Tuesday, 28 February 2012

Musibah dan kesabaran





Aku selalu mendengar cerita terkaitan dengan setiap ujian yang kita hadapi untuk hari-hari yang lalu, sedang  kita lalui dan masa-masa akan datang ada hubungkaitnya dengan pembersihan dan pembentukan hati yang lebih bersih dan terdidik baik. Aku sudah cukup imun dengan ujian begini. Ketika satu persatu kesenangan ditarik balik, aku menjadi nanar dan bernanah di dalam hati. Selepas insiden si dia yang kemalangan sewaktu memandu kereta, kami perlu menyediakan banyak wang untuk proses membaiki kereta dan belum selesai dengan itu, aku pula kehilangan benda terpenting untuk kerjaya dan hidup aku. Hilangnya komputer riba yang punya beribu-ribu gambar dan dokumen penting memang membikin separuh nyawa aku terhenti sebentar untuk berkondisi dengan baiknya.



Ya, kami anggap ini ujian dari Tuhan untuk menguji kesabaran hati untuk menghapus dosa-dosa lalu dan kami percaya, Tuhan sedang mengatur rencana yang lebih baik untuk kami ketika ini. Aku sudah tidak mahu bicara soal kecuaian kerana alasanya, aku selalu percaya, walau secermat mana sekali pun kita, tetapi, kalau sudah tertulis di Loh Mahfuz begitu dan begini nasib kita dan Bila Allah sudah mengatakan, Kun, Fayakun, tiada daya atau kuasa lain lagi yang akan dapat menahannya daripada berlaku.

Kata seorang sahabat, jika aku terus-terusan bertanya kenapa dan mengapa, itu namanya aku tidak redha dengan aturan begini. Jadi, adalah lebih baik jika aku merelakannya dan meredhakan saja semuanya kerana akan ada yang lebih baik untuk aku kelak. Bila dan apa, tidak perlulah juga dipersoalkan, apabila sampai masanya nanti, akan adalah ganjaran  kesabaran  aku dan si dia menghadapi ujian begini. Kerana itu, aku selalu berharap, aku dan si dia punya kesabaran yang sangat tinggi  walaupun ada masanya sabar itu sangat tipis untuk dihitung.

Terima kasih yang tidak terhingga untuk si dia yang selalu ada di samping aku. Terima kasih untuk keluarga yang selalu memberi semangat  untuk kami terus berhidup. Terima kasih untuk semua kawan-kawan yang  selalu mendoakan kebaikan untuk kami dan Syukran Jazilan, Ya Allah atas kurniaan-MU. Dengan nama-Mu yang Maha Berkuasa dan Maha Mengasihani, Sesungguhnya, Engkaulah Yang Maha Mengetahui daripada segala yang mengetahui.

Tuesday, 21 February 2012

rezeki itu adalah rahsia Allah yang sukar dijangka

 Jam 3 petang, aku sudah menamatkan masa hujung minggu dengan penuh kesyukuran.  Aku yang berpergian selama 2 malam 3 hari, usai bersama-sama si dia. Pemergian kali ini sangat menyenangkan seluruh perasaan. Cuma, belakangan ini, aku asyik tidur. Pantang jumpa bantal, mata cepat terlelap. Buat perangai yang bukan kebiasaan.

Jarak masih lagi menjadi permainan  untuk perkahwinan kami. Dan tempoh perkahwinan ini juga, ramai yang bertanya bila lagi aku mahu mengandung? Bila lagi aku mahu ada anak? Jujurnya, kalau saja Tuhan itu sudah makbulkan doa aku dan si dia, keluarga aku dan keluarga mentua, sudah pasti sekarang aku sudah boleh menjawabnya. Jangan pernah dibilang kami belum bersedia, tidak. Di setiap doa, kami tidak pernah lupa untuk berdoa moga-moga Tuhan murahkan rezeki kami untuk punya zuriat sendiri. Dan, aku juga sangat mengerti betapa banyak doa yang keluarga pohon untuk aku dan suami ada anak sendiri. Mereka adalah hamba Allah yang cukup-Cukup mengerti bahawa, kita itu manusia biasa yang perlu berusaha, berdoa dan bertawakal dan selebihnya itu adalah kerja Tuhan, Dia yang akan menentukan sama ada makbul atau tidak doa tersebut dan berhasil atau tidak usaha itu. Sungguh, aku sangat bersyukur kerana sekurang-kurangnya aku masih berada di dalam lingkungan mereka-mereka yang percaya pada aturan dan kekuasaan Tuhan. 

Kerana itu jugalah, aku masih mampu untuk melalui hari-hari aku dengan senyuman. Rezeki itu adalah rahsia Allah yang sukar untuk dijangka. Jika pada sebelas bulan yang lepas kami belum punya rezeki tetapi, rezeki kami ada pada lain cerita. 

Friday, 17 February 2012

berpergian

Aku sedang berpergian. Jauh dari rutin kebiasaan. Menghirup udara yang kondisinya lagi menyegarkan. Aku buang jauh -jauh kesakitan yang kau onarkan. Apa kau anggap aku manusia patung? Aku juga ada perasaan. Kalaupun aku senyum ketika memandang kau, itu belum bermakna, tiada lagi sakit di hati. Ia akan kekal ada di situ sehingga aku rasa aku mampu membuat kondisinya biasa-biasa.
Doakan pemergian aku ini selamat sampai ke destinasi dan selamat kembali ke sini lagi. Aku mahu mencari melupa semua rasa yang sebal ini. 

Tuesday, 14 February 2012

Keajaiban yang aku tunggu


Perjalanan hidup aku tidaklah sesempurna yang aku selalu impikan. Kehidupan aku adalah seperti orang kebanyakkan yang selalu menginginkan adanya kegembiraan dan kebahagiaan untuk memastikan esok-esok aku masih boleh berlapang dada untuk terus bernafas dan tersenyum. Tetapi, aku bersyukur kerana sepayah macam mana pun hari-hari yang aku lalui, aku masih lagi mampu untuk terus menjadi manusia yang kebal dengan jarum sakit dunia.

Apabila aku ingat yang aku pernah mendapat nombor tercorot di dalam kelas, gagal mata pelajaran teras, mengulang subjek yang gagal sewaktu di kampus, dtuduh meniru buat tugasan oleh pensyarah di maktab, berpeluang untuk dikecewakan berkali-kali dan dikhianati kawan, hal-hal sebeginilah aku membuat aku semakin positif menghadapi hari-hari aku. Ya, itu sepertiga rencah hidup sebelum ini, selebihnya, lebih menyakitkan tetapi, aku sudah berjaya hadapinya.

Sebenarnya, apabila aku ditimpa sesuatu kejadian yang aku kurang ingini atau lebih telus lagi yang aku benci, aku masih tidak akan sedar apa hikmah yang akan aku terima selepas itu sehinggalah sampai satu ketika aku dengan pasrah menerima setiap ketentuan itu. Dulu, bukan sekali dua aku bertanya pada Tuhan, kenapa aku ditimpa begini, kenapa aku diuji begini? Ada masanya, aku menyangka tiada lagi jalan bahagia dan tidak mungkin aku dapat miliki apa yang aku selalu angankan.

Kemudian, setelah sekian lama aku memikir dan satu persatu hikmah datang, aku seakan mahu menangis, rupa-rupanya begitu besar rahmat di sebalik kejadian yang telah diatur cantik-cantik oleh Tuhan. Subahanallah. Biarpun ada ujian yang sedang menguji dan ada doa yang belum termakbul tapi aku yakin, esok-esok apabila Tuhan kata, Kun, Fayakun, itulah keajaiban yang aku tunggu.

Friday, 10 February 2012

Mungkin ia adalah soalan dan harapan yang ditangguhkan.


Payah untuk aku mengolah kata, menghindar diri daripada tidak berkias untuk setiap cerita. Di kiri dan kanan aku ada mereka-mereka yang aku perlu jaga hatinya meskipun, pada sudut yang lain, ada jiwa yang terkisah. Perlahan-lahan aku lipat baik-baik setiap penderaan emosi yang pernah aku jalani dan aku letak ia di sudut paling tersembunyi di ruang hati. Dan seboleh-bolehnya aku tidak pernah mahu ada sesiapapun yang mengambil peduli kerana ia adalah ruang privasi yang aku tidak mahu dicerobohi. Biarlah ia di situ, kekal dan tidak diusik. Tetapi, aku ini ada masanya tidak mampu untuk menahan kekebalan hati dan ruang privasi itu terbuka sendiri ketika aku sendiri. Ia berlaku spontan yang jadinya seperti aku saja yang tahu. Pada saat itulah, pendengar yang paling setia itulah akan selalu ada. 

Di atas lipatan sejadah, aku bersimpuh memohon agar berapa banyak soal dan harapan pun yang aku cari jawapannya dan aku tunggu keberhasilannya, aku tetap mahukan ia adalah yang terbaik untuk aku meneruskan keberadaan aku di sini. Hidup aku perlu kepada banyak harapan agar aku tetap berkuat hati, berjiwa hadam untuk semua kejadian yang sudah pun ditakdirkan. Aku tahu, aku tidak akan mampu membuat semua orang mengerti tapi cukuplah kalau mereka masih mengingati setiap apa yang jadi, itu adalah kehendak Illahi. Jadi, jangan dipersoalkan kenapa dan mengapa lagi, apabila aku tidak begitu dan begini. Mungkin ia adalah soalan dan harapan yang masih ditangguhkan keberhasilannya.

Wednesday, 8 February 2012

Rindu



Kuasa menukar rutin sebenarnya terletak pada kesanggupan diri sendiri untuk menerima perubahan. Aku masih merangkak untuk mengajar diri lebih produktif di dalam rutin harian mahupun pada profesi aku. Ada saatnya aku sudah tidak olah untuk begini. Ia memberikan berbagai-bagai rasa yang kurang enak pada diri. Tetapi, ada masanya, aku cukup-cukup sedar diri akan ujian yang pokok puncanya adalah untuk mentarbiah hati aku. Cuma, aku ini adalah salah seorang manusia yang hatinya seperti sekeping tisu yang mudah saja untuk renyuk dan koyak. Seberapa lama pun rutin aku begini, aku harusnya menerima dengan senang hati tanpa ada sedikit ragu pun pada takdir secantik ini yang Tuhan sudah susun cantik-cantik untuk aku. Aku pejam mata rapat-rapat, kononnya aku mahu menyahkan segala ketidakenakkan ini, kemudian menyerap setiap cas positif untuk memasuki jiwa dan raga aku. Moga-moga dengan cara begini, perasaan aku tidak lagi rapuh, tidak lagi sepi dan selalu yakin yang hati kita tetap satu biarraga kita terpisah jauh. Rindu.

Thursday, 2 February 2012

menunggu

Add caption
Terbiasa dengan menunggu sesuatu bukan lagi satu rutin yang dianggap mendebarkan. Meskipun, penantian satu penyeksaan tetapi apabila ia menjadi kebiasaan, hilanglah unsur debaran. Yang ada adalah penat dan sayu di dalam hati. Tapi, belajar untuk terus menanti itu lebih baik dari sentiasa ada kerana ia juga dapat mendidik jiwa supaya jadi lebih bersederhana dan selalu menerima apa adanya. Jikalau semua yang dimahu itu ada di depan mata, jiwa manusia seperti aku ini akan mudah lupa. Jadi, dengan adanya sedikit usaha dengan menanti, biarpun ia bukan lagi luar biasa tetapi, ia adalah satu latihan untuk terus mensyukuri setiap nikmat dan selalu percaya yang baik manapun kita merancang, tetaplah saja untuk menerima hakikatnya tanpa ada syarat.

inner ninja untuk dijual



Oh, entri paling ringkas.
Sekiranya berminat untuk membeli, sila jangan segan untuk tinggalkan pesanan anda di ruang komen.
Harga:RM 25 INCLUDE POS (Sabah, Sarawak dan Semenanjung).
Warna: hitam, pink, hijau, ungu, biru, coklat dan grey.
Kain cotton yang sejuk dan tidak panas.

sponsor by:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...