Saturday, 31 March 2012

Bawal style silang



Kalau ada dia, hobi aku jadi senang. Mood aku jadi sangat baik. Dia boleh tolong klik, klik.. Idea utk buat bawal style silang pun datang tiba-tiba. Boleh tutup depan dan panjang di belakang. Anda suka? saya sangat suka.;)


Murah rezeki





Hari Isnin:
 Dia: Ini untuk kamu, ( bagi ubat angin  untuk aku )
Aku: Eh, terima kasih kak. Berapa harga ni?
Dia: Kakak bagi sedekah untuk kamu.
Aku: Terharu. Tidak sangka. Dan cakap. ' Terima kasih kak. Moga murah rezeki selalu '

Hari Selasa:
Dia: Kak, saya minta maaf semalam tak sempat bagi kakak. Hari ni, saya bawa untuk kakak (Hulur sebotol ari zam-zam dan kacang-kacang dari keluarga murid yang baru balik dari Umrah.. Dia ini adalah cikgu kepada murid yang keluarga pergi umrah. Mereka bagi dia ole-oleh dan dia bagi pula untuk aku sekali.
Aku: Dengan muka gembira.' Terima kasih dik. Moga murah rezeki selalu '.

Balik rumah, aku minum air zam-zam sambil berdoa memohon agar dimurahkan rezeki dan diberi kebahagiaan hidup dunia dan akhirat.

Hari Rabu:
Mesej bunyi. ' Salam long, aku sudah kirim barang. Tidak payah bayar. Ambillah '. Itu bunyi mesej. Aku girang. Senyum hingga ke telinga.  Aku balas, ' Terima kasih, dik. Moga bisnes kau terus maju .'

Aku dapat baju percuma, kasut hitam ( entah aku tidak tahu mahu namakan apa tapi dia panjang hingga tutup buku lali, style ala boot), sehelai baju kain chiffon yang sudah lama aku idam dan sehelai cardingan merah jambu berenda di leher yang juga jadi kesukaan aku. Aku gembira. Sangat.

Hari Khamis:
Kosong. Ia penuh dengan rasa tidak selesa. Kata-kata seorang kawan sedikit sebanyak membuat luka di hati aku. Balik rumah pun aku masih teringat-ingat. Ketika aku taip cerita ini pun, aku masih juga teirngat. Kalaulah kau tahu, yang menyalahkan orang lain sebelem tahu kebenarannya adalah hal yang paling sakit bagi aku. Dalam diam, kau bikin jiwa aku kosong terhadap kau.

Hari Jumaat:
Situasi satu:
Dia: Ini untuk kamu, ( Hulur ubat untuk kesegaran badan )
Aku: Terima kasih, kak. Moga murah rezeki selalu.

Situasi dua:
Dia: Cikgu, nah, ini bapa saya bagi untuk cikgu ( Hulur sebungkus kurma )
Aku: Terkejut tapi sangat gembira. Eh, kurma dari mana ni?
Dia: Bapa saya baru balik dari umrah cikgu. Jadi, dia bagi cikgulah.
Aku: Oh,bagitau bapa awak, cikgu ucap terima kasih banyak-banyak. Moga murah rezeki selalu dan sampaikan salam cikgu dengan dia.
Dia: okey, cikgu. Senyum.

Situasi tiga:
Aku pergi beli sayur di tempat kedai yang aku sudah biasa. Taukehnya pun sudah kenal aku. Aku beli sayur seikat dan cili padi dua ringgit. Taukeh kedai  bungkuskan dan masukkan di dalam plastik. Kemudian, tiba-tiba, dia ambil sebungkus coklat yang ada di atas kotak di belakang tempat duduk dia.
Dia cakap,  ini untuk kamu, saya bagi. ( sambil masukkan coklat di dalam plastik  dan hulur untuk aku )
Aku: Terkejut. Eh, terima kasih. ( Dengan gembira ). Coklat dari mana?
Dia: Coklat dari Singapora, pakcik saya baru kirim dari sana.
Aku: Oh, bestnya. ( Masih terkejut tidak terkata-kata )
Dia: Terima kasih, ya. Datang lagi.

Situasi empat:
Aku cari seluar slack hijau lumut yang sudah sebulan aku tidak pernah pakai. Aku sarung di kaki dan aku seluk poket. Eh, ada duit kertas merah 2 helai. Terkejut tapi oh, gembiranya. Ada lagi duit belanja bulan ini.

Sebenarnya, aku sedang menganalisis setiap perkara yang berlaku kepada aku selama lima hari ini. Ia berlaku secara spontan yang aku tidak pernah ramal. Ia kebetulan tapi aku rasa ia adalah takdir. Aku sudah lama mahukan kurma, mahukan baju  chiffon, kasut dan cardigan, aku memang suka makan coklat, aku sudah lama mahukan air zam-zam untuk diminum, merasa kacang-kacang dari Mekah dan aku memang perlukan ubat-ubat tersebut. Bila aku fikir-fikir, rezeki aku cukup murah minggu ini. Alhamdulillah. Syukran Jazilan Ya Allah. Jadikan aku hamba-MU yang tahu bersyukur dengan menyebut nama-MU dan tunduk Pada-MU. Dan, untuk esok hari, lusa dan tulat, aku benar-benar tidak nampak apa yang akan jadi. Sulit untuk aku memikir. Aku harap-harap, rezeki aku selalu dimurahkan dan aku dapat jalani keberadaan aku di bumi Tuhan ini dengan penuh rendah diri dan sabar.

Wednesday, 28 March 2012

Beda



Kau rasa: 
Kau ada banyak kisah untuk diceritakan.
Ada pelbagai rasa untuk dijadikan sekurang-kurangnya sedikit tulisan bagi melegakan segenap perasaan.  

Cuma, kadang-kadang, kau akan hilang kata atau kering pendahuluan untuk memulakan setiap penceritaan. Bagi mereka yang amat mencintai hasil karya sendiri selalunya  akan membuat penceritaan dari sisi hati kecil dengan penuh emosi.

Seperti aku, aku punya banyak cerita yang aku mahu kisahkan tetapi, ada masanya aku akan berfikir sedalam-dalamnya sama ada aku perlu menceritakannya di sini atau aku pendam saja di dalam hati. Kau tahu dan seperti yang aku juga maklum, berkongsi setiap rasa dan pengalaman itu mungkin akan dapat melegakan perasaan orang lain jikalau mereka-mereka ini pernah mengalami pengalaman yang hampir-hampir serupa.

Dan, beruntunglah sekiranya mereka-mereka ini mendapat manfaat dari penulisan yang hanya sedikit. Mereka boleh berfikir selepas membaca penulisan yang kau hasilkan. Kalau penceritaannya sampai hingga ke ruang hati yang paling dalam maka, itu adalah satu kepuasan yang sangat mengujakan. Hati aku ini, mengasak-gasak untuk memberi cerita tetapi akal fikiran masih lagi dalam kawalan untuk cukuplah dengan bertabah hati sendiri.

Ada orang suka melihat figura-figura comel yang diselitkan di dalam penulisan tanpa membaca isi tulisan dengan sepenuh hati. Dengan itu, aku sangat kagum pada mereka yang begitu teliti untuk membaca setiap penulisan dari awal hingga ke akhirnya. Kerana, bagi aku membaca dengan sekali imbas dengan membaca dari awal hingga ke akhirnya ada banyak beda yang nyata. Kau percaya? Kalau tidak, cubalah.

Rabu Tanpa Kata


Tuesday, 27 March 2012

Penangguhan



Menjadi sendiri agak menenangkan. Boleh saja berbuat apa yang dimahu tanpa perlu kisah pun tentang orang lain. Sendiri pun beri satu rasa kepuasan pada diri sendiri kerana tiada siapa yang melarang mahupun menyuruh. Dunia seperti kau yang punya.

Tetapi, Sendiri itu sebenarnya sakit bila  kau perlukan seseorang untuk dibawa berkongsi rasa dan berkongsi citarasa. Kadang-kadang kau akan mahukan teman untuk jadikan kau lebih bersemangat dalam bertugasan. Ini rasa paling sebal ketika ini. Kerja bertimbun-timbun tetapi hilang sudah rasa untuk membuat semuanya usai. Ini adalah tugasan yang sudah bertambah dari hari ke sehari. Aku  mahu ia selesai. Aku semakin membenci penangguhan. Aku berharap aku masih sayangkan diri aku selagi mana tugasan ini semakin banyak dan aku masih tiada perasaan untuk menyiapkannya.

Benci.

Monday, 26 March 2012

Tutorial Pashmina Style Silang

Nah, ini tutorial pashmina style silang. Untuk kawan-kawan yang selalu bertanya, cuba ikut cara ini, senang saja dan bukannya mengambil masa yang lama. Kalau pakai macam ni, ada yang tanya, berapa lama aku atur gaya begini. 2  minit pun tidak sampai.

Letakkan pashmina di belakang tengkuk. Sebelah panjang dan sebelah pendek. Ambil yang bahagian bawah seperti yang anak panah tunjuk dan letak secara silang di atas kepala macam gambar di bawah.

Letak silang macam ini. Kemudian pinkan mcam yang anak panah tunjuk.

Lepas tu, Tarik pashmina yang panjang tadi macam di atas

Tarik ke atas kepala dan temukan permukaan silang begini.

Lipatkan sedikit di tempat anak panah tu dan kemaskan.

Kemaskan pada muka macam gambar di atas

Pusingkan hingga ke atas kepala dan pinkan di bahagian anak panah tu.

Hasilnya:




Ini gambar belakang

Sunday, 25 March 2012

Cikgu saya



Berjalan di sebuah kompleks membeli belah:

Situasi 1:
Budak 1: Eh, cikguuuu.. ( sambil senyum  dan bagitau emak di sebelah yang itu cikgu dia. Emak pandang cikgu, senyum dan terus jalan. )

Situasi 2:
Budak 2: Nampak cikgu senyum saja dan terus jalan.

Situasi 3:
Budak 3: Hai cikgu, ( datang tempat cikgu dan salam cium tangan ).
Emak dia pun datang ke tempat cikgu dan salam sambil cakap : cikgu Amirul ke?
Cikgu: Ya. Cikgu Amirul.
Emak: Okey tak Amirul di sekolah cikgu?
Cikgu: Setakat ni okey. Dia ada potensi.
Emak: Amirul di rumah selalu berangan cikgu. Di sekolah dia selalu berangan tak?
Cikgu: (Ketawa) Dia memang ada kurang fokus dalam kelas tapi masih boleh diatasi.
Emak: Tengok-tengokkanlah Amirul cikgu. Tegur mana-mana yang dia buat salah.
Cikgu: Insyallah, dia budak baik. Tapi, kalau dia buat salah, saya tegur juga.
Emak: Terima kasih, cikgu. (Salam semula dan beredar dari situ).

Teringat dengan cikgu-cikgu yang mengajar aku dulu. Bila terjumpa dengan mereka, aku akan datang ke arah mereka dan bersalam cium tangan. Berbual seperti kawan lama padahal cikgu dan bekas anak murid.. Setakat ini, aku masih ingat nama-nama cikgu yang ajar aku dari sekolah tadika hinggalah ke sekolah menengah. Alhamdulillah, umur mereka masih panjang dan aku masih dipertemukan dengan mereka ketika aku sudah ada kerjaya. Jasa mereka terlalu besar. Cikgu-cikgu, moga kalian selalu dimurahkan rezeki dan dipanjangkan umur. Amin.

Nota kaki satu: Sewaktu temuduga dulu, penemuduga tanya aku: kenapa awak nak jadi cikgu? 
Aku: Saya mahu jadi cikgu kerana saya akan diingati sampai bila-bila oleh anak murid saya. 
Penceramah: hahahaha (ketawa) kalau macam tu, cuba awak namakan cikgu yang awak paling ingat masa sekolah dan kenapa awak suka dia?
Aku: bercerita seperti bukan ditemuduga oleh penemuduga dan aku lulus temuduga. Alhamdulillah.

Nota kaki dua: Saya sayang cikgu-cikgu saya. Kerana garang merekalah saya sudah jadi orang yang benar-benar orang  seperti sekarang.

Thursday, 22 March 2012

Terdiam


Setiap hari, aku akan berjumpa dengan orang yang sama dan adakalanya orang yang berbeza untuk membuat kerjaan rutin atau baru untuk disiapkan. Macam-macam karenah, emosi dan tingkah laku yang aku amati. Dalam banyak-banyak persembahan emosi, ada juga  beberapa perkara yang bikin aku suka akan mereka. Mungkin cara mereka senyum, ketawa, bergurau dan  sikap pirhatin. Dan, kalau pun, ada benda yang aku tidak suka, aku putuskan untuk berdiam diri. Sampai di situ saja. Titik.

Emak selalu pesan, bukan saja emak, suami pun selalu ingatkan. Jaga tutur kata, tingkah laku di tempat orang. Riak muka orang boleh kita ramal tapi hati dan perasaan orang amat sulit untuk kita tentukan apa sebenarnya. Bertitik-tolak dari inilah, aku akan menyesal dengan tiada henti kalau ada apa-apa perkara yang aku terlepas cakap atau aku terbuka rahsia orang yang tidak sepatutnya. Itu bagaikan satu penganiayaan pada diri sendiri kalau tidak sempat menyimpan rahsia orang lain. Kerahsiaan adalah perkara yang sangat aku utamakan. Ia satu paparan pada diri yang kau boleh dipercayai atau pun tidak.

Dan, sebenarnya untuk beberapa hari ini, aku begitu lega kalau ada yang suka bertanya sendiri dari aku untuk sesuatu kepastian dan bukannya bertanya melalui orang lain. Kau tau, kalau bertanya dengan orang lain, banyak perkara kemungkinan di situ dan kalau perkara-perkara itu diteruskan sebarannya tanpa pertanyaan akan bertambahlah cantiklah isi cerita tersebut. Silap-silap kalau tidak betul, ia boleh jadi fitnah. 

Dan, aku sebenarnya sedang belajar untuk selalu berprasangka baik. Lewat umur begini, banyak perkara yang aku mahu dan sedang belajar. Umur aku makin bertambah bukan makin berkurang. Ilmu di dada masih lagi hanya sekadar setitik dari air di lautan milik Tuhan. Ibadat pun masih lagi belum cukup sempurna. Lompang sana sini. Terasa diri paling kecil di sisi Yang Maha Esa.

Maka, aku masih mahu menunggu hari esok. Aku selalu ingat setiap kata-kata adalah doa. Jadi, aku tetap berterima kasih untuk setiap kata-kata semangat yang sungguh-sungguh buat aku sayu. Ada beberapa orang selain dari keluarga yang benar-benar aku boleh nampak ikhlasnya. Dan, ada juga mereka-mereka yang buat aku terdiam tanpa ada soalan seterusnya. Itulah manusia. Selalu saja ada lemahnya. Aku sedang jalani kehidupan in dengan seadanya. Jadi, jangan pernah menduga hanya perkara baik-baik saja berlaku tanpa ada halangan yang kadang-kadang buat kita terduduk, bersimpuh di atas sejadah memohon REDHA dari Tuhan.

Teruskan saja hidup, kawan.





Wednesday, 21 March 2012

Terima kasih kawan: Group Fresh Mama Arina




Setiap orang adalah unik. Itu yang aku percaya dari dulu. Kalau melihat gelagat orang kebanyakkan, aku selalu tersenyum. Hidup ini singkat. Perlu dimanfaat sebaiknya. Kalau ada kawan, perlu dihargai, disayangi seadanya. Kamu adalah kawan-kawan maya yang selalu buat aku tersenyum. Terima kasih, kawan.

Aku mengharap, kita saling terkaitan. Kita jauh tapi, kita masih dekat di hati. Kan?
Terima kasih sekali lagi untuk Group Fresh Mama Arina..>wwwmarina-arina
Kawan-kawan baru yang baik hati :

Klik link di bawah:
  1. hikayat ceritera terindah
  2. mzhany
  3. atopupbiz
  4. thecoklatblog
  5. yayabunga
  6. cahayacita2
  7. thesecretsofleonerz
  8. cutemama-lelamaisara
  9. miszpinkies
  10. norumara
  11. solehahshamsuddin
  12. msvelentine
  13. farizafairuz
  14. ezawarna-warnakehidupan-etuza.
  15. mulan-sahbanu
  16. ladygreen3011-ayuni
  17. bubukuning
  18. marina-arina
  19. http://wardahilmu.blogspot.com/

Tuesday, 20 March 2012

Kangen



Bersusun-susun kerja untuk diusaikan.
Ada banyak benda yang perlu difikirkan.
Tarikh tamat ada yang sudah makin hampir luputnya.
Tetapi, setiap satu itu belum lagi aku persiapkan.
Aku ketuk-ketuk kepala, aku mahu lebih tenaga dan sihat.
Beginilah rasa bila nikmat sihat ditarik oleh Tuhan,
Masa inilah, aku rasa benar-benar mahu menghargai masa lalu.
Berhenti.

Aku mahu terbang. Berada di sisi mereka. Senyum, ketawa dan makan bersama-sama.
Dalam bahasa lain, aku kangen. Aku mahu pulang. Ada mereka, suami dan keluarga dalam satu ruang.
Itu kebahagiaan yang sedang aku idam.

Terbayang, kalau sewaktu sakit begini, ada ibu yang masakkan makanan, ada adik yang boleh buat itu, ini tanpa banyak soal. (Teringat dialog iklan: "aku kan abang" jadi, aku tukar "aku kan kakak" )
Paling seronok, ada suami yang selalu buat lawak yang bikin ketawa aku melebar seperti sang puteri yang cukup sempurna semunya. Oh, itu indah, bukan?


Nota kaki satu: untuk Group fresh mama arina, maafkan atas kelewatan untuk membuat entri untuk kamu. Insyallah, sikit masa lagi saya buat. okey.;D

Nota kaki dua: Berazam untuk siapkan separuh kerja esok. Tuhan, berilah aku kekuatan.

Nota kaki tiga: Suami, aku congak hari-hari. Cepatlah.

Monday, 19 March 2012

Beginilah hidup


Semoga tidur ini masih lena.
Semoga esok, masih ada kesempatan untuk lihat dunia.
Semoga esok, akan jadikan diri lebih sihat, bertenaga dan berani.
Semoga esok, ada senyum untuk diberi.
Semoga esok, ada bahagia untuk dikongsi.
Semoga esok, berjaya optimis lagi.

Beginilah hidup.
Kadang-kadang, kau perlu berahsia sedikit, memendam separuh rasa,
Kerana bukan semua orang mahu senyum apabila kau gembira dan bukan semua orang sedih bila kau bersedih.

Laman muka buku bukanlah kisah kehidupan yang perlu menceritakan semuanya. Ia hanya secalit dari berjuta-juta calitan hidup. Jadi, bila orang berkata,"eh, saya tidak tahu pun, sebab saya tidak ada buka laman muka buku'. Hei, tidak semestinya semua perkara harus dikongsi di dinding muka buku itu. Kita manusia, ada privasi sendiri termasuklah aku. Jadi, jangan ambil hati bila perkara itu kau tahu di luar dunia nyata dan bukan di dalam laman muka buku atau di dalam blog ini.

Nota kaki satu: Rutin akan jadi lebih tenang kalau laman muka buku itu kosong tanpa apa-apa perkembangan.

Nota kaki dua: Aku sedang belajar untuk tidak obses pada teknologi ini.

Nota kaki tiga: Aku sudah semakin boleh berhidup selepas setiap satu persatu Tuhan uji aku. Kononnya luaran aku nampak gagah, nampak kuat, nampak berani dan sebenarnya, aku sedang berusaha untuk benar-benar menjadikan ia realiti bukannya imaginasi aku semata-mata.



Tujuh Petala Cinta


Disebabkan oleh pengaruh imaginasi tentang kehidupan kisah dongeng yang selalunya hidup bahagia selepas sengsara, seperti itulah yang aku harapkan selepas menonoton cerita Tujuh Petala Cinta. Aku mahu cerita itu kesudahannya menyalur rasa gembira dan puas hati yang saling berganda-ganda. 

Semasa dan setelah usai menonton, ada satu perkara yang benar-benar buat aku tidak berpuas hati. Kegagalan watak Hilma dikembangkan memang memberi sedikit kesan untuk aku. Watak Hilma yang menyinta di dalam diam, lansung tiada peluang untuk berterus-terang sedangkan dia benar-benar cintakan Attar. Dan, akhirnya, watak itu berakhir begitu saja. Kemudian, emosi aku terganggu apabila watak Saidatul Nafisah yang sudah maklum akan cinta Hilma pada Attar dan dia juga hanya berdiam saja tanpa memaklumkan kepada Attar. 

Tiba ke sesi perkongsian pendapat dengan si dia, dia hanya tersenyum bila nampak aku masih membebel tentang watak Nafisah yang tidak berterus terang dengan Attar tentang perasaan Hilma.  Kata si dia, waktu itu, Nafisah sudah sayangkan Attar dan kerana itulah, dia tidak mahu Attar tahu. Sampaikan aku kata yang Nafisah pentingkan diri sendiri tetapi si dia masih kata, Nafisah dan Hilma masing-masing mahu menjaga perhubungan. 

Si dia kata, cerita itu memang sesuai untuk aku tengok kerana dengan melihatnya, aku akan faham bagaimana perasaan orang yang geramnya kerana seseorang yang tidak mahu bercakap. Dia kenakan aku sebenarnya. Perangai aku adalah suka berdiam diri dan tidak bercakap apabila aku merajuk dan ada sesuatu yang kurang indah di mata. Selalunya, aku akan buat 'royal silent' dan terus simpan di dalam hati. Tunggulah bila sudah ada masa terdesak atau masa yang benar-benar sesuai, barulah setiap apa yang disimpan akan terbongkar.  Dan sekarang, aku rasa, perangai begitu sedang aku kurangkan kekerapannya sejak aku tahu yang salah satu kebahagiaan di dalam rumahtangga adalah berpaksikan komunikasi yang jujur antara kami.


Nota kaki satu: Kata si dia, cerita Tujuh Petala Cinta senang untuk diramal tetapi bagi aku cerita ini banyak mendedahkan yang cinta itu halangannya sulit untuk diketahui dan konklusinya, aku tidak berpuas hati dengan pengakhirannya.

Nota kaki dua: Teringat kisah cinta dalam diam. Selepas sepuluh tahun baru terluah.

Saturday, 17 March 2012

Menu biasa-biasa

Kau tahu, memasak adalah salah satu terapi yang akan membikin diri seperti mendapat penghargaan. Kalau pun, kau memasak tidak berapa sedap seperti Masterchef tetapi sekurang-kurangnya pabila ia mendapat pujian dari orang yang memakannya, itu bermakna, teruskan memasak hingga ia menjadi satu kegilaan dan bukan hanya satu kewajipan. Kalau pun kau memasak hanya menu yang biasa-biasa, tetapi ia akan jadi luar biasa kalau ia dimasak dengan ikhlas dan penuh sifat. 

Popia goreng

nasi ayam

umai dan ikan masak kari

sambal terung asam dan sup sayur

Amalan untuk Pembuka Pintu rezeki


PEMBUKA PINTU REZEKI


Aku dapat emel dari sahabat lama. Sudah lama. Dan bila aku baca semula di dalam emel tadi, ia mengingatkan aku tentang pentingnya amalan begini. Aku harap-harap perkongsian ini ada manfaatnya untuk semua supaya kita selalu dimurahkan rezeki. Amin.
Dzikir dan Doa


1.Membaca  لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللَّهِ

Abu Hurairah ra meriwayatkan, Rasulullah saw bersabda," Barang siapa yang Allah pakaikan baginya kenikmatan hendaklah banyak mengucapkan alhamdulillah. 
Barang siapa yang banyak dosanya hendaklah beristighfar kepada Allah.
Dan barang siapa yang lambat datang rezekinya hendaklah banyak mengucapkan lâ hawla walâ quwwata illâ billâh (tidak ada daya dan kekuatan kecuali dengan pertolongan Allah)." 
(HR. al-Thabrani di al-Awsath)


Asad Ibn Wâdi’ah ra meriwayatkan, Nabi saw bersabda," Barang siapa mengucapkan lâ hawla walâ quwwata illâ billâhil ’aliyyil ’azhîm (tidak ada daya dan kekuatan kecuali dengan pertolongan Allah yang Maha Tinggi lagi Maha Agung) sebanyak 100 X setiap hari maka tidak akan tertimpa kefakiran selamanya." (HR. Ibn Abi al-Dunyâ)


2. Membaca لا إله إلا الله الملك الحق المبين 
Abu al-Nu’aim meriwayatkan dari Malik bin Anas dan al-Dailami dalam musnad al-Firdaus dari ’Ali ra, Nabi saw bersabda," Barang siapa setiap hari membaca lâ ilâha illallâh al-malikul haqqul mubîn (tidak ada tuhan selain Allah yang Maha Benar lagi Maha Nyata) sebanyak 100 X, maka bacaan itu akan menjadi keamanan dari kefakiran dan menjadi penenteram dari rasa takut dalam qubur." (HR. Abu Nu’aim dan al-Dailami)


3.  Beristighfar

Ibn ’Abbas ra meriwayatkan, Rasulullah saw bersabda," Barang siapa melanggengkan istighfar (astaghfirullâh=aku mohon ampunan kepada Allah) niscaya Allah melapangkan segala kesempitan hidupnya, mengeluarkan ia dari segala kesusahan dan memberikan ia rezeki dari arah yang tidak diduganya." (HR. Ahmad, Abu Dawud dan Ibnu Majah)


4. Membaca surat al-Ikhlas ketika masuk rumah

Ibn Mas’ud meriwayatkan, Rasulullah saw bersabda," Barang siapa yang membaca qul huwallâhu ahad…(surat al-Ikhlas) ketika masuk rumah maka (berkah bacaan) menghilangkan kefakiran dari penghuni rumah dan tetangganya."(HR. al-Thabrani)


5. Membaca surat al-Waqi’ah setiap malam

Ibn Mas’ud ra meriwayatkan: Aku mendengar Rasulullah saw bersabda," Barang siapa membaca surat al-Waqi’ah setiap malam maka tidak akan ditimpa kesempitan hidup." (HR. al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman)


Anas ra meriwayatkan, Rasulullah saw bersabda," Surat al-Waqi’ah adalah surat kaya karena itu bacalah dan ajarkanlah surat itu pada anak-anak kalian."(HR. Ibn Mardawiyyah) 


6. Memperbanyak shalawat atas Nabi saw

Ubay bin Ka’ab meriwayatkan: Bila telah berlalu sepertiga malam Rasulullah saw berdiri seraya bersabda," Wahai manusia, berdzikirlah mengingat Allah, berdzikirlah mengingat Allah. Akan datang tiupan (sangkakala kiamat) pertama kemudian diiringi tiupan kedua. Akan datang kematian dan segala kesulitan yang ada di dalamnya."


Berkata Ubay," Wahai Raulullah, aku memperbanyak bershalawat atasmu, lantas berapa kadar banyaknya shalawat yang sebaiknya aku lakukan?"

Beliau saw menjawab," Berapa banyaknya terserah padamu."

Ubay berkata," Bagaimana kalau seperempat (dari seluruh doa yang aku panjatkan)?"

Beliau menjawab," Terserah padamu. Tetapi jika engkau menambah maka akan lebih baik lagi."

Ubay berkata," Bagaimana jika setengah?"

Beliau saw menjawab," Terserah padamu, tatapi jika engkah menambah maka akan lebih baik lagi."

Ubay berkata," Bagaimana jika duapertiga?"

Beliau saw menjawab,"Terserah padamu, tetapi jika engkau menambah maka akan lebih baik lagi."

Ubay berkata," Kalau demikian maka aku jadikan seluruh doaku adalah shalawat untukmu."

Bersabda Nabi saw," Jika demikian halnya maka akan tercukupi segala keinginanmu dan diampuni segala dosamu."


7. Membaca  سُبْحَانَ اللَّهِ وَبِحَمْدِهِ سُبْحَانَ اللَّهِ الْعَظِيمِ 


Ibn ’Umar ra meriwayatkan: Seorang laki-laki berkata kepada Rasulullah saw," Wahai Rasulullah, dunia telah berpaling dariku sedangkan dayaku pun lemah.
" Maka Rasulullah saw pun bersabda," Mengapa engkau tidak menggunakan shalat para malaikat dan tasbih segenap mahluk yang dengan itu mereka diberikan rezeki?" Laki-laki itu bertanya," Apakah itu, wahai Rasulullah?"


Beliau bersabda," Katakanlah: subhânallâh wa bihamdihî, subhânallâhil ’azhîm, astaghfirullâh (maha suci Allah dan pujian bagi-Nya, maha suci Allah yang Maha Agung, aku mohon ampunan kepada Allah) sebanyak 100x di antara waktu terbit fajar sampai shalat subuh. Maka dunia akan datang kepadamu dengan sendirinya dan Allah Azza wa Jalla menciptakan dari setiap kalimat itu seorang malaikat yang bertasbih kepada Allah Ta’ala sampai hari kiamat yang pahala tasbihnya itu diberikan untukmu." (HR. al-Mustaghfiri dalam al-Da’awât, dinukilkan dari Ihyâ Ulûmiddin al-Ghazali)

- Ini aku copy paste dari emel kawan aku -

Alhamdulillah. Sudah boleh senyum.




Sudah boleh senyum. Alhamdulillah.
Sudah boleh ketawa. Ahamdulillah.
Sudah boleh bergurau. Alhamdulillah.
Sudah boleh makan dengan baik walau tidak cukup baik. Alhamdulillah.
Sudah boleh jalani kehidupan dengan penuh optimis. Syukran Jazilan, Ya Allah.

Seperti yang aku memang tahu, selepas malam, ada siang. Selepas hujan, ada kemarau. Ada bulan, akan adalah matahari, esoknya. Dan selepas ada kesakitan, akan ada kelegaan. Kau tahu, aku jalani rutin aku dengan begitu pilu sepanjang lima hari yang lalu. 

Benarlah kata mereka, ia adalah sakit yang paling sakit selepas sakit bersalin. Dan sakit yang tiada tandingan adalah ketika nyawa dicabut Malaikat Sakaratul Maut. Sakit gigi disebabkan gusi yang membengkak. Gila. Aku seperti separuh nafas untuk terus hidup. Itu belum lagi dengan sakit yang satu lagi. Ia berganda-ganda. Mujurlah, aku mahu beri penghargaan untuk diri sendiri. Aku kuat padahal ada sekali dua aku merungut, kenapalah sakit bertimpa-timpa begini. Belum reda lagi sakit yang satu, sakit ini datang lagi. Cepat-cepat aku istighfar, bila dia kata, sakit untuk menghapus dosa. Dasar jiwa manusia yang cukup lemah seperti aku.

Untuk hari ini, aku harap, aku sudah boleh membawa si dia ketawa. Aku masih berhutang  perihal projek cinta setahun untuk ulang tahun pertama perkahwinan. Ia belum siap dan sambutannya pun masih lagi tergantung. Cuma, hadiahnya sudah usai. Gembira. Sangat. Alhamdulillah.


Thursday, 15 March 2012

Gila beg ( Jadikan kawan facebook :shahoja-wedges-beg)

Rasa-rasa aku, lebih baik membuat entri seperti ini. Melupakan dahulu soal kesakitan yang masih belum sedia untuk aku ceritakan tentangnya. Aku masih menunggu saat yang paling pasti untuk aku bercerita lebih lanjut tentang setiap satu tragedi yang sudah aku lewati. Aku masih belum sedia untuk berkongsi kerana setiap luahan kasihan akan membuat aku melemah dan kurang kuat. Aku berharap akan ada ruang untuk aku bercerita nanti dan bukan sekarang. Beri aku waktu untuk itu.


Dan, untuk itu, figura-figura di bawah adalah beg yang aku ada dalam masa 2 bulan. Adalima kesemuanya. Kegilaan kepada beg masih lagi terus jadi habit yang sukar untuk dikikis. Cuma, yang sudah berubah adalah aku sudah bermain dengan warna lain. Kalau dulu, warna putih akan jadi igauan aku tetapi sekarang, aku sedang belajar untuk mewarna-warnikan hidup aku. Mungkin itu adalah satu terapi untuk aku terus membina bahagia aku sendiri. Harga beg ni murah. 

Untuk info selanjutnya, boleh terus add penjual beg ini iaitu http://www.facebook.com/shahoja.norjah?ref=ffl




terima kasih untuk blogger bunga hati mama

 Ini header blog aku yang baru. Hasil ihsan blogger Arina Shamsul a.k.a sepupu aku. Cantik dik. Terima kasih banyak-banyak dik. Kreatifnya tanganmu. Untung ada bakat seperti ini.
Kamu boleh klik link ini >http://wwwmarina-arina.blogspot.com. Macam -Macam ada di dalam blog dia. Silalah klik.:)

Wednesday, 14 March 2012

aku tidak mahu dia pulang


Mata sulit untuk dipejam. Sakit masih terasa. Hati makin emosi. Sekejap-sekejap air mata menitik. Satu-persatu rasa itu datang. Aku tidak mahu dia pulang. Aku hanya mahu dia di sisi menemani aku yang sedang sakit. Tapi, tugas dan komitmen sudah menagih janji. Dia akan pergi juga sekejap lagi. Beberapa hari ini, dia sangat baik hati:

  • Kemaskan susun atur ruang tamu rumah.
  • Cuci pinggan mangkuk setiap kali selepas makan
  • Buatkan minuman panas untuk aku
  • Sapukan ubat untuk aku
  • Bersihkan bekas muntah kucing yang sungguh-sungguh buat aku pening kepala
  • Bangun-bangun tidur, dia raba dahi dan leher aku untuk pastikan masih panas atau tidak ( ini memang bikin hati aku sayu)
Dan aku, sejak malam tadi, emosi makin teruk. Hilang mood untuk bergurau. Sakitnya bisa. Tuhan, berilah damai di hati aku. Kuatkan aku.
Suami, isterimu sedang beremosi. Maafkan untuk kehilangan tawa aku. Insyallah, esok-esok, aku akan baik seperti biasa. 

Sunday, 11 March 2012

redha


Aku adalah golongan makhluk Tuhan yang selalu mengharapkan keajaiban di dalam kehidupan aku. Pejam buka mata pun, itulah yang akan aku tadahkan setiap kali aku menghembus nafas aku seusia begini.  Ironinya, aku akan diuji berkali-kali sebelum mendapat keajaiban yang aku mahu. Dan sekarang, aku diuji lagi. Kali ini, ia adalah ujian yang sungguh-sungguh menyentak hati, mengegar rasa, meranap impian dan membikin air mata aku tumpah bagai tiada masa untuk berhenti. Mujur ada si dia dan keluarga yang Tuhan kirimkan untuk aku sama-sama melalui ujian yang maha besar ini. Bukan jatuh ditimpa tangga tapi inilah kenyataan hidup yang aku harus terima tanpa ada soal dan protes. Kau kata, Kau orang yang ada iman jadi bila Tuhan uji sedikit, tunjukkanlah imanmu. Aku ingat dan aku amal firman Tuhan yang ini. Di setiap denyut jantung yang aku punya, itu juga pinjaman yang sekejap untuk aku.Dan, dengan kenyataan yang begini-begini pahit, aku teguk dan aku telan. Tuhan, beri aku redha di sepanjang hidup aku.

Friday, 9 March 2012

Projek Cinta setahun


Aku sedang menyiapkan projek ini. Aku dedikasikan untuk si dia pada hujung minggu ini. Nampaknya masa aku agak terhad, padahal empat hari yang lalu aku boleh siapkan tetapi, banyak pula komitmen lain yang perlu aku usaikan. Aku punya masa beberapa jam saja lagi sebelum dia datang. Moga-moga dia  suka dan suka hati.

~ Aku belajar untuk menghargai setiap apa yang dia berikan untuk aku. Seumur begini, setiap apa yang dia berikan punya nilai sentimental yang akan aku ingat seumur hidup aku~

Monday, 5 March 2012

Setiap rasa adalah indah



Lima haribulan tiga dua ribu dua belas, hari terus bergerak tanpa ada tolehan dari belakang. Dan, aku masih teruskan kelansungan hidup aku dengan penuh semangat. Alhamdulillah, sebenarnya tahun ini memberi macam-macam jenis perasaan untuk aku. 

Perih aku dan suami menghadapi 2 insiden untuk 2 bulan adalah satu pengalaman yang sangat menggilakan. Ia penuh dengan alasan demi alasan yang boleh menjadi penyebab hati terus tunduk redha pada rencana Tuhan. Aku selalu percaya yang Tuhan tidak akan menguji seseorang melainkan dia sememangnya berkemampuan untuk menghadapi dan menjalani ujian itu dengan sebaik-baiknya. Dan, aku telah menganggap semua itu adalah satu ujian yang sedang diperhatikan oleh Allah dan Malaikat-Malaikat di langit. Moga-moga aku dan dia  tetap berhati tegar dan bukannya berhati tisu lagi.

Kemudian, apabila ada rezeki yang Tuhan kurniakan untuk kami dan aku menggangap ia adalah satu keajaiban, sehingga kini, rezeki itu membuat aku semakin mendekat dengan Tuhan. Benarlah kata orang, dengan ujian, kita akan selalu dekat dengan Tuhan, dengan rezeki, kita akan selalu ingat dengan Tuhan, dengan rahmat-Nya, kita akan selalu percaya yang kehidupan ini jauh lebih bermakna  kalau ada hubungan yang rapat dengan Pencipta Seluruh Alam. Alhamdulillah.

Adakalanya, aku terduduk menangis dengan rahmat ini. Ia adalah rencana yang aku tidak sangka kerana setelah sebelas bulan mencuba dan menunggu, Tuhan makbulkan doa kami, itu adalah saat yang sangat bermakna di dalam hidup aku. Ketika si dia mengusap perut aku, memperkenalkan suara dia kepada si kecil, Oh Tuhan, ada air mata yang aku tahan. Setiap rasa adalah indah, dan ia membuatkan aku mahu sujud lama-lama mensyukuri nikmat ini. 

Sepanjang perkongsian hidup dengan si dia, biarpun jauh dan aku hanya menjalankan tugas rutin sebagai isteri di hujung minggu, kami sudah semakin imun. Awalnya dulu, rasa aku seperti aku begitu banyak bersedih pabila dia tiada, aku menangis setiap kali dia balik dan aku menjadi takut untuk sendiri tetapi, apabila  kekuatan di dalam diri semakin menguat, Alhamdulillah, sehingga kini, kami tetap teruskan keberadaan kami sebagai suami isteri dengan baik. Aku selalu berdoa, moga-moga Tuhan selalu melindungi ikatan ini sehingga ke akhir hayat.

Sunday, 4 March 2012

Inner ninja untuk dijual (part 2)

 Ini satu perkongsian untuk yang mahukan inner ninja. Inner ninja ni jenis kain cotton, sejuk dan tidak panas bila dipakai. Harga RM25 termasuk POS PENGHANTARAN KE SABAH / SARAWAK / SEMENANJUNG.

Kalau berminat: sila sms ke 0168308423.

warna coklat

warna hijau lumut

warna merah jambu

warna krim

warna ungu (SOLD OUT)

Blogger DUNIA REALITI

http://www.duniarealiti.com

Ellih: ' kita ,Blogger kan?"
Aku: Dengan muka terkejut menjawab , ya.
Ellih: Blog bungasepet kan?
Aku: Ya. Kita pun blogger jg kan? sambil senyum,
Ellih: Ya, Dunia realiti.
Dan perbualan kami berlansung dengan baiknya seperti kawan lama.

Dalam masa-masa sekarang yang sedikit semakin sudah mengubat hati aku, perkara-perkara baik terus mendekat. Alhamdulillah, persahabatan di dalam blog dibawa ke luar dan seperti sudah direncanakan yang kami akan terjumpa hari ini. Walaupun tanpa dirancang, ia tetap berlaku dengan baiknya. Terima kasih untuk Blogger Ellih kerana ringan mulut untuk memulakan perbualan. ;D. Bertambah kawan baru.;D.

Ellih, blogger untuk blog DUNIAREALITI, selalu berkongsi macam-macam cerita dalam blog. Silakan klik ke sini >http://www.duniarealiti.com

Friday, 2 March 2012

Benih



Kalau aku ada sayap, aku sudah terbang,
Kalau aku punya lebih kuasa akal, aku sudah tahu apa rencana untuk aku esok lagi,
Tapi, sehingga kini, aku masih lagi menjadi seperti aku, manusia kebanyakkan yang punya  banyak impian, cita-cita, harapan dan kemahuan. Ada banyak perkara yang perlu aku usaikan. Biar satu-persatu. Aku mahu ia berlangsung apa adanya. Alhamdulillah, rezeki dari Tuhan datang membikin aku terkejut dan menangis. Seperti yang aku pernah kata, rezeki yang Allah akan bagi itu, kadang-kadang, kita tidak akan menyangka bila saat pemberianNya. Dan, ia sedang terjadi. Alhamdulillah, moga benih yang tumbuh ini membesar dengan sihat, terpelihara dari segala masalah dan selamat berada di dalam kandungan ini sehingga ia dilahirkan.

sponsor by:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...