungkap dengan kata kerana kalian selalu bertindak sebagai pemberi motivasi untuk terus meninggalkan jejak kehidupan di blog ini. 

Kamu tahu, seboleh-bolehnya aku berharap aku dapat kembali menjejak kamu setiap kali kamu singgah dalam blog ini dan aku berharap juga yang aku dapat menjadi pengikut di dalam blog kamu. Tapi, kadang-kadang pabila akses celcom ini menjadi tidak efektif iaitu lambat putarannya, aku selalu  terlambat untuk menjejak kamu semula. Ada juga masanya aku marah pada akses ini kerana, ia menyukarkan aku untuk bersosialisasi bersama-sama kamu. Padahal aku juga mahu memberi respon pada cerita kamu dan sekurang-kurangnya aku dan kamu dapat terus-terusan menjadi kawan maya yang selalu ada tidak kira ketika kamu gembira atau bersedih.

Kesinambungan itu, untuk semua kawan maya aku, maafkan aku, kalau aku masih belum punya peluang untuk menjadi salah seorang pembaca cerita kamu. Permulaan cuti ini, aku agak lewat untuk membuka bungasepet kerana aku sedang cuba menggunakan setiap masa yang ada ini dengan sebaik-baiknya. Maksud aku, kualiti masa aku bersama-sama si dia dan keluarga. Dan, untuk kamu, aku selalu doakan kamu selalu berbahagia, bergembira dan punya rezeki melimpah ruah. Moga-moga Tuhan selalu memberkati hidup kalian semua. 

Sayang kamu semua.

Cuti pertama



Aku mengandaikan setiba saja aku di kampung halaman, akan ada khabar-khabar baik yang akan buat aku senang hati dan duduk tenang. Perjalanan selama 2 hari dari Kuching ke kampung halaman memang menghulur satu  pengalaman yang tidak mungkin akan dapat aku rakam di lain hari. Sudah ada perancangan yang pada hemat aku cukup bagus untuk mengisi cuti-cuti ini. Percutian inilah yang aku tunggu selama 8 bulan yang lepas. Perit macamana pun kehidupan aku sebagai perantau, ia akan terus terubat jikalau aku mengingat tentang cuti-cuti ini. 

Perkara pertama yang akan berada di tempat primer adalah kualiti masa untuk aku bersama-sama dengan si dia dan keluarga. Perihal sekunder adalah mengambil sedikit masa untuk aku bersosial bersama-sama kawan lama yang sudah lama aku tinggalkan di sini dan tidak lupa juga mengatur masa untuk bertemu kawan-kawan maya aku melalui blog ini. Ya, cute blogger gathering, pertemuan untuk kawan-kawan baru pada bulan Disember kelak. 

Ketika ini, aku sedang duduk di sisi mama sambil tangan menaip cerita ini tapi mata sekali-sekala menjeling cerita bini-biniku gangster. Bila berada di dalam lingkungan zon selesa begini, aku tarik nafas, senyum dan ada rasa bahagia di dalam hati. Syukur, aku masih punya kesempatan untuk merasa setiap indahnya hidup yang aku ada. Sememangnya tidak mengapa jikalau kadang-kadang, aku diuji dengan macma-macam rasa kemudian bila sampai pula masanya, rasa itu diganti dengan rasa sebegini indah.

Kamu tahu, aku  selalu beranggapan yang kalau saja hidup ini terus-terusan bahagia tanpa ada sengketa, ia bukanlah satu penghidupan yang baik-baik. Pasti ia membosankan dan ketiadaan cabaran dalam penghidupan akan membikin hidup mendatar dan biasa-biasa saja. Jadi, aku dan kamu jangan pernah ada rasa mahu putus pengharapan pabila ujian datang bagai tiada rupa untuk berhenti.  Biarkan Tuhan tunjukkan jalan kerana konsep tawakal adalah satu  strategi yang paling bermakna dalam hidup.


Saturday, 19 November 2011

Tamat

Tamat sudah masa yang aku rasa cukup panjang dalam setahun ini.  Perjalanan untuk sepanjang itu yang banyak memalit macam-macam rasa. Ada yang buat aku ketawa dan ada juga yang mengunci hati aku untuk terus tidak berkata-kata. Renyuk sudah setiap rasa itu di dalam hati. Aku telan perlahan-lahan kerana seboleh-bolehnya aku tidak mahu ia menjadi dendam yang tidak ada sudahnya. Dalam kerenyukan, aku masih juga boleh tersenyum lega. Sekurang-kuranngya, aku sudah ada jaminan dalam bertugasan untuk masa-masa depan aku. Walau ada 2 impian primer yang belum tercapai setakat ke hari ini, aku tetap tidak mahu mengundur dari dari pengharapan ini. Aku sudah berkata berkali-kali, aku akan tetap mengharap dan menanti hingga ada keajaiban itu berlaku. InsyAllah. 

Figura-figura di bawah adalah kenangan untuk tatapan generasi masa depan aku misalnya Sudah tentu untuk anak-anak aku kelak. Itu figura ibu sewaktu berumur dua puluhan kerana tahun hadapan aku akan ucap permisi kepada dua puluhan dan selamat datang kepada tiga puluhan.


[Menu]
[Seni]


[Kipas]

[Pandangan mata kasar]

[Kolestrol]

[Di mana kita bermula itu tidak penting, yang penting di mana kita berakhir]

[Simpul]
[Rezeki]


[Coklat, merah jambu, putih , merah dan ungu]

[Bukan diet]

[Lace]

[No bertuah]

[Senyum saja belum tentu mengambar rasa hati]

[Pengat pisang]

[Putih]

[Hiasan]

[3 warna]
[Merah jambu itu cantik]

[Sebahagian kawan]

Thursday, 17 November 2011

Provokasi

[Google]

Ada banyak perkara yang masih bertanda soal. Belum kelihatan kelibat jawapan. Kemudian ditambah lagi dengan satu tanggapan yang pada logikanya, itu adalah yang sebenar-benarnya. Aku jadi tidak mengerti kenapa perlu kunci mulut dari bertanya tentang sesuatu yang entah mungkin akan bisa membikin aku merasa kurang senang atau kurang enak. 

Kepercayaan adalah suatu yang tinggi nilainya. Aku sudah letak baik-baik sikap percaya aku padanya tapi di hujung-hujung tahun begini, aku baru sedar yang percaya saja tidak cukup untuk pastikan nama tetap baik di matanya. Pengharapan aku tidaklah terlalu tinggi tetapi inilah keberhasilan yang aku sambut selama ini. Aku bertugasan tanpa bunyi dan kalau ada bunyi sekalipun telinga pertama yang akan mendengar adalah telinga si dia yang sehingga sekarang kekal setia untuk jadi pendengar primer aku. 

Dan sekali ini juga, aku merasa  kesal. Seperti kata si dia  dan sebahagian kawan, aku umpama orang lurus bendul, menerima tanpa bunyi.  Biar di mana pun aku ditolak dan dibuang, yang aku tahu hanya memberi respon pada air mata. Mungkin sudah sangat jelas yang aku tidak adil pada diri sendiri. Aku biarkan saja semua berlaku dalam kawalan mereka. 

Maka, untuk masa-masa akan datang, aku seharusnya menjadi lebih telus, adil dan kasih diri sendiri supaya bila mana mereka cuba membuka provokasi pada perantau seperti aku, aku boleh melawan balik dengan penuh bermaruah.

Wednesday, 16 November 2011

Emosi

Agak lama aku tidak dihurung emosi ketika memandu. Cuma sebentar tadi, di awal pagi, hati aku jadi sangat sensitif bagai tiada lagi yang positif di dalam diri aku. Sebenar-benarnya, akan ada masa tanpa sedar di mana aku akan kelihatan sangat berbeza. Ya, sudah ada misalan seperti yang tadi, pabila aku rasa aku sudah cukup gaya di dalam tatarias dan kemudian tiba-tiba saja, ada yang merosak seni tangan aku sendiri. Titis yang turun laju diiring oleh lagu Maher Zain, InsyAllah: adalah penyebab paling primer untuk perosak hasil seni aku. Hati-hati aku sapu dan biar ia tinggal tiada apa-apa. Ia adalah emosi yang sampai sekarang aku masih tidak sedar-sedar bila masa ia akan datang. Rahsia emosi yang kadang-kadang sangat seni untuk manusia kebanyakkan. Aneh dan itu istimewanya sebagai manusia. Aku pejam mata dan kembali berhalusinasi, aku sudah tidak emosi-emosi lagi.

wordless wednesday [ Tawar ]

Tuesday, 15 November 2011

Nekad

Sungguh-sungguh aku jelaskan tentang jawapan aku. Itulah jawapan paling jujur dari hati seorang srikandi. Bukan aku tidak mahu bertimbang-rasa tapi, bagi aku tiada apa yang dapat aku timbangkan kalau perkara itu tentang kejujuran. Aku mahu menjaga setiap helaian bunga yang aku sudah tanam dengan penuh hati-hati. Sudah-sudahlah dengan setiap insiden ketidakjujuran yang ada pada masa lampau aku. Aku percaya pada karma tetapi ada masanya aku kurang jelas, kenapa kebaikan dibalas dengan kejahatan. Jadi, untuk menjawab soalan aku sendiri, aku ambil seringkas ini bahawa, hidup ini adil, bukan hidup namanya kalau asyik bahagia saja. Itu hanya ada di syurga iaitu bila mana waktu itu kelak, aku mahukan ke Kota London dan aku terus ada di tepi bangunan Eiffel. Oh, tentu seronok. Eh, anganku sampai ke sini padahal motif utama catatan ini adalah soal kejujuran. Tanpa kepercayaan, akan pudarlah semua kemesraan. Aku nekad untuk terus jujur dan percaya. Noktah.

Monday, 14 November 2011

Sudah


[Google]

Di dalam otak aku yang hampir tepu begini, ada banyak cerita yang mahu aku catatkan di sini. Sebabnya, ketika hari dan situasi yang berbeza ada di depan mata, aku boleh membaca semula setiap penceritaan di dalam buku hidup aku yang penuh dengan macam-macam tajuk. Dan, mungkin aku akan rujuk mana-mana permasalahan yang sepatutnya aku jalani dengan cara begini dan begitu dari cerita lepas. Belajar dari pengalaman dan kesilapan untuk bentuk diri aku jadi lebih tegar dan tabah. 

Ya, kuat hati dengan kerendahan hati. 

Cuma, kadang-kadang, aku hilang frasa dan kata untuk membuat jalan cerita dengan penuh ikhlas dari sudut jiwa aku yang paling dalam. Pabila menulis, yang aku tahu hanyalah menaip setiap apa yang sudah aku imaginasikan di dalam logika aku.  Aku menulis dengan tidak mengambil kira tentang perkara lain kecuali apa yang mahu aku catatkan bermula dari apa yang terkandung di dalam pemikiran. 

Seperti sekarang, kecelaruan fikiran terus sakit bila ada bermacam-macam perkara yang perlu aku selesaikan dalam masa-masa terdekat ini. Masa semakin suntuk dan malam-malam aku pun sudah tidak lena lagi gara-gara perkara yang masih belum selesai. Kebimbangan masih juga berkisar tentang posisi aku pada masa akan datang. Dengan kegagalan azam aku di dalam tugasan pada tahun ini membikin aku semakin ngeri untuk jalani setiap kemungkinan pada masa hadapan. 

Semangat aku untuk terus bertugasan semakin hilang. Kalau saja, aku boleh aturkan di sini dan di situ, agar dengan harapan aku dapat terus hidup dengan kecintaan aku terhadap tugasan ini. Aku cintai tugasan  ini sepenuh jiwa aku. Tapi, sudahlah sudah. Hati membengkak bagai tiada penawar untuknya susut lagi.

keajaiban



Bermula hari ini, aku cuba untuk senyum semanis yang aku dapat dayakan. Bukan mudah bagi aku berlakon seperti ini, watak yang merubah diri aku yang sebenar. Ya, memang itu namanya lakonan jadi sudah tentu ia hanya satu tampalan yang tidak konkrit pada diri aku. Sebal rasanya dengan watak ini. Benci tapi sebenci manapun aku, ia tetap tidak akan mampu mengubah plot cerita buku aku buat masa sekarang. Cuma, mungkin pabila ada keajaiban, watak dan plot cerita itu akan menjadikan aku kembali seperti diri aku yang sediakala pada masa akan datang. Entah esok atau lusa, aku masih menghitung hari itu. Aku tunggu datangnya dengan sepenuh rasa walaupun separuh jiwaku sudah tiada lagi di sini. Gentar tiada rasa lagi di dalam diri aku. Yang ada hanya jasad aku yang percaya dan yakin, aturan ini sudah cukup cantik pada hamba serba daif seperti diri aku.

Friday, 11 November 2011

Lapan bulan

[Google]


Teringat bab pertama dalam buku hidup aku tentang dia, semua yang berlaku tanpa aku sedar dan tanpa ada sedikit pun yang aku harapkan. Ia, boleh aku anggap sebagai satu keajaiban yang sudah lama aku tunggu. Bertahun aku menunggu bagai pungguk rindukan bulan. Dia tampilkan diri cuma, bukannya terus-terusan jadi milik aku.  Ada likunya, ada halangannya. Dalam diam, ada cinta yang tidak terucap dan baru aku sedar, rasa itu sudah bertahun di sana. 

Malam-malam aku, aku selalu bermohon moga-moga saja Tuhan kirimkan aku akan dia yang aku harapkan untuk menjaga aku sebaik-baik penjagaan seperti yang diamanahkan bila selepas saja tangan dijabat deras oleh kadi. Maksud aku jelas dan terang.  Kemudian, aku kaitkan ia di dalam bab ke-dua, selepas kata-kata itu terungkap dan ia menjadi bagai satu sakti yang menyembuh semua luka. Membalut setiap perih dan mengisi  kosongnya jiwa.  Aku senyum. Aku gembira. Aku bahagia. 

Sehingga ke hari ini, lapan bulan berlalu, bab ke-tiga di dalam buku cerita hidup aku, aku bersyukur dan aku tarbiahkan hati untuk terus memohon rahmat supaya legasi cerita aku yang seterusnya akan terus diberkati. Cinta, satu-satu kita jalani. Doa adalah senjata kita. Aku mahu kamu lebih tahu, aku cinta kamu. Sungguh.

Thursday, 10 November 2011

Jangan menangis

[ Google ]

Selama pengharapan ini aku tetapkan di bawa minda bawah sedar, aku membuat pengakuan yang walau harapan aku adalah setingggi-tinggi  gunung tapi, aku juga masih ada kawalan bahawa aku izin saja semuanya jadi. Apapun yang jadi, jadilah, aku tidak peduli. Aku mahu tersenyum di sebalik rasa perit dan galau ini. seperti tiada apa. Cukuplah untuk air mata menjadi saksi hati yang rapuh. Asal saja dia yang menenangkan hati, aku redha untuk kepentingan penerusan hidup yang seterusnya. 

Pabila angan tidak menjadi nyata, bukan bermakna doa itu tidak dimakbulkan tapi itu hanyalah satu episod penangguhan untuk keberhasilan yang lebih indah pada masa akan datang. Tidak semestinya, bila harapan itu jadi retak tiada lagi yang boleh aku sandarkan. Aku masih boleh terus berharap pada DIA dan yakin ada sesuatu untuk aku di sini atau pun di sana. 

Ujian itu terlalu sakit tapi aku sedar, ada cerita baik-baik di sebelah cerita buku hidup aku. Aku sudah laluinya dulu. Ketika aku putus harapan, DIA datang menghulur keajaiban. Dan untuk kali ini juga, aku serahkan semuanya pada DIA. Senyum. Pahit tapi aku  tidak pernah tidak percaya yang ada aturan paling baik untuk aku selepas ini.

Untuk dia,
Kamu adalah sumber kekuatan untuk aku terus berdiri dengan kaki sendiri. Kamu, anugerah Tuhan yang paling aku sayang. Kita jalani saja hidup walaupun sebegini kita diuji.  Jangan menangis. Siapa tahu, ini adalah sumber jaminan untuk menambah keberkatan hidup kita sehingga hembusan nafas kita yang terakhir. Titik.


Wednesday, 9 November 2011

Cukup memberi erti

[Google]
Sehingga ini, aku mencongak dengan jari, menanti jawapan untuk persoalan yang pernah aku utarakan sebelum ini. Penat dan debar saling berlumba-lumba untuk menjadi tempat pertama. Aku tidak suka menunggu tapi walau ke mana pun perginya aku, setiap bab dalam hembusan nafas di bumi ini sudah punya keterbiasaan dengan perkara ini. Mahunya aku cepat-cepat pejam mata dan esok adalah harinya, biar terungkai semua soalan dan membuka jalan untuk langkah aku yang seterusnya.

 Hidup. 

Selalu begini, diuji dari setiap saat dan setiap itulah sabar harus ada di atas. Sedaya ini, aku cuba bersabar dan seperti yang aku selalu pesan pada diri sendiri, serahkan saja sebulat-bulatnya pada Ilahi. Biar Dia yang bukakan pintu keluar. Rezeki Allah itu luas. Tidak terlangkau oleh logika insani. 

Hati aku terus membuku, kalau boleh, aku merayu-rayu, meminta-minta kerana aku percaya, tempat pergantungan aku hanya pada yang Satu ini. Masih juga aku mahu bersiap-sedia, dengan perancangan ke dua kerana aturan sebegini penuh dengan kemungkinan. Berjaya atau tidaknya setiap pengharapan, aku harus ada keyakinan. Teruskan saja hari-hari aku. 

Mimpi indah ini, ada yang mengerti dan ada yang tidak. Dan yang pastinya, aku tahu dia dan DIA sangat memahami malah cukup untuk memberi erti.

Tuesday, 8 November 2011

Sadis


[Google]

Seperti yang aku selalu halusinasikan dalam penerusan hidup harian, aku selalu saja berharap supaya setiap apa yang aku angankan akan jadi nyata bila aku buka mata esok hari. Tapi, memang azalinya aturan alam bahawa apa saja yang menghembus nafas di muka bumi  ini sudah pasti akan menerima nasibnya sendiri.

Sama juga dengan aku, ada masanya aku akan menjalani hari-hari aku yang agak suram kerana gagalnya sesuatu yang aku mahukan untuk jadi benda yang maujud. Biarpun aku selalu menadah tangan, memohon untuk dipermudahkan semuanya tapi aku juga percaya ada alasan yang sangat logika untuk Tuhan kemudiankan permintaan aku.  Meminjam kata-kata ini:

Bila Allah cepat makbulkan doamu, maka Dia menyayangimu.
Bila Dia lambat memakbulkan doamu, maka Dia sedang mengujimu.
Bila Dia tak makbulkan doamu, maka dia merancang sesuatu yang lebih baik untukmu.

Bersangka baiklah pada Allah dalam apa jua keadaan. 
Kasih sayang Allah mendahului kemurkaan-Nya..



Jadi, mahu saja aku ulang-ulang kata-kata ini supaya ia menusuk dan terus terpuruk di dalam otak  dan jiwa aku. Aku tidak mahu ia hilang ke mana-mana kerana nanti pabila ia  tiada aku akan tercari-cari  lagi dengan hati yang rapuh. Kawalan jiwa aku masih belum cukup utuh dan teguh. Kerana itu, sampai ketikanya, aku juga meluluh dengan sendirinya. Sadis.


Cuma, harap-harap aku masih ada daya. Setidak-tidaknya untuk beberapa waktu lagi. Aku masih tidak mahu berhenti berharap. Aku akan terus berharap dan berharap sehinggalah ada sesuatu yang indah itu datang dengan sendirinya, maujud dan kekal membikin raga aku lebih nikmat dari sebelumnya. 

Monday, 7 November 2011

Masa depan

[Google]


Memikir kemenjadian hidup pada masa sekarang membawa aku merenung apa jadinya kehidupan aku pada masa akan datang.  Tahun ke tahun, umur aku semakin meningkat dan aku juga selalu berharap agar aku beroleh peningkatan untuk mendapatkan kualiti hidup yang lebih baik dan konsisten. Antaranya: transformasi yang sedang aku bentuk pada  tingkah laku  aku ialah supaya  ia akan menjurus kepada perkara yang positif. Untuk lebih menjamin keberhasilan yang baik-baik saja juga, aku cuba berhalusinasi yang aku sudah berjaya mendapatkan apa saja yang aku mahu dalam hidup aku. 

Dalam konsensus aku dan si dia, sudah tentu kami akan masukkan rumah dan anak di dalam senarai target untuk mendapatkan hidup yang bahagia dan sempurna. Rumah yang cukup sederhana dan anak yang soleh dan solehah adalah angan-angan yang sangat indah. Penghapusan semua hutang juga adalah satu kemestian moga-moga tiada lagi perhitungan tentang itu bila sudah berada di lokasi hari penghakiman seluruh umat manusia kelak.  Kemudian, menjejakkan kaki ke Tanah  Haram bersama si dia, sujud mensyukuri nikmatnya hidup. Malah, aku juga berharap agar aku mampu untuk meninggalkan sesuatu yang setidak-tidaknya boleh menambah pahala aku walaupun jasad aku sudah hancur dimamah bumi. 

Untuk itu, aku masih fikir-fikir, apa yang akan aku sumbangkan bagi memenuhi hajat ini? Dan, ketika aku berimaginasi positif seperti ini, aku masih mahu mencerminkan setiap pencapaian yang telah berjaya aku genggam sehingga kini. Yang jelas, sudah ada dan yang tidak jelas ada beberapa perkara lagi.

 Ya Allah, ku mohon, permudahkan semua urusanku, suamiku dan keluargaku. Tanpa rahmat dan hidayah dari-Mu, mana mungkin kami akan mendapat apa yang kami angankan. Limpahkanlah rahmat-Mu terhadap kami, hamba-hamba-Mu yang serba daif ini. Amin.

Sunday, 6 November 2011

Syukur [ Salam Aidiladha ]


[google]

Di perantauan, kehidupan akan menjadi lebih bermakna bila adanya teman yang seia sekata, angguk untuk banyak perkara dan geleng dengan ikhlas pabila dia rasa itu bukan yang sepatutnya kita buat. Bila betul, dia sudi untuk memuji dan bila salah, dia sedia untuk menegur. Aku syukuri apa yang aku ada. Aku ada kamu, di sini dan walaupun hanya sekejap-sekejap tapi sekurang-kurangnya, aku masih ada tempat untuk mengadu sakit dan gembira. Sehingga ke saat penulisan ini aku karang, aku masih terus berdoa dan berharap, Tuhan dengar doa kita untuk tinggal satu bumbung dan punya anak yang secomel kita. 

Untuk pertama kalinya kita meraihkan Hari Raya Aidiladha ini dalam satu ikatan yang halal, alhamdulillah, biarpun tiada rendang daging atau ketupat palas buatan sendiri tapi sekurang-kurangnya, pabila aku buka mata di pagi hari, kamu masih ada di sisi dan temani sepanjang hariku dengan pelbagai cara. Kita beraya dan kenyang bersama. Syukur, Terima kasih sayang. Dan, moga-moga saja Tuhan perkenankan doa kita di saat pintu kaabah terbuka luas hari ini. Amin.

Thursday, 3 November 2011

Terima kasih derita


Untungnya, aku punya kesempatan untuk berkunjung ke satu lokasi yang aku rasa kalau tidak kerana lawatan ini, belum tentu lagi akan aku lawati kerana kos kemasukan ke sana memang tinggi. Ini lawatan akademik untuk membawa anak-anak didik menghargai budaya dan tradisi mereka sendiri. 

Bagi aku, ia elok untuk membuat transformasi minda kepada mereka agar tidak terlalu obses dengan kecanggihan teknologi di hujung jari hingga lupa akan asal usul sendiri. Seperti kata Mantan Perdana Menteri kita, Tun Dr Mahathir, kita harus berdiri dengan acuan kita sendiri untuk menjadi bangsa yang maju. 

Aku fikir-fikir,  kita boleh saja melihat apa yang Barat lakukan tapi tidak semuanya boleh diaplikasikan secara langsung tanpa batasan terhadap diri kita. Dunia sekarang amat berat ujiannya, akses sudah mulai sampai walau pun lokasi itu terpuruk di sana. Kemudian, terpulang dengan kita bagaimana mahu menjadikan setiap kecanggihan itu baik untuk diri sendiri dan juga orang lain. 

Aku melihat yang dulu itu cantik walaupun ia sudah ketinggalan. Ia usang tapi punya nilai sentimental yang mungkin bisa buat hati berdramatika. Ya, aku sedar, setiap apa keberhasilan yang aku dapat hari ini, ia adalah hasil kemenjadian pelbagai peristiwa yang terdahulu pada diri aku. Sakit, pedih, kecewa, derita dan sengsara, sudah luluh aku mamah di dalam hati. Aku mampu untuk menjadi seperti sekarang kerana aku sudah berjaya lalui fasa kehidupan yang ada masanya sangat menakutkan pada masa lalu. 

Dulu, aku menganggap, hidup tidak adil bagi aku tapi sekarang aku mengerti, kalau saja tidak ada masa lalu, mana mungkin aku jadi seperti begini. Terima kasih derita!

[Mereka: comel]

[Kalau saja, aku mampu berdiri seperti mereka begini]

[Memori]

[Budaya yang mereka perlu tahu]

[Nilai sentimental]





[Praktis untuk menghayati budaya]

[Riang]

[Hitam putih kehidupan]


[Reaksi]

Wednesday, 2 November 2011

Biar begini

[Google]

Keterlanjuran aku menolak pelawaan untuk berlibur menyebabkan aku terpaksa yang bersoal jawab tentang alasan penolakan tersebut. Untuk pertama kalinya, hati aku hilang rasa bersungguh-sungguh untuk beri sedikit masa di dalam satu kondisi yang sedari dulunya aku amat gemari. 

Aku cari punca dan mungkin kerana belakangan ini, amukan demi amukan di dalam perasaan wujudkan pelbagai rasa yang bikin aku tawar hati untuk terlibat dalam apa saja. Bukan bermaksud untuk sengaja membuat diri terpuruk tapi hati aku sudah menjadi seperti jeruk.  Ia tidak mampu menjadi terus tegar bila ada-ada saja yang mengekang keinginan untuk gembira dan lalu ia menjadi tiada apa. 

Jauh tersimpan di dalam hati, lebih baik begini dari kalau-kalau ada lagi perkara yang menyakiti. Cukuplah dengan segala yang tersimpan, aku tidak mahu menjeruk lagi. Moga saja aku terus tenang dengan begini.

Tuesday, 1 November 2011

sembuh

Benarlah seperti apa yang aku selalu dengar, baca dan tahu. Jika kita punya masalah, terus saja bermohon tanpa henti pada Pencipta kita sendiri. Dan percayalah, Dia tidak akan pernah membuat kita rasa kecewa kalau saja kita yakin yang setiap apapun jadinya terhadap kita, itulah yang terbaik dari Tuhan untuk apapun ciptaan-Nya. Aku percaya itu. Dan konsep tawakal 100℅ yang aku lakukan dalam meneruskan kelansungan hidup aku adalah risiko yang aku berani untuk aku tanggung. November yang datang hari ini beri nafas baru untuk aku setelah beban ini memayungi aku selama 2 minggu. Alhamdulillah syukur, Tuhan kirimkan insan itu untuk menghuraikan semua beban di bahu. Aku terharu. Begitu besar nikmat ini dan aku jadi sedikit malu kerana Tuhan begitu pemurah untuk setiap pintaku sedangkan aku, adamasanya lupa untuk terus bersyukur. Ampunkan aku, Ya Tuhan. Aku syukuri setiap rahmat dan nikmat yang cukup indah dan membahagiakan aku setiap waktu.

sponsor by:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...