Monday, 24 December 2012

Mimpi: Jangan dikenang

Seperti kata-kata kebanyakkan orang, mimpi itu umpama mainan tidur. Mungkin gara-gara malas mencuci kaki atau membaca doa sebelum tidur. Sama ada mitos atau realiti, terpulanglah pada kepercayaan kita. Kau percaya, itu hak kau. Kau tidak percaya pun, terpulang. Tapi, pendek kata, selalulah beri suntikan cas postif di dalam diri supaya kau tidak akan terbawa-bawa emosi mimpi ketika tidur ke siang hari.

Malam semalam aku bermimpi.

Mimpi yang sedih. Buat separuh jiwa aku menghilang. Kosong.

Kemudian, sewaktu selesai solat jemaah dengan suami, aku kata dengan dia:

'Aku takut dengan mimpi semalam'.

Dia diam dan diikuti dengan senyuman. 'Ah, tiada apa ' sambil mencium dahi aku. Jadi, aku lupakan saja mimpi itu. 

Jujurnya, manusia seperti aku selalu gagal untuk melupa bila ada mimpi yang begitu. Menakutkan. Minda aku belum mampu menjadi sekebal besi yang tidak hancur apabila dimamah api. Mimpi boleh mempengaruhi emosi dan pemikiran. Cuma, dengan kekuatan jiwa, kau akan mampu menolaknya tanpa serba salah yang itu adalah mimpi semata-mata.

[ Membangunkan jiwa yang mati bukannya sulit kalau ada kemahuan yang maha kuat dari dalam ]









Friday, 21 December 2012

Mix & match for pregnant woman

Sepuluh hari lagi untuk memasuki tahun baru 2013. Gila. Semacam aku tidak percaya yang tahun 2012 sudah mahu sampai ke penghujungnya. Begitu cepat dan tangkas. Langsung tidak ada sedikit pun penangguhan, eh, tunggu dulu tahun 2013, nanti kau datang dalam masa 2 minggu. Begitulah kononnya mahu bicara sama dua ribu tiga belas.

Mana mungkin manusia kerdil seperti aku dapat memutar balik masa yang sedari azalinya tertulis begitu. Bulan, bintang dan matahari bertugas mengikut seperti apa yang diperintahnya. Tetap akur pada Yang Satu.

Aku periksa buku catatan kecil aku, banyaknya perkara yang masih lagi dalam kurungan PERLU DISELESAIKAN SEGERA NANTI BIARPUN SUDAH BERUBAH TAHUN. Harus!!

Sepuas-puasnya, aku mahu nikmati 10 hari yang berbaki ini. Dan, sekarang pun aku sedang menikmatinya. Sama dengan aku menikmati waktu-waktu yang tersisa bersama keluarga sebelum cuti aku berakhir. 

Dan sepanjang tempoh percutian ini dengan perut yang semakin membesar, aku masih terkebil-kebil mencari pakaian yang sesuai. Setiap kali berpergian, kadang-kadang, aku ambil baju / seluar, tengok cermin, hish, tidak sesuai, hish, nampak sangat gemuk, hish macam seksi sangat. Kemudian, aku hanya guna Mix & Match. 

Ia, terjadilah begini..






Mula-mula, difikir susah, mahu pakai apa bila sudah perut membesar, lengan membesar dan pipi membesar. Caranya, cuma mesti tahu suai dan padan.  Kerana, apabila dalam kondisi begini, semuanya perlu selesa di badan, menyenangkan mata memandang termasuk suami yang akan nampak perubahan badan isteri. Biar selalu cantik dimatanya.;)

Saturday, 15 December 2012

Tutorial Hijab Mialen


Begitu cepat masa berlalu, kekangan masa dan  beban kerja menyebabkan aku sudah lama tidak berkongsi tutorial. Sudah banyak message dan permintaan dari kawan-kawan untuk minta aku buatkan tutorial. Hari ini, baru langsai. Tapi, ini baru satu. Insyallah, harap-harap esok dapat lagi buat satu.;). Tutorial jenis ini, senang saja. Aku guna shawl macam pashmina yang jenis kain chiffon. Senang dibentuk dan ringan bila dipakai. Nah, ini cara-caranya;

1)  Pakai inner ninja dulu dan kenakan shawl di atas kepala dengan satu panjang satu pendek.
2) Tegangkan ikut bentuk muka dan pinkan macam yang ditunjukkan. Untuk kekemasan, pin guna jarum peniti di kedua belah pipi.
3) Lepas pin, ia akan jadi macam ni.
4) Kemudian, tarik panjang tadi letakkan di bawah shawl yang panjang dan tarik ke atas kepala. 
5) Pinkan guna jarum peniti.
6) Yang pendek tadi akan jadi macam ni, biarkan ia berlipat begini dan tarik di bawah dagu, kemaskan dan letakkan di belakang kepala macam dalam gambar No. 7
8) Eh, dah SIAP!! CEPAT KAN?



Hasilnya, macam ini;)



Kalau mahu longgarkan bawah dagu tu pun boleh macam gambar di bawah. Leher tidak akan nampak sebab kawasan tu sudah ditutup tadi dalam gambar NO. 4




Selamat Mencuba;)

P/S  Saya ada menjual shawl-shawl pelbagai corak dari bunga-bungan, tribal dan polkadot. Sila klik ini MIALEN COLLECTION
{ Shawl di atas adalah salah satu shawl yang saya jual }
Antara yang lain:
Shawl chiffon 2 warna 1 layer


shawl bercorak



Jika berminat, sila klik-klik;)

Thursday, 13 December 2012

Banyak perkara perlu dikira-kira



Dalam hidup, banyak perkara yang perlu dikira-kira. Ia bukan sekadar congakan biasa tetapi ia adalah perkiraan dengan fikiran yang matang. Ramai juga orang yang sudah mengganggap dia sudah cukup besar  dan bijak untuk mengatur hidup. Apabila ditegur oleh orang tua yang asam garam hidupnya sudah lebih guni dimakan sepanjang hidupnya, dia masih mempertahankan dirinya. Katanya, dia bukan budak kecil lagi yang perlu dibebel dan diberitahu tentang itu dan ini. 

Dalam hidup, banyak perkara perlu dikira-kira. Ada orang yang ketika orang marahkannya, dia juga turut marah. Kadang-kadang lebih marah dari orang yang mula-mula marah. Dia jadi makin baran dan mulutnya akan bercakap tanpa henti. Itu belum lagi ditambah dengan kata ***** yang membinggit telinga. Bila ditegur, katanya, orang itu kurang ajaran dan dia rasa dirinya tidak dihormati. Padahal, egonya sudah meninggi. Terusik sedikit pun, boleh-boleh bawa mati.

Dalam hidup, banyak perkara perlu dikira-kira. Kalau sudah senang, ada orang yang susah untuk mendongak ke bawah. Terus-terusan mendongak ke atas. Memang bikin sakit hati. Beruntunglah bila terjumpa orang begini dan kau masih boleh bersabar dengan perangainya. Pada dia, dia sudah cukup sempurna kerana hasil usahanya sendiri.  Jadi, bila ditegur silapnya, katanya, dia berjaya dan dia jadi mewah pun hasil titik peluhnya sendiri. Tiada meminta wang dari orang lain. Tiada ihsan dari orang lain

Pelik kan dengan orang begini? Mahunya mendabik dada, mengusung dagu kalau boleh biar bisa ke atas langit. Tapi, cuba kau tanya, sempurnakah zakat dan sedekahnya setiap tahun dan setiap kali bertambah kemewahannya? Kalau cukup, Alhamdulillah. Tapi, orang yang selalu ingat Tuhan, dagunya tidak selalu ke atas. Jangan-jangan bila sudah ditimpa malapetaka, barulah sedar yang semua dia ada bukan hak milik dia yang hakiki. 

Silap haribulan, bangun pagi, bila Tuhan tarik balik nikmat itu, dia hanya tinggal sehelai sepinggang tiada apa. Kasihan.

Dalam hidup, banyak perkara perlu dikira-kira. Adalah bagus apabila hati sudah tergerak untuk berkahwin. Paling baik apabila sudah menghalalkan apa yang haram. Boleh berpergian tanpa ada rasa bersalah. Bila berpegangan tangan di tempat khayalak, tidak usah risau orang jeling-jeling macam biji mata mahu terkeluar. Kan halal. peganglah. Tiada orang marah. Cuma, batasan itu perlu. Jangan ditunjuk-tunjuk sangat perlakuan di katil dan di luar katil.

Tapi, bila sudah halal, dengarlah cakap dia. Jangan dilawan. Kalau tidak berpuas hati pun, bincanglah dengan bijak. Kan, cakap dah besar, dah pandai, jadi, duduk di meja bulat. Cakap dan cakap. Bila kau tidak pandai bercakap, dalam hati kau membebel, tidak puas hati, marah-marah, dosa kau bertambah. Eh, tadi, kan cakap kahwin mahu kurangkan dosa dan maksiat?

Dalam hidup banyak perkara perlu dikira-kira. Kau baik pada orang tu. Tapi, sebaliknya dia yang buat najis di belakang kau. Paling sadis kalau perlahan-lahan dia tusuk kau dari belakang. Memang keji kalau orang buat begitu. Ia bukan istilah tidak bertamadun tapi begitulah pusingan roda hidup. Selagi ada manusia, selagi tu ada iblis dan syaitan. Jadi, selagi nafas belum berhenti, selagi itulah kau perlu berkira-kira apabila berdepan dengan manusia. Bila dia bagi najis, tidak semestinya kau pun lempar najis tapi, gunalah taktik seperti menarik rambut di dalam tepung. Jangan ada yang tersisa. Tidak perlulah terlalu runsing hal dunia, entah-entah, esok mata tertutup, kita belum sempat bermaaf-maafan. Yang derita diri sendiri juga.

Dalam dunia, banyak perkara perlu dikira-kira. Aku pernah dengar cerita, seorang emak halau anak dia sendiri dari tinggal di rumah sendiri. Sampai pengsan si anak jadinya. Meluluh hatinya dibuat emak sendiri. Sebabnya kerana cucu yang bergaduh sesama sendiri. Campur tangan orang tua. Jadilah begitu. Tengok, benda begini pun bukan lagi perkara aneh. Ia sudah kebiasaan pada orang kebanyakkan. Hidup kalau tidak kuat, kalau tidak tabah, kalau tidak tahu letak yakin pada Tuhan tu di mana, memang boleh mati sia-sia.

Entahlah, dalam dunia memang banyak perkara perlu dikira-kira. Aku pun masih mengira usia yang aku mungkin ada. Masa yang aku masih ada. Mahunya aku buka diari lama-lama dan susun semula jalan hidup aku. Bukan mudah untuk jadi aku. Kadang-kadang aku juga membebel dan mendengus. Ya, bukan mudah untuk kau lawan perasaan. 

Selemah-lemah aku, aku tahu, mengingat Tuhan itu satu kekuatan paling ampuh.

Saturday, 17 November 2012

Mengadu



Sejak kecil, aku dibiasakan yang setiap manusia perlu tahu berdikari. Perlu  tahu menyesuaikan diri sendiri dengan apa keadaan apa pun. Ketika susah atau senang, semuanya perlu dilalui saja sama ada dengan perasaan takut, marah, geram, syukur atau penuh keluh-kesah.

Bagi aku, manusia hanya ada dua pilihan sahaja iaitu memilih untuk bahagia atau derita. Jika memilih untuk bahagia, hadapi saja setiap kesusahan hidup dengan usaha, doa dan tawakal. Dan jika mahu memilih derita. lalui semua kesusahan hidup itu tadi hanya dengan tangisan, kesalan dan menunggu untuk bahagia seperti dalam cerita dongeng, ada sakti yang boleh beri emas segunung atau pun memilih jalan mudah iaitu mati. Habis cerita hidup. Mudah tapi bertahun lamanya diseksa selepas kehidupan kedua kelak.

Aku teringat pada kisah hidup seorang kenalan. Dia bercinta dengan seorang lelaki yang dia memang suka. Bermesra dan terlanjur. Kemudian, tiba-tiba ditinggalkan oleh lelaki tersebut selepas dia sudah tiada apa-apa. Tidak lama selepas itu, dia mendapat tahu yang lelaki itu bercinta dengan orang lain. Hati dia memang patah seribu. Tangis dia tidak pernah kering. Kalau dia memilih jalan mudah, sudah tentu dia memilih untuk mati saja. Begitu klise seperti dalam cerita drama atau novel. Tapi, Alhamdulillah, dia memilih jalan untuk insaf dan berserah. Walau sampai sekarang dia belum berjumpa dengan pemilik tulang rusuknya tetapi, sekurang-kurangnya dia sudah tahu hargai diri dia sendiri. Jangan terlalu menggila pada cinta yang belum pasti.

Beberapa hari yang lepas, ada sedikit perbualan antara aku dengan seorang bekas anak murid melalui laman muka buku. Dia klien yang selalu datang sukarela berkongsi masalahnya dengan aku dahulu.

Dia: Cikgu, I miss u. Sekarang saya tengah tension. Tiada siapa yang dapat saya luahkan masalah saya sekarang macam dulu masa ada cikgu.

Saya: I miss u too. Ya, tension kenapa tu? Kalau tidak kisah, luahkan dengan saya. Saya sedia mendengar.

Dia: Cikgu, salahkan kalau saya suka dengan orang yang lebih tua dari saya?

Saya: Tidak salah sebab itu naluri kebiasaan bagi manusia.

Dia: Tapi, dia sudah ada orang yang punya, cikgu.

Saya:...

Agak-agak apa jawapan yang paling tepat untuk aku berikan untuk dia? Dia baru berumur 13 tahun. Baru mengenal sedikit saja makna suka, cinta dan sayang dari manusia berlainan jantina. Belum lagi tahu benar akan muslihat rasa cinta yang kalau tersilap langkah, mahu-mahu meraung bila cinta tidak dibalas atau membuat helah dendam seperti dalam cerekarama melayu atau sinetron indonesia yang serba canggih penipuannya. Atau drama dari Filipina misalanya SIRI MARIMAR, yang akhirnya Angelica mati begitu saja?

Harap-harap, jawapan jujur yang aku bagi dengan dia, akan dapat dia fikirkan semasak-masaknya. Sebagai yang tua, aku mahu menasihati walaupun kadang-kadang, masalah aku sendiri pun, aku masih belum dapat selesaikan dengan cara paling bijak. Paling-paling pun, banyak mendiamkan diri sebagai tanda paling matang dalam menangani masalah.  

Apabila dalam keadaaan marah, menangislah dengan semahu-mahunya. Biar bengkak mata asal hati puas. Cuma satu, belajarlah mengadu pada Allah dari sekecil-kecil dan sebesar-besar masalah. Pengalaman aku, mengadu pada Allah, jalannya cepat nampak daripada mengadu pada manusia. Ada juga masalah yang perlu diadu pada manusia tetapi, beragak-agaklah untuk memilih tempat untuk mengadu. Mengadu pada yang betul, mungkin boleh membantu. Mengadu pada yang salah, mungkin boleh membinasa.

Beginilah kehidupan.


Tuesday, 13 November 2012

Sulung pengganti

Pada momen aku menaip kisah ini, aku sendiri tidak akan pasti, bila ketikanya aku akan klik perkataan ' publish'. Mungkin satu hari nanti, apabila semuanya aku sudah yakini berjalan seperti apa mahuku dan seiring dengan nikmat anugerah dari Illahi.

Malam tadi, hati aku yang sering-sering tidak sabar untuk melihatnya masih lagi mencari dan membaca sesuatu yang boleh menjadikan dia sebagai realiti di mata aku. Artikel-artikel ke 4 bulan setengah dan ke 5 bulan, aku baca satu persatu. Aku amati setiap segi perkataannya dan aku angankan terus di dalam mindaku tentang rupa dan pergerakan dia ketika aku sedang duduk dengan kaki sebelah menjulur di atas tilam.  Sambil membaca, aku usap dia. Begitu kasih aku pada dia. Seolah-olah aku sudah makin mengerti begini rupanya kasih ibu kepada anaknya.

Dalam tidak sedar, dia sudah menjangkau 5 bulan menghuni alam rahimku. Seperti malam tadi, setiap kali membaca tentang perkembangannya, hati aku sayu, ia begitu kecil di dalam rahimku tetapi sedang membesar sedikit demi sedikit dengan kuasa Tuhan. Kadang-kadang, jiwa aku mengila mahu benar melihat dia dan tangan aku selalu cepat menaip perkembangannya di dalam u-tube. Aku tonton sehingga air mata aku mengalir pun aku tidak sedar. Sebaknya hanya Tuhan yang tahu. Kalau boleh, aku mahu peluk dia terus, Biar aman jiwa aku dengan adanya dia di depan mata aku.


Untuk momen-momen sekarang, air mata aku menjadi sangat murah apabila perginya suami. Lambaian di pintu pagar sehinggalah keretanya hilang dari pandangan akan menjadikan pandangan aku semakin kabur sambil mengusap si kecil ini. Aku kata dengan dia, ' sayang, bapa balik sudah. Nanti minggu depan bapa balik lagi. Kesian kita tinggal berdua kan? tapi, tidak apa, sayang ada mama kan'. Itu yang aku ucap dengan dia. Apa yang aku tahu, peringkat sepertinya sudah mampu mendengar suara aku dan aku berharap dia faham kenapa kami ditinggalkan setiap kali hari minggu datang. Ia memang situasi yang sangat menyesakkan jiwa aku. Tapi, apalah daya aku mahu menolak kalau beginilah takdir perjalanan hidup kami. Berkahwin dan berjauhan. Sakit tapi membahagiakan. Alhamdulillah pada hujungnya.

Ada yang mengelar si kecil ini sebagai sulung pengganti. Mulanya aku pun tidak mengerti apa. Kemudian, ia diperjelaskan yang maksudnya si kecil ini adalah anak sulung tapi pengganti kepada sulung yang pernah pergi dahulu. Ya, aku sudah redhakan kepergian dia. Ya Allah, sebak lagi hati aku bila menaip tentang dia. Laju air mata aku turun ketika aku taip benda ni. Dia datang temankan aku sekadar 7 minggu dan berjaya membuat hati aku dan suami sangat bahagia. Ia momen paling bahagia apabila ia dianggap sebagai hadiah ulang tahun perkahwinan yang pertama. Tapi sayangnya ia pergi 3 hari sebelum hari ulang tahun perkahwinan kami. 

Sudah-sudahnya, aku mengalami kemurungan yang agak dahsyat tetapi hanya suami yang mengerti erti air mata aku ketika itu. Di depan orang, aku berlagak paling tabah tapi di depan suami, hati aku  selalu runtuh, pipi aku sentiasa basah dan sehinggalah aku benar-benar relakan kepergiannya, aku berserah. Aku bertawakal 100% kepada Tuhan. Aku sudah tidak punya kudrat apa-apa. Aku tunggu hikmah selepas keguguran untuk mengandung kali kedua. Dan, Alhamdulillah, si sekecil ini adalah hikmahnya selepas 2 bulan pantang. Alhamdulillah, Alhamdulillah.

Ujian sentiasa datang.Kadang-kadang aku sukar mengawal perasaan bila sendiri tanpa suami dengan mengusung permata ini. Ke pasar bersama, kerja bersama, makan bersama, mandi bersama dan tidur bersama. Aku kuatkan hati. Tegarkan jiwa supaya tabah. Adanya si kecil ini, hati benar-benar teruja. Mahu melihat dia. Mahu membelai dia. Mahu mencium dia. Biarpun, jalannya masih jauh, ada beberapa bulan lagi sebelum dia melihat dunia, aku doakan semuanya berjalan serapi-rapinya, semudah-mudahnya dan secantik-cantiknya. 

Perancangan Tuhan itu cantik. Aku yang pernah terduduk kecewa kerana kehilangan yang sulung tapi sudah hampir banyak ketawa dengan pengganti sulung ini. Moga engkau selamat datang ke dunia ibu sedikit masa lagi sayang.

Mialen Eja ( 29 Okt0ber 2012, 9.13 malam )
Atas tilam, rumahku syurgaku.







Wednesday, 24 October 2012

Teruskan


Dalam tidak sedar, sebulan lepas tiada apa-apa yang aku kongsikan di ruang kecil ini. Kehidupan yang begitu mudah menjadi sedikit kompleks apabila macam-macam perkara berlaku tidak kira di dalam kawalan dan di luar kawalan aku. Alhamdulillah, nafas masih lagi dihembus dan dihirup. Jantung masih terus berdetak tanpa pernah ada rasa bosan untuk berhenti. Ya, teruskanlah.

Kerjaya yang dipikul masih terus dipikul. Aku yang sedang belajar bertatih untuk menjadi seperti apa yang aku mahu pun belum pernah lagi terhenti. Teruskan setiap percubaan untuk berjaya biarpun ada masanya laluan yang ada begitu menakutkkan. Mengawal si kecil di dalam kumpulan yang besar memang mencabar. Mahunya marah dan berteriak supaya hilang rasa menggila di dalam diri. Apabila suara mereka lebih besar dari aku, aku terpaksa membesarkan suara 2 kali ganda dari mereka. Tenggelam suara aku maknanya, aku hanya akan dilihat sebagai bayang pada mata mereka. 

Jadi, jika mahu berhidup sebagai orang utama di depan mereka, aku terpaksa menjadi pelakon yang memegang pelbagai watak. Sekejap marah, mesra, ketawa, sinis, senyum dan sekejap-sekejap jadi bak naga. Begitulah hidup

Ada sekali dua dalam sebulan ini, ada rasa hampa yang terus-terusan  meraja. Tapi, kerana percaya pada rezeki yang Tuhan sudah bahagi-bahagikan pada setiap hamba, tidak salah rasanya kalau aku terus mengharap dan berserah. Kalau memang itu rezeki aku, Insyallah, sampai masa, ia tiba. Kalau ia memang rezeki aku, tiada siapa pun yang akan dapat milikinya kecuali aku.

Cuma, kadang-kadang aku perlu beringat-ingat yang ada ketikanya, rezeki itu rezeki aku tapi sebenarnya bukan hak aku. Itu yang aku belajar dari buku ' Mudahnya menjemput Rezeki ' hasil penulisan Fathuri Salehuddin. Banyak input yang aku dapat dan aplikasikan dalam hari-hari aku. Syukran Jazilan.

Merantau di tempat orang bukan lagi isu yang jadi masalah pada aku. Orang kata, alah bisa tegal biasa. Hidup sendiri menjadi begitu tipikal dengan bosan dan tiada teman. Mereka yang begitu sebati dengan jiwa, jauh dari depan mata. Mungkin itu salah satu hikmah kita berjauhan. Menjadikan aku makin sayang dan menghargai setiap nama mereka yang ada tertulis di dalam nota kecil aku. Setiap waktu, berkira-berkira bila lagi untuk bertemu. Penangan jauh dan rindu.

Bekerja dan hidup sendiri sebenarnya mudah selepas 3 tahun melaluinya. Dulu, bukan main susah aku rasa. Siang malam menangis, mengadu nasib sendiri. Tapi, setelah belajar percaya pada diri sendiri, sekarang aku sudah boleh tersenyum-senyum sendiri. Alhamdulillah. Kadang-kadang, senyum sendiri bila mandi dan memasak. Bercakap sendiri seperti berteman. Alhamdulillah. Hasil nikmat yang tidak ternilai ini, aku mula yakin yang bahagia memang ada untuk setiap manusia. Cuma, lewat masa yang menentukan.

Tidak mengapa begini. Dengan jalan hidup yang begini, ada banyak perkara yang aku belajar. Insyallah, mudah-mudahan semuanya terus dipermudahkan. Amin.










Sunday, 23 September 2012

Pesan mereka



Setiap kali bercakap sebelum mengakhiri perbualan di corong telefon, emak selalu berpesan,' jaga tutur kata dengan suami, jangan suka marah-marah, lembutkan suara apabila bercakap dan  jangan bergaduh soal benda-benda kecil '.

Sehingga ke saat ini, setahun enam bulan memegang amanah sebagai isteri, satu persatu pengalaman aku hadapi. Fasa kehidupan yang satu ini ada indahnya dan tetap ada cabarannya. Yang indahnya apabila setiap perkara yang dikongsi menjadi satu ibadah kalau dibuat benar-benar ikhlas kerana Allah. Dan yang menjadi cabarannya apabila ada perkara yang misalannya mood untuk memasak begitu merundum kerana kesihatan yang tidak berapa baik. Biasanya, aku selalu memaksa diri. Berdoa sebanyak-banyaknya supaya diberi kelapangan dan kesihatan yang baik walaupun ketika itu ruang pernafasan begitu sendat untuk bergerak. 

Pernah beberapa kali air mata aku menitis ketika berdoa untuk diberi kekuatan untuk bergerak mengemas rumah dan memasak kerana badan aku begitu lemah untuk bekerja. Tetapi, setiap kali itulah, dengan doa yang aku pohon, dengan kudrat yang aku ada, lemahnya aku akan hilang sedikit demi sedikit kerana aku benar-benar mahu bekerja untuknya. Aku mahukan rumah yang bersih dan rapi apabila dia pulang. Aku mahu ada makanan yang tersedia untuknya apabila sesampainya dia di depan pintu rumah. Aku mahu aku sudah bersiap dengan keadaan diri yang membuatkan matanya selesa memandang apabila dia sudah ada di depan pintu pagar rumah. Aku mahu tuala dan pakaiannya sudah tersusun di atas meja apabila dia mahu membersihkan diri.  Aku mahu pastikan ada sebotol air sejuk dan cawan segelaS di atas meja untuk dia minum selepas mengunci pintu rumah. Walaupun, dia belum pernah membuat sebarang komen, tapi, hidung, mata dan perut suami perlu dijaga selalu. Kekuatan isteri perlu ada di ruang itu.

Seperti tadi, badan aku panas, mood aku menjadi tidak baik, aku lemah cuma, tidur pun aku tidak lalu. Tetapi, seperti biasa, aku perlu hadapi cabaran begini dengan hati yang kuat. Aku gagahkan diri, bangun memasak dan sibukkan diri. Esok-esok, ada cabaran yang lebih kuat lagi untuk aku hadapi dan untuk berjaya menangkisnya, aku dan dia perlu berjaya dahulu lalui cabaran-cabaran yang ada sekarang. Kehidupan tidak akan selamanya senang dan tanpa cabaran hidup tiada serinya. 

Berumahtangga bukanlah sekadar satu perkongsian hidup untuk menunjukkan kehidupan sebagai manusia itu sudah sempurna tapi ia lebih kepada satu tarbiah untuk hati supaya selalu ingat yang hidup perlu ada tujuan. Solat adalah tiang dalam rumahtangga yang selalu aku ingatkan pada diri sendiri. Nikmat berimamkan suami adalah jalan untuk mendapat redha Tuhan. Kadang-kadang aku juga terlalai. Manusia selalu dimainkan oleh syaitan. Harap-harap hati aku tetap kuat untuk memegang amanah dari yang SATU ini. 

Pesan emak, aku selalu ingat. Mesej yang ada sama seperti pesan yang nenek selalu suarakan cuma cara penyampaiannya berbeza. Penyampaian nenek lebih berlapik. Mungkin emak sangat tahu perangai anaknya yang ini. Sampai sekarang, rasa-rasa aku, mesej-mesej begini bunyinya berbeza tapi isinya sama. Sebenarnya, aku perlu berterima kasih kepada emak, kepada ayah mahupun kepada nenek dan emak pakcik saudara. Bebelan mereka ada benarnya. Baiknya, aku masih beruntung kerana masih boleh mendengar pesan mereka walaupun ia tetap sama pada saban waktu.

Nota kaki: Salam sayang untuk semua ahli GSF.;)

Wednesday, 19 September 2012

Menunggu

Menjalani hari-hari yang aku ada kadang-kadang membikin aku lagi banyak memikir tentang keberhasilan keberadaan aku di sini. Untung-untung, aku dapat menunaikan apa-apa harapan yang mereka letakkan di atas bahu aku. Itu sudah kira sangat baik pada hitunganku. Cuma, kadang-kadang apabila satu masa aku terpaksa membuat mereka kecewa, aku alihkan rasa bersalah dengan sedikit senyuman walaupun pahit benar untuk aku lakukan. Ada juga ketikanya, aku mahu menguburkan rasa tidak puas hati dan terkilanku dengan menganggap yang kesempurnaan itu jarang kita temui di dalam satu masa. Ada baiknya aku simpulkan erat-erat kemahuanku yang tidak tertunai untuk aku langsaikan ia apabila masa sudah bersedia menunggu aku di situ. Insyallah, dengan keyakinan yang tidak pernah memudar, aku selalu yakin yang akan ada hari esok yang begitu cerah untuk aku.

Menunggu.

posted from Bloggeroid

Wednesday, 12 September 2012

Manusia berhati batu

Bagaimaaa rasanya kalau berkira-kira mahu menjadi sebaik-baik manusia? Bukan sempurna tapi cukuplah dengan memberi selalu yang terbaik, membuat orang lain selalu tersenyum dan setidak-tidaknya menjadi orang yang selalu diingat kerana kebaikkan. Lumrah manusia, perkara yang tidak baik akan menjadi kenangan yang tidak akan pernah hilang dari benak yang paling halus dan perkara baik adalah perkara yang selalu dilupa jika kebaikan itu adalah sekecil-kecil kebaikan.

Menjadi aku, aku selalu mahu mengenang kebaikan yang pernah orang lakukan kepada aku. Cuma, sayangnya, aku juga selalu mengingat setiap kesakitan dan kelukaan yang pernah aku jalani dulu. Bukan mudah untuk menjadi aku. Sehingga sekarang, jauh di sudut hati, aku mahu membuang rasa dendam yang sudah lama bernanah dan membengkak. Aku membencinya kerana dia manusia paling biadap yang tidak pernah tahu erti menghormati hak orang lain. Sehingga aku sudah membenarkan dia mengambil hak yang aku ada tetapi sampai ke saat ini, hati aku masih tidak merelakan dia menghirup walau sedikit pun rasa bahagia yang aku ada. Mahunya, biar dia terus dihimpit kesempitan hidup dan mungkin itu karmanya kerana menjadi pemusnah kebahagiaan orang lain.

Aku, manusia berhati batu yang asalnya lembut tetapi setelah kau membuat aku begini, aku sedang bangkit melawan kedegilan hati.

Jangan sampai aku hilang rasa hormat kali terakhir kepada kau sebagai manusia.

posted from Bloggeroid

Sunday, 26 August 2012

Pulang

Mahunya aku berlama-lama di sini. Biar tuntas semua keinginan dan lunas semua rindu kepada enaknya bertiduran hingga dinihari dan nyamannya menjamah makanan hasil tangan ibu setiap hari. Tiada apa yang aku amat mahukan selain berada di samping mereka yang selalu membuat aku senyum dan ketawa selalu bagaikan aku sudah lupa yang aku masih ada tanggungjawab lain yang perlu aku pikul. Berada di samping mereka di aidilfitri adalah keasyikan yang paling bahagia dalam hidup aku. Beginilah rasa setelah penghidupan sudah diatur sebaik-baiknya, akan ada yang terpisah dan bertemu hanya apabila masanya tiba selepas diaturkan. Aku sekarang berada di lapangan terbang kota kinabalu. Mahu berlepas ke bumi kenyalang. Walaupun hati masih berat untuk meninggalkan jejak di bumi Sabah, tetapi inilah keadaan yang perlu aku lalui setiap kali selepas bercuti. Aku mahu nikmati saja rasa ini kerana apabila satu hari nanti, aku bukan lagi perantau, rasa ini tidak akan sama lagi seperti begini.



posted from Bloggeroid

Wednesday, 8 August 2012

Rezeki

Perihal anak adalah satu sensitiviti bagi mereka yang belum punya pewaris untuk darah daging sendiri. Aku dengar cerita dari seorang kawan. Dia lelaki yang benar-benar mahukan pewarisnya. Terharu aku dengan kesungguhan dia cuma, mungkin rezeki itu masih belum sampai masanya untuk diberikan oleh Tuhan. Kataku dengan dia,
" Rezeki itu datangnya dari Tuhan. Kalau saja Dia mahu berikan rezeki itu, bila-bila masa saja Dia akan tunaikan. Dan jika Dia masih belum memberikannya, anggap sajalah masanya belum tiba. Tuhan bukannya tidak mahu menunaikannya tetapi Dia masih menangguhkannya untuk satu masa yang benar- benar sesuai untuk kita. Berusaha, berdoa dan bertawakal selalh. Janji Allah itu tetap benar. Percaya saja pada Qada dan Qadar. Itu adalah terapi ketenangan yang tidak perlu dipertikaikan".

posted from Bloggeroid

Thursday, 2 August 2012

aku tidak tipu

Bulan puasa, banyak kelebihan dan rahmatnya. Siang menahan lapar dan dahaga serta semua perkara yang membatalkan puasa kemudian, malam berterawih sendiri memohon agar mendapat berkat untuk sepanjang kehidupan. Dan, selepas 13 Ramadhan ini, selepas sahaja membuka telekung yang aku sarung, mata begitu cepat mahu terlelap. Begitula rutinnya. Setiap satu persatu kerjaan aku kini belum pernah lagi aku sempurnakan di waktu malam. Dan sekarang, aku mahu beradu dahulu. Esok, 14 Ramadhan, hari perkongsian kegembiraan aku bersama si dia selepas dua minggu.

Dengan berjauhan, kau akan rasa yang kau akan bertambah-tambah sayang dengan pasangan kau. Betul. Aku tidak tipu.


Tuesday, 31 July 2012

Dejavu

Begitu ramai yang bernasib baik, begitu ramai juga yang tidak brnasib baik. Seminggu ini aku berdepan dengan manusia yang lingkungan hidupnya perit untuk diceritakan. Cerita pertama, dia perempuan yang hampir diperdagangkan, ditipu oleh manusia yang pentingkan wang ringgit kurang dari maruah sesama insan. Cerita kedua, dia lelaki yang rutin harinya terganggu dengan kebisingan, kepenatan dan ketidakselesaan bersama rakan-rakan lain. Dia perantau yang selalu diugut dipulangkan ke tempat asal oleh kesalahan yang dilakukan oleh rakan sendiri. Cerita ketiga, dia perempuan yang bekerja membantu suami menambah pendapatan keluarga. Sekadar tukang sapu, hasilnya untuk menyara anak beranak makan minum dan pakai untuk terus berhidup. Dengan cerita ini, air liur aku telan, mata aku bulatkan, bibir aku ketapkan, cerita-cerita ini adalah fitrah kehidupan. Susah senang adalah klise kehidupan. Sedikit demi sedikit aku rasa dejavu. Kerana dulu, aku pernah merasa susahnya dan sukarnya untuk berada di tempat aku sekarang. Dalam diam, aku tadah tangan semoga kehidupan manusia dari ketiga-tiga cerita ini akan menjadi lebih baik dan dipermudahkan oleh Allah untuk jalani kehidupan mereka. Senyum di bibir mereka manis tetapi hanya Tuhan yang tahu tangis mereka di sudut bilik.

posted from Bloggeroid

Wednesday, 25 July 2012

Jangan lupa

Apabila aku putar semula setiap perkara yang pernah berlaku, aku mengesan beberapa perkara. Kadang-kadang aku sudah melupainya tetapi daya ingatan ini ada masanya cukup kuat untuk menyimpan setiap momen sedih, gembira dan terluka yang pernah aku jalani satu-persatu. 
Kau tahu, kesakitan itu teramat mengerikan untuk dirasa dan adakalanya sakit itu masih terasa ketika manusia yang memberikan kesakitan itu masih terus memberi kelukaan secara terus-terusan. Entah bila kepuasan akan menjadi milik dia, aku sendiri kurang pasti. Aku dinasihatkan oleh pemilik tulang rusukku agar membiarkannya saja malah biarlah kebenaran itu terbuka sendiri hijabnya di mata orang lain. Ya, mungkin enak menyakiti orang lain dan lebih enak kalau setiap yang diucapkan itu adalah dusta semata-mata. Tahniah, kerana begitu tabah mencipta cerita untuk membuatkan aku merasa kau adalah manusia paling baik kerana terus menyebabkan pahala aku bertambah. 
[ Aku percaya kelukaan ini adalah ujian. Insyallah, mudah-mudahan semakin berat ujian, semakin terhapus dosa dan beratlah hitungan pahala aku ]


                                                                        Aku, manusia berhati tisu tetapi kau jangan lupa, aku manusia yang punya Tuhan untuk aku adukan setiap rasaku. Kau lupa yang doa orang teraniaya itu adalah antara doa-doa yang mudah dimakbulkan oleh Tuhan?
Buka mata dan rasa denyut jantung kau, kau rasa, bagaimana kau boleh hidup tanpa Tuhan? 

Monday, 23 July 2012

Kedua dan ketiga belas

Alhamdulillah, aku masih diberi ruang pernafasan untuk jalankan ibadat yang satu ini. Alhamdulillah, ini kali kedua berpuasa sebagai isteri dan tahun ke tiga belas berpuasa di rantauan tanpa keluarga. Ia kitaran waktu yang pada bahasanya begitu lama tapi sangat sekejap pada rasa yang aku ada selama keberadaan aku di atas bumi ini.

Dalam jangka masa ini, aku bayangkan yang aku sebenarnya sudah imun tanpa mereka tetapi aku belum cukup ampuh untuk mengenangkan momen-momen aku bersama-sama mereka. Bangun dan terus makan tanpa membantu ibu di dapur adalah satu keterbiasaan yang aku bikin aku mahu dekat dengan mereka selalu. Cuma, dalam umur tiga puluhan begini, cukup-cukuplah rasanya kemanjaan mendapat tempat pada posisi paling teratas di dalam diri. Kasihan ibu. Tong-tang tong tang di dapur. Anak-anak semua masih bergelimpangan memeluk bantal.


Aku masih teringat perihal ibu membangunkan kami adik-beradik. Untung-untung ibu panggil sekali, semua bingkas bangun tapi kalau mata lebih penting dari mengisi perut, ibu ada strategi untuk ajarkan kami.

Kata ibu,
" Bangun No kom mimon, amun kom nia bangun, baya ni kom ngelantu kang poso." ( dialog dalam Bahasa Bajau, minta mama arina bagi terjemahan. Hahaha.)

Tapi memang sudah dingatkan banyak kali ' kata-kata merupakan satu doa'. Kalau ibu yang sudah cakap sebegitu tapi anak-anak masih berdegil, terimalah padahnya kelaparan dan kehausan sampai mahu duduk di dalam peti ais lama-lama. Eh!.

Untuk semua ahli Gsf dan pembaca senyap blog ini:

' SELAMAT MENYAMBUT RAMADHAN DAN SEMOGA KEHADIRANNYA MENJADIKAN KITA LEBIH BAIK DARI SEBELUM INI '. AMIN.

posted from Bloggeroid

Friday, 20 July 2012

Beri jalan

Kadang-kadang dengan hanya mempercayai diri sendiri yang setiap jiwa perlu ada pengisian perihal ketuhanan untuk setiap saat, ia akan menjadikan diri lebih bersiap-siaga dengan segala kemungkinan di dalam kehidupan. Alasannya cuma satu, hidup akan berakhir di dunia tetapi akan abadi selepas Hari Pembalasan kelak. Untung-untung kalau kebaikan melebihi kejahatan, bolehlah bersenyum-senyum tanda kelegaan. Tetapi jika hitungan adalah sebaliknya, tangis dan rintihan akan menjadi saksi paling utama sebagai tandalah itulah kekecewaan kerana kelalaian berbuat kebaikan sewaktu bernafas di bumi Tuhan dahulu.

*Sekurang-kurangnya, berilah jalan kepada pemandu lain ketika di jalan raya. Tidak rugi pun kalau berbuat kebaikan begitu. Insyallah, kalau kita bagi jalan dengan orang lain, orang lain pun akan bagi jalan juga pada ketika kita sangat memerlukannya kelak★.




Doodle Hasil kreativi mama arina♥♥

posted from Bloggeroid

Monday, 16 July 2012

Relakan saja tutup mata

Hingga ke saat aku tuliskan rasa ini, aku akui yang manusia itu punya macam-macam ragam yang kalau aku tidak mampu tahankan, sudah lama aku tutup rapat-rapat ruang yang aku pernah sediakan untuk mereka. Kadang-kadang aku tidak faham kenapa mereka ini yang pada ketika syaitan menghasut mengapi kemarahan, mereka akan tempiaskan kepada orang lain.

Jujurnya, ada kala aku juga begitu, tahu yang diri aku sedang digilai oleh syaitan untuk meledakkan marah ini pada sesiapa saja. Sudah beberapa kali, aku ditegur kerana kebiadapan itu. Ketika itu, kalau saja aku sudah celik mata dan berperasaan terbuka, aku rasa itu adalah sekecil-kecil kesilapan yang silap-silap boleh heret aku terpuruk menyesali kekhilafan diri.

Tetapi, ya, benarnya, setiap manusia itu berbeza relung pemikirannya. Yang baiknya, aku perlu terima saja semua. Relakan saja tutup mata dan tidak usah terlalu memikirkan ragam manusia sebagai salah satu makhluk Tuhan yang paling unik dijadikan di dunia.

posted from Bloggeroid

Saturday, 14 July 2012

Pengganti

Satu persatu rasa kegilaan datang. Sesak rasa mahu menghalang agar ia tidak duduk di sudut hati. Kalau aku teruskan dengan rasa begini, tidak-tidaknya aku akan mati. Atau untung-untungnya aku akan tetap berhidup dengan cara aku sendiri tanpa mempeduli orang lain. Sukar untuk melupa dan aku akui dengan seribu kali anggukan tanda aku benar -benar setuju. Melupus setiap rasa yang tidak selesa sememangnya boleh menjadikan aku seperti manusia dengan jiwa separa sedar bahawa yang telah pergi itu tidak akan kembali. Aku hanya perlu tadahkan saja tangan aku berdoa agar tempatnya digantikan dengan lebih baik darinya. Kepercayaan aku pada Tuhan sebenarnya tidak pernah berbelah-bahagi. Jatuh bangun hidup aku ada di tangan Dia. Entah-entah esok lusa, aku sudah ada pengganti dia. Siapa tahu yang rahsia Tuhan itu kalau hijabnya terbuka, semua makhluk akan terduduk bersujud dan bersyukur. Aku mengerti benar perihal itu. Sungguh-sungguh aku masih berharap yang aku tidak gila terus walaupun ketika aku rindukan dia, aku berharap yang dia ada di sisi aku untuk aku peluk dan cium selalu.




posted from Bloggeroid

Thursday, 12 July 2012

Kenangan bersama Mama Arina

Serasa aku, jika ahli GSf ada yang sedia maklum yang aku dan mama arina adalah sepupu. Emak dia dan bapa aku adalah adik beradik. Jadi, bila dikatakan sepupu, sudah tentu adalah kenangan-kenangan yang kami pernah lalui bersama.

Dalam banyak-banyak kenangan yang ada, mama arina mengingatkan aku perihal satu perkara yang amat manis untuk dikenang-kenang. Dia ingatkan aku sewaktu dia komen entri 'Rabu tanpa kata' yang lepas. Ia perihal 'birud' dalam bahasa Bajau dan sinonim dengan siput sedut dalam Bahasa Melayu. Aku rasa mesti ramai yang maklum tentang birud ni.

Jadi, ada cerita yang masih cantik tersimpan yang berkaitan dengan birud waktu aku dan mama arina masih hingusan. Kalau tidak silap, umur kami dlm 9 thn macam tu. Mama Arina, betulkan kalau salah.;).

Satu hari waktu petang, kami pergi cari birud ni di tepi sungai. Bukan main gembira bila kami dapat birud dalam kuantiti yang banyak. Terbayang-bayang kalau direbus kemudian di korek guna pin kemudian masuk dalam mulut. Kami cari birud ni di tepi-tepi batu dan hasilnya memang lumayan. Bila balik rumah dan waktu hampi Maghrib, emak tunggu di luar rumah sambil pegang rotan di tangan. Aku yang lihat sudah kecut perut. Memang habislah kalau sudah ada di depan emak.

Dan ramalan kami benar belaka, emak rotan aku di kaki sambil membebel. Sebab emak marah: aku jalan tanpa maklumkan dia, kami pergi di sungai tanpa ditemani orang dewasa, emak takut kalau ada apa-apa jadi dengan kami sebab kami masih budak masa tu, dan aku tahu emak rotan supaya aku beringat-ingat yang aku kena jaga diri selalu. Emak marah benar bila aku jalan tanpa maklumkan dia. Kesian mama arina, dia pun turut kena tempias. Jiwa kanak-kanak yang ingin tahu memang tidak dapat dikawal waktu tersebut. Asyik mahu cuba semua benda.

Bila difikir-fikir dan dibandingkan dengan masa sekarang, memang bahaya bila kami pergi sendiri cari makanan padahal makanan cukup disediakan oleh keluarga. Walaupun lokasi sungai tidaklah jauh sangat dari rumah tapi, percubaan begini kurang selamat untuk budak seumur kami.

Kesan dari hari itu, aku dan mama arina memang serik. Takut kena rotan lagi. Walaupun itu bukan pertama kali, aku dirotan sebab selain dirotan, aku pernah juga diikat guna tali oleh pakcik aku selepas itu. Mungkin itu untuk entri lain. :)

♥ AHLI GSF, ada yang pernah dirotankah? Hehehe. Angkat tangan?


Ini birud yang aku maksudkan. Gambar dari blog dibawah;


http://lokanmelaka.blogspot.com/2010/08/siput.html


Birud yang tidak boleh dimakan. Ia tidak ada penutup dia bahagian atas.


Birud yang boleh dimakan. Ia ada penutup di bahagian atas. Dan inilab yang kami cari.
posted from Bloggeroid

Monday, 9 July 2012

Banner bungasepet

Hujung minggu usai pergi dengan aktiviti keluarga. Ke sana ke sini berjalan bawa mereka jenguk bandar kuching. Mungkin aku perlu buat satu entri nanti. Tunggu ya.

Kesibukan yang ada buatkan aku lupa entri mama arina tentang banner aku. Minta maaf mama arina yang comel seperti Pn. Misya Mialen. Hehehe.

Ulasan:
Banner in siap seperti yang aku mahu. Dan apa yang aku mahu, ada seperti di dalam.banner di bawah.

Terima kasih dik. Moga panjang umur, murah rezeki dan bahagia selalu. ♥♥♥



posted from Bloggeroid

Tuesday, 3 July 2012

Dia suka, dia datang, dia tidak suka, dia hilang.

Aku bukannya tipikal orang yang sukakan binatang yang satu ini. Manusia cepat baran seperti aku selalunya kurang sabar melayan karenah mereka.  Jauh bezanya dengan pasangan hidup yang Tuhan pinjamkan untuk aku. 

Dia sangat sayangkan kucing. Dia suka bercakap dengan makhluk ini seperti ia pun faham dengan apa yang diucapkan. Kadang-kadang dia gendong kucing seperti ayah gendong anak, maksud aku, kucing tu dia akan letak di atas bahu dia sambil berjalan-jalan. 

Itu belum lagi bila dia bermain-main dengan kucing, hulur jari telunjuk letak atas muka kucing dan gerakkan sehinggalah kucing tu berdiri dengan 2 kaki dan kemudian terjatuh. Masa itulah, dia akan ketawa dan kalau waktu tu aku ada di sana, aku pun turut ketawa. Tersentuh hati bila dia begitu baik melayan kucing.

Bukan macam aku, dengan binatang ini, aku boleh suka sekelip mata dan boleh juga marah percuma-percuma. Aku akan tersenyum terus-terusan bila ternampak kucing yang mukanya saja boleh menceritakan ia adalah haiwan paling menyenangkan. Lebih-lebih lagi sekarang ni, gambar kucing selalu digunakan untuk menunjukkan perasaan yang manusia sukar untuk lakonkan. Kucing ada banyak jenis raut muka. Muka kasihan meminta makanan selalu menampakkan mereka memang binatang kesukaan orang kebanyakkan.

Tapi, cahaya matahari tidaklah sampai ke petang. Bila-bila kucing tu buat perangai, misalannya curi makanan padahal aku sudah bagi makanan, aku cepat sangat baran, cepat untuk buat aksi pukul kucing. Mungkin kerana perangai inilah, kucing agak takut dengian aku berbanding dia. 

Bukti yang paling jelas, kucing gelandangan yang selalu datang di rumah akan tunggu depan pintu pagar atau depan pintu rumah pada waktu-waktu suami dijangka sampai di rumah. Ya, itu salah satu sifat kucing yang paling klise aku rasa. Dia suka, dia datang, dia tidak suka, dia hilang.
















Saturday, 30 June 2012

Momen-momen instagram

Dalam era teknologi yang semuanya ada di hujung jari, aku pun turut tidak terkecuali. Laman sosial yang kian berkembang misalannya kewujudan 'instagram' menyebabkan aku terus-terus merasa betapa dunia ini semakin maju walaupun ketika kejadian Israk dan Mikraj yang dilalui oleh Rasulullah, di mana ketika itu, beliau yang berjumpa dengan seorang tua bertongkat dan bertanya kepada Malaikat Jibril: siapa kah itu? Jawab Malaikat Jibril:  'itulah umur dunia'. 

Sehingga aku buat entri ini, aku masih tidak dapat bayangkan berapa lama lagi dunia ini mampu bertahan. Harap-harap, di setiap detak jantung dan hembusan nafas aku, aku masih boleh teruskan kelansungan hidup dengan selalu ingat yang manusia seperti aku ini pun, lama-lama akan menjadi tua tahun demi tahun. 

Aku sedang menikmati momen-momen sebagai seorang manusia yang hujan panas di hati aku adalah ubat paling mujarab untuk ajar aku menelan setiap pahit yang ada dan akhirnya menjadi madu untuk terus berhidup.

Sebahagian figura dari 'instagram' aku:

























sponsor by:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...