Thursday, 31 May 2012

Adik

Punya enam orang adik beradik dan seorang daripadanya adalah si bungsu yang kuat merajuk memang agak memberi cabaran di dalam kami adik beradik. Si bungsu ini seorang yang sensitif. Pantang diherdik sedikit mulalah muncung sedepa dari dapur hingga ke ruang tamu. Kalau mama suruh masak nasi, dia suka perkataan, TUNGGU DULU dan SEKEJAP. Kadang-kadang, dia hantar pesanan ringkas macam ini untuk aku "Long, tolong reload no. celcom aku". Ada juga masanya, dia hantar pesanan ringkas untuk aku berbunyi begini " I miss U, along ". Oh, sebagai kakak, naluri aku ini pun seperti orang kebanyakkan cepat tersentuh bila adik-adik aku yang jauh di mata hantar dialog macam tu. 

Si bungsu ini bukan main pandai bergaya. Sangat kreatif untuk mencari kelainan pada fesyen seusia dia 16 tahun. Sekarang sudah pandai tengok tutorial tudung di dalam You-Tube. Perangai dia yang masih tidak berubah sampai sekarang ialah dengar lagu sambil menyanyi sekuat hati pakai 'earphone'. Dia selalu jadi mangsa untuk model mekap aku dan tudung aku. Selalunya, bila aku keluar rumah, mata dia selalu saja menangkap kalau gaya aku pada hari itu kurang seperti biasa. Contohnya tadi, kami pergi rumah orang kahwin dan aku hanya pakai sandal biasa. Dia tegur begini, " hari ni, along jatuh standard sebab pakai sandal biasa. Selalunya dia tidak pakai high heels ". Aku ketawa saja padahal dalam otak sudah ligat berfikir, eh, pakai sandal pun jatuh standard ka dik? hahaha.

Sebelum ini, aku dan High heels memang tidak dapat dipisahkan tetapi sejak beberapa insiden yang berlaku, aku sudah tidak kisah untuk memakai sandal berjalan-jalan. Dulu, aku selalu rasa aku kurang comel bila tidak pakai high heels tapi sekarang, aku rasa aku lebih selamat memakai high heels. Pergi kerja pun, aku sudah pakai kasut rata macam kasut balet walaupun sebenarnya dalam peraturan kena pakai kasut sekurang-kurangnya satu inci tinggi atau 2 inci tinggi. Aku sudah pandai terpesong. Dan, sejak akhir-akhir ini pun, aku mulai menyukai kasut-kasut di kedai Bata yang punya span lembut dan bikin kaki aku tidak sakit lagi. Terima kasih, Bata.

Eh, entri aku tadi sebenarnya tentang adik aku. Patutlah suami selalu tegur, kalau aku buat entri, aku jarang fokus kepada apa yang aku sampaikan. Katanya, aku selalu bercerita lagi tentang hal lain sehingga isi utama yang sepatutnya aku ceritakan tergantung begitu saja. Bila aku fikir-fikir, ada juga benarnya kata dia. Jadi, untuk ini, aku mahu katakan sekali lagi, aku punya adik bungsu yang cukup manja, baik hati dan comel juga.;)








Nota satu: Dia kata, dia selalu jadi mangsa dalam keluarga tapi dia kata juga yang dia paling senang untuk dapat apa yang dia mahu. ;)

Nota dua: Aku ada seorang lagi adik perempuan. Comel juga. Eh!.;)


Monday, 28 May 2012

Moga hidup diberkati

Aku juga seperti kebanyakkan orang yang punya 24 jam sehari. Dengan jumlah masa yang terhad inilah aku jalani kehidupan peribadi dan sosial aku. Seminggu sebelum ini adalah minggu terakhir sebelum cuti sekolah dan aku terlibat dengan pelbagai aktiviti yang menghalang aku untuk membuat entri baru untuk bunga dan sepet.  

Sekarang, aku sudah berada di kampung halaman untuk bercuti bersama keluarga dan suami. Kehidupan aku beginilah, selalu menunggu untuk balik ke kampung. Alasannya, aku akan dapat bersama suami keluarga 24 jam sehari. Paling memberi rasa bahagia apabila aku buka mata, ada suami di sebelah dan bila aku buka pintu bilik, menghala ke dapur, membuka tudung saji, ada makanan yang sudah pun siap dimasak oleh ibu.  Sungguh-sungguh aku tidak dapat nafikan yang berjauhan dengan suami dan keluarga adalah satu cabaran rutin yang sedang aku tabah jalani seorang diri. Kerana ituah waktu cuti begini, aku perlu gunakan seberapa banyak masa yang aku ada bersama mereka. Maksimumkan masa aku untuk lebih memahami mereka.


Empat hari cuti berakhir dengan 2 aktiviti yang aku sudah rancang sebelum bercuti. Pertama, 27 Mei 2012, aku ikut serta dengan adik yang ada buka gerai setiap hari ahad di Tamu Mingguan, Kota Belud. Dia  sebenarnya membuat perniagaan kecil-kecian iaitu menjual beg, baju dan tudung / pashmina. Selain di sini, dia ada juga dapat tapak di tempat lain untuk menjual. Alhamdulillah, setakat ini, Tuhan masih selalu berikan dia rezeki yang murah. Dan, eh, adik aku ini adalah lelaki yang tidak suka bekerja di bawah orang lain sebab tu la berani tanggung risiko buka bisnes.;)

Di bawah adalah figura-figura gerai dia yang kami buka hari Ahad yang lepas:







Aktiviti yang kedua, aku dan keluarga adakan kenduri hari ini. Kami buat sedikit kenduri kesyukuran untuk meminta doa agar Allah permudahkan segala urusan dan dimurahkan rezeki kami sekeluarga. Kenduri ini juga adalah sebagai satu perkongsian rezeki yang Tuhan bagi untuk semua ahli keluarga dan mereka yang memerlukan. Aku sebenarnya selalu mengingatkan diri sendiri yang aku perlu berkongsi setiap  rezeki yang Tuhan bagi biarpun dengan kadar yang sedikit. 

Mengingat kata suami: Jangan main-main dengan sedekah, kerana sedekahlah ada orang yang bergaji banyak pun masih tidak punya kecukupan wang untuk menyara hidup. Ini juga hampir sama dengan  wang yang kita bagi untuk keluarga sendiri terutamanya ibu dan ayah. Tidak kisahlah kita hulur RM50 atau RM100 sebulan, asalkan kita ikhas dan InsyAllah, gaji yang sekadar cukup makan sebulan pun akan masih juga cukup untuk makan pakai kita kalau kita masih peruntukkan duti gaji kita untuk ibu dan ayah. Kerana, duit yang kita bagi untuk ibu dan ayah itu sangat berkat sebenarnya dan itulah yang membantu kita untuk terus hidup diberkati juga.

P/S Untuk semua GSF, saya jarang update blog dan saya akan update bila saya betul-betul ada isi entri yang paling bermakna untuk saya. Jadi, saya minta maaf kerana mengambil masa yang lama untuk jejak kawan-kawan semula. kalau ada sesiapa yang mahu remove saya dari list GSF, saya redha kerana saya tahu, saya memang jarang update blog. Dulu sehari 2-3 entri, sekarang 1 entri sehari. Maafkan saya kerana tidak sesegar kamu semua.:)

Monday, 21 May 2012

Aku begitu. Kamu?



Merasa binggung ketika berada di hadapan almari membelek setiap baju, seluar dan tudung untuk dipakai bukanlah perkara luar biasa yang aku selalu alami. Sejak umur sudah semakin bertambah, badan semakin berisi dan tuntutan jiwa untuk lebih bersopan dengan berpakaian menjadi faktor utama alasan aku untuk menjadi begini. Bukan sekali dua perkara ini berlaku malah, semakin kerap dan sesekali akan timbul rasa risau di dalam diri tentang pakaian yang rasa-rasa aku cukup tapi sebenarnya tidak cukup untuk menutup semuanya. 

Kalau dikenang-kenangkan, jiwa kacau usia remaja yang indah selalu jadikan setiap fesyen itu cantik di mata walaupun tidak pada fitrahnya. Melihat kepada model-model yang liuk-lentok tubuh saja pun, kaum perempuan sendiri akan berkata, 'Perghhhh, bila lah aku nak dapat tubuh macam tu?'. Emosi-emosi teruja seperti ini bermula dari pembawaan fesyen dan saiz tubuh badan para model yang sangat membikin rasa, ' aku mahu jadi macam dia, aku mahu cantik seperti dia'.

Selepas itu, bermulalah episod diet itu, diet ini, senam sana, zomba sini. Ya, gara-gara mahu cantik seperti model. Aku selalu terfikir, asal cantik, mesti ada terkaitan dengan model. Kalau model mesti cantik. Kalau tidak cantik, agak-agak muka Pan Asian pun okey juga. Masih boleh laku lagi untuk diterima jadi artis jemputan, atau untung sabut timbul, boleh dapat tawaran jadi model iklan. Untung kan, orang cantik!

Melihat kepada diri aku sendiri, aku selalu perhatikan isi almari aku. Sebegini lama menjadi wanita, aku mulai perasan ada longgokan-longgakan pakaian yang serasa aku sudah tidak sesuai lagi untuk aku. Hakikatnya, aku masih suka kepada 'mix and match' sebab itulah aku suka kumpul cardigan pelbagai warna. Boleh sarung dengan baju-baju ala anak-anak yang semakin sendat di tubuh. Tapi, sebenarnya seiring dengan bergeraknya waktu, dengan umur sebegini dan status isteri orang, ada beberapa perkara yang aku perlu pandang dan teliti berkali-kali.  

Bagi aku, perkahwinan itu sangat memberi kesenangan untuk setiap mereka yang ada di dalamnya. Isteri adalah insan yang paling senang untuk masuk syurga dan paling senang juga untuk masuk neraka. Itu aku sudah sedia maklum dan selalu muhasabah diri.

Kerana itu, dalam keterujaan untuk menata rias diri, bergaya dengan itu ini, ada banyak kali jugalah suami menegur  misalannya: 'baju itu pendek, seluar itu sangat ketat atau tudung itu perlu dilabuhkan sedikit'.

Bila dia prihatin bab-bab begitu, maknanya, aku kena berkali-kali lebih prihatin pada diri aku sendiri. Kalau suami menegur, itu tandanya dia mahu belajar menerima dan akhirannya sekarang, aku akan lebih suka bertanya terlebih dahulu apabila menyarung pakaian, 'eh, sayang, baju ni pendek sangat kah? 'dress ni tidaklah seksi sangat kan? atau sayang, kalau buat tudung macam ni nampak kemas kah?' ( Suami banyak tahu cara aku lilit pashmina  / shawl sebab dia yang akan jadi rujukan kalau lilitan itu kemas atau tidak ... hihihhi... )

Sebagai perempuan, aku tahu ada banyak jenis pakaian yang kita ada. Dalam dan luar semua diambil kira. Cuma sekarang selain berkaitan dengan kependekan baju, ketatnya seluar atau pendeknya tudung, aku juga ada masalah masih tidak cukup warna untuk padankan setiap pakaian dan tudung aku. Rasa-rasa aku, aku ada begitu banyak tudung tapi, aku masih juga akan cakap yang tudung untuk warna baju ini tidak ada. Gila begini. Kadang-kadang aku sempat termenung bila mencari tudung untuk dipadankan dengan baju.

Aku begitu. Kamu?

Emosi merah ;)






Saturday, 19 May 2012

Lima hari bulan lima dua ribu dua belas

Pada Lima hari bulan lima dua ribu dua belas, aku sediakan ini:

DIY Scrap kad dan hadiah 



Kek aiskrim coklat

Untuk Si dia, kawan baik A.K.A Suami yang baik hati 

Ucapan:

Dia lebih dari apa yang aku harapkan.
Syukran Ya Allah

Sunday, 13 May 2012

Bukan mimpi sempurna


Seminggu ini, aku lalui hari-hari aku dengan sedikit kurang semangat. Pergi kerja dan balik kerja jadi perkara yang membosankan secara tiba-tiba. Asyiknya untuk berkerjaan yang dulu jadi menjadi berkurangan kerana hal-hal sedikit yang merunsingkan. Semuanya berpadu menyatu kepada satu. 

Bila sendirian, aku sendiri memikir. Ternyata, emosi peribadi memang boleh membawa kepada sesuatu yang menggila. Biar pada mata orang lain, ia adalah halimunan tapi di mata aku yang mengalami, ia adalah satu hambatan yang membikin aku menjadi penganalisis. Kerana itulah, setiap orang harus tahu membezakan emosi ketika di tempat kerja dan di rumah sendiri. Mujur, aku ini walau bukan seorang pelakon handalan tapi masih boleh menjiwai watak berpura-pura tenang di hadapan semua. Walhal di depan orang rapat seperti suami dan keluarga, emosi aku cepat mereka tangkap, lenggok suara aku dapat mereka kesan.

Runsing yang tiada sudah terbawa-bawa kepada mimpi. Begitulah syaitan apabila ingin memperdaya hati manusia. Silapnya aku adalah, aku membawa setiap emosi ke dalam tidur. Emosi susah hati dan akhirnya ia memberi mimpi yang ngeri. Mujur sajalah, kebodohan mempercayai mimpi itu masih boleh aku tolak-tolak di sudut hati. Mimpi aku sedikit pun tidak sempurna. Ia cacat di mana-mana.

Ya, moga saja mimpi itu mainan tidur hasil dari emosi yang kurang stabil. Sekali lagi, aku mahu ingatkan diri sendiri, basuh kaki dan baca doa sebelum tidur. Mungkin semalam, aku lupa untuk berbuat demikian, lalu bermimpi ngeri. Mana mungkin aku salahkan cerita The Moon That Embraces the sun sebagai penyebab aku tidak sempat membasuh kaki dan membaca doa kerana aku terlalu mengantuk selepas menontonnya.



Saturday, 12 May 2012

Ini keterbiasaan yang belum pernah berubah


Pagi aku agak berserabut hari ini.  Lewat terjaga dari tidur menyebabkan aku bersiap-siap ke tempat kerja dengan kadar yang sangat segera. Mujurlah hari ini hari Sabtu dan jalan pun tidaklah sesak sangat untuk aku memandu  ke sekolah. Beginilah keadaan aku setiap kali ada sekolah ganti hari Sabtu. Apabila minda sudah terbiasa dengan hari Sabtu adalah hari cuti, pertukaran maklumat akan mengalami sedikit kejutan. Ini keterbiasaan yang belum pernah berubah di awal tahun dua ribu dua belas. Bila ia akan berubah, aku pun tidak pasti kondisinya.

Memandangkan hari ini juga ujian diadakan untuk semua murid dan kelas aku adalah masa yang pertama, sekali lagi aku berlari-lari anak untuk sampai ke kelas sebelum masa bermula. Kelas yang aku awasi ada di tingkat 3, termegah-megah aku naik ke atas. Setiba di kelas, aku bahagikan semua kertas soalan dan malangnya ada 2 helai kertas soalan yang tidak cukup untuk murid. Mujur kelas sebelah punya kertas soalan yang lebih. Murid mula menjawab soalan jam 7.25 pagi dan mereka semua nampak tenang dan bersedia sepenuhnya. Cuma, tiba-tiba, aku lihat seorang murid berlari-lari anak masuk ke dalam kelas. Aku lihat jam, 7.45 pagi!. Tanpa aku tanya, dia terus maklumkan yang kereta mak dia rosak di pertengahan jalan ke sekolah. Aku angguk saja dan terus minta dia duduk di tempatnya dan bersedia menjawab soalan. Belum sempat duduk, mak dia pula sampai dan katakan,

' Cikgu, kereta saya rosak tadi. Tulah Amirah sampai lambat. Saya ikut hantar dia ke kelas kerana dia takut cikgu  marah dia.''
' Oh, okay. Tak apa'.

Aku senyum saja dengar setiap apa yang dia maklumkan.  Lambat?? waktu begini aku masih boleh bertimbang rasa. Tapi, jika waktu itu adalah waktu kertas Peperiksaan UPSR, aku sendiri belum tentu dapat tolong.

Isu datang lambat ke sekolah, aku sendiri pun pernah dan selalu lambat ke sekolah masa belajar dulu. Setiap kali terlambat ke sekolah, aku akan menangis tanpa henti kerana takut dimarah oleh cikgu dan malu dengan kawan-kawan. Penyebabnya ada banyak tapi bukan semua orang mampu memahami masalah kita. Bukan semua orang dapat menerima setiap kekurangan kita seadanya. Bukan semua orang bersedia untuk meletakkan dirinya di tempat kita.

Dulu, aku pergi ke sekolah dengan berjalan kaki. Kadang-kadang seiring dengan Mama Arina. Kalau masa tu panas terik, baju memang lecun. Berpeluh-peluh dan sekejap-sekejap berhenti di bawah pokok tepi jalan untuk berehat. Belum lagi masa hujan, habis semua baju dan buku-buku basah. Balik rumah terpaksa jemur bawah kipas atau terus di atas zink yang mama letak di luar rumah. Masa-masa hujan atau panas inilah, aku selalu mengharapkan ada sesiapa yang akan menumpangkan aku. Tetapi, selalunya jiwa hampa. Mereka-mereka yang punya kereta selalu berlalu begitu saja.

Waktu aku belajar di UiTM pun, hal yang sama pun berlaku juga.  Aku duduk menyewa di luar bersama-sama seorang kawan, Lieyan. Untuk masuk ke kampus, kami kena menumpang 2 bas, satu dari rumah sewa ke simpang UiTM dan bas lagi untuk dari simpang tersebut ke kampus. Kalau bernasib baik, adalah kawan atau pensyarah yang sudi tumpangkan. Tapi, kebanyakkannya terus-terusan memandu tanpa melihat ke kiri dan kanan. Untuk itu, aku selalu bersedia untuk tidak mengharapkan kebaikan orang lain dan terus menunggu bas tumpang atau bas UiTM. Lebih sadis, kalau bas sudah penuh, kami terpaksa berdiri dan aku sudah banyak kali hampir-hampir terjatuh apabila bas melalui selekoh. Gedebuk-gedebuk buku jatuh. Nasiblah badan bila lalui keadaan genting macam begitu.

Kerana itulah, besar-besar panjang dan tua begini, jiwa aku cepat terkesan dan kesian dengan mereka-mereka yang berjalan kaki dan menunggu bas. Malangnya aku tidak mampu berempati. Berempati bermaksud, aku akan tumpangkan mereka sekali di dalam kereta aku. Waktu begini juga, barulah aku sedar, mungkin mereka-mereka yang tidak menumpangkan aku ketika aku menunggu bas atau berjalan kaki dulu, punya urusan yang sangat segera dan alasan yang paling kukuh untuk tidak berbuat demikian. Yalah, kalau kita tidak kenal orang, macam mana mahu berjiwa berani bagi tumpang kereta sendiri? Kalau pun kita kenal tapi kita buat-buat tidak kenal, mungkin kita akan rasa tidak selesa bila dia tumpang kereta kita. Dan juga, mungkin kita rasa kita malas untuk beramah mesra bersama orang baru tu dan akhir sekali, sekarang bukanlah masa yang sesuai untuk terus mempercayai orang lain. Insiden mengacu pisau atau pistol dari belakang ke arah leher dan kepala memang sangat menggila di setiap drama. Aku pun tidak berani.

Berbalik kepada isu lambat tadi, sekarang aku sedang dalam usaha memperbaiki diri. Jangan selalu lambat dan percantikkan setiap urusan aku dengan kadar jam 24 jam yang paling maksima. Apabila lambat ke tempat kerja, akan ada di jiwa aku, takut bos marah. Ada mesyuarat, terus datang dengan segera. Dan konsep itulah yang aku mahu gunakan untuk amal ibadat aku: Kalau waktu solat sudah sampai, aku wajib solat dulu. Takut Tuhan marah.




Thursday, 10 May 2012

PRELOVED SHAWL

Preloved item ini adalah milik peribadi aku. Semuanya masih berada di dalam keadaan yang elok. Gian membeli sehingga ada antaranya yang dipakai hanya sekali dua. Jadi, adalah lebih baik aku jual untuk sesiapa yang berminat. Jika kamu berminat, SMS terus NAMA KOD ke 0168308423. 
Sekian terima kasih.;)



Kod 11 RM5

Kod 12 RM5

Kod 13 RM6


Kod 14 RM6



KoD 15 RM 5



Kod 16 RM 7 ( Sold out )


kod 17 RM 5


 Kod 18 RM 6

Kod 19 RM5

Postage: RM6 ( Sabah & Sarawa )

Bisu


Bisu,
Jika aku membisu, itu tandanya aku sedang memikir,
Jika aku membisu, itu petanda aku masih tidak percaya,
Jika aku membisu, itu amaran yang aku masih perlu masa,
Jika aku membisu, itu simbol aku menahan amarah,
Jika aku membisu, itu simbolik aku mahu kau lebih belajar untuk memahami aku,
Jika aku membisu, itu bererti aku sudah mulai menilai tujuan keberadaan kau di sisi aku,
Jika aku membisu, itu bermakna aku sedang merajuk
Dan, bisu juga adalah maksud aku sedang LAPAR.

Wednesday, 2 May 2012

Itu aku percaya



Sedar tidak sedar, rupa-rupanya Mei sudah datang menggantikan bulan April yang lalu. Pejam celik mata aku, hampir setengah tahun perjalanan hidup aku di dalam tahun dua ribu dua belas. 5  bulan pertama yang meninggalkan seribu satu kegembiraan dan seribu satu kesedihan yang masih aku simpan kemas-kemas di dalam hati aku. Berjayanya aku melalui setiap fasa-fasa ini banyak terkesan daripada mereka-mereka iaitu keluarga dan kawan-kawan yang mana, ketika jatuh bangun aku pun,  mereka akan selalu wujud. Tidak pernah untuk bertindak ingkar pada sebuah ikatan. Itu adalah salah satu keistimewaan di dalam setiap perhubungan yang aku ada. Biarpun jauh tapi aku selalu rasa yang mereka sangat dekat dengan aku. Alhamdulillah, aku panjat seberapa banyak kesyukuran pada Tuhan untuk kurniaan hebat ini.

5 bulan yang pertama, mengharung kehidupan yang semakin mencabar hati dan minda, aku masih terus-terusan bersyukur pada Tuhan apabila perniagaan kecil-kecilan aku dapat memberikan aku peluang untuk membuat penyimpanan bagi masa depan aku dan keluarga kecil aku. 

Sebenarnya, sebelum berkahwin, aku sudah banyak impian yang aku sudah lama ingin capai. Dan, itu semua ada aku catatkan di dalam 'bucket' list' aku seumpama di dalam cerita 'Scent of Women', cuma, penyempurnaan kepada setiap impian-impian aku banyak aku dapat lakukan selepas aku sudah ada kerjaya tetap dan berkahwin.  Kerana itulah, aku bersetuju sangat dengan pendapat mengatakan yang selepas berkahwin, rezeki akan selalu dimurahkan Tuhan

Dulu, aku mulai perasaan hal-hal begini apabila kawan-kawan aku satu persatu tinggalkan zaman bujang dan beralih jadi isteri atau suami orang. Rezeki mereka datang selepas dan seterusnya di dalam fasa perkahwinan. Masa itu, aku mulai dan semakin cemburu. Aku menunggu saat seperti itu. Aku juga mahu menjadi seperti mereka yang punya itu dan ini. Semuanya nampak teratur dan cantik setiap apa pun yang Tuhan rencanakan untuk mereka. Aku kagum untuk itu.

Kemudian, apabila aku sudah berkerjaya dan berkahwin, sedikit demi sedikit aku dapat lalui fasa yang kawan-kawan aku pernah lalui. Dari fasa-fasa itu, aku semakin percaya dan yakin yang sememangnya perkahwinan akan memudahkan segala-galanya untuk aku. Maksud aku, perkahwinan menjadikan aku mulai berfikir itu dan ini., Contohnya, dengan adanya suami, ia dorong aku untuk memperbaiki kelemahan diri aku dan memperhebatkan lagi kelebihan yang aku ada. Malah ia buat aku lagi berfikir ke hadapan. Pendek kata, masa depan kami.

Kalau dulu, aku masak benda yang sama untuk diri aku sendiri tapi selepas ada dia, aku sudah masak pelbagai jenis makanan yang aku sendiri tidak pernah cuba selama aku masih bujang dahulu. Agak segan juga mulanya masak untuk suami, takut kalau-kalau makanan itu tidak sesuai dengan tekak dia, tapi lama-lama, aku sudah belajar perkara 'DO and DONTS' antara kami. Perkara begini sebenarnya menjadi satu keseronokan apabila pada suatu masa, aku masak terlebih masin atau terlebih gula hingga menyebabkan muka dia bekerut-kerut menahan rasa. Nah, bukankah dengan itu, aku belajar untuk 'TRY & ERROR' sehingga aku betul-betul buat yang terbaik?

Sebenarnya, banyak perkara yang perlu dipelajari apabila sudah di dalam fasa berdua. Perkara 'LIKE and DISLIKE' pun ada banyak yang perlu difahami. Itu belum lagi tentang 'WAJIB and HARAM' yang wajib diketahui juga oleh kami. Tapi, bukan itu yang aku ingin fokuskan di sini. 

Aku sebenarnya memberi fokus kepada perkara bahawa, aku sangat percaya yang selepas kahwin, rezeki akan dipermudahkan dan dimurahkan oleh Tuhan. Kalaupun bukan dari segala segi tapi mesti ada untuk sesuatu hal. Mungkin perkara ini disebabkan oleh perhubungan yang berkat  lalu, ia akan memudahkan segala urusan. Itu aku percaya. Kamu?




sponsor by:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...