Tuesday, 31 July 2012

Dejavu

Begitu ramai yang bernasib baik, begitu ramai juga yang tidak brnasib baik. Seminggu ini aku berdepan dengan manusia yang lingkungan hidupnya perit untuk diceritakan. Cerita pertama, dia perempuan yang hampir diperdagangkan, ditipu oleh manusia yang pentingkan wang ringgit kurang dari maruah sesama insan. Cerita kedua, dia lelaki yang rutin harinya terganggu dengan kebisingan, kepenatan dan ketidakselesaan bersama rakan-rakan lain. Dia perantau yang selalu diugut dipulangkan ke tempat asal oleh kesalahan yang dilakukan oleh rakan sendiri. Cerita ketiga, dia perempuan yang bekerja membantu suami menambah pendapatan keluarga. Sekadar tukang sapu, hasilnya untuk menyara anak beranak makan minum dan pakai untuk terus berhidup. Dengan cerita ini, air liur aku telan, mata aku bulatkan, bibir aku ketapkan, cerita-cerita ini adalah fitrah kehidupan. Susah senang adalah klise kehidupan. Sedikit demi sedikit aku rasa dejavu. Kerana dulu, aku pernah merasa susahnya dan sukarnya untuk berada di tempat aku sekarang. Dalam diam, aku tadah tangan semoga kehidupan manusia dari ketiga-tiga cerita ini akan menjadi lebih baik dan dipermudahkan oleh Allah untuk jalani kehidupan mereka. Senyum di bibir mereka manis tetapi hanya Tuhan yang tahu tangis mereka di sudut bilik.

posted from Bloggeroid

Wednesday, 25 July 2012

Jangan lupa

Apabila aku putar semula setiap perkara yang pernah berlaku, aku mengesan beberapa perkara. Kadang-kadang aku sudah melupainya tetapi daya ingatan ini ada masanya cukup kuat untuk menyimpan setiap momen sedih, gembira dan terluka yang pernah aku jalani satu-persatu. 
Kau tahu, kesakitan itu teramat mengerikan untuk dirasa dan adakalanya sakit itu masih terasa ketika manusia yang memberikan kesakitan itu masih terus memberi kelukaan secara terus-terusan. Entah bila kepuasan akan menjadi milik dia, aku sendiri kurang pasti. Aku dinasihatkan oleh pemilik tulang rusukku agar membiarkannya saja malah biarlah kebenaran itu terbuka sendiri hijabnya di mata orang lain. Ya, mungkin enak menyakiti orang lain dan lebih enak kalau setiap yang diucapkan itu adalah dusta semata-mata. Tahniah, kerana begitu tabah mencipta cerita untuk membuatkan aku merasa kau adalah manusia paling baik kerana terus menyebabkan pahala aku bertambah. 
[ Aku percaya kelukaan ini adalah ujian. Insyallah, mudah-mudahan semakin berat ujian, semakin terhapus dosa dan beratlah hitungan pahala aku ]


                                                                        Aku, manusia berhati tisu tetapi kau jangan lupa, aku manusia yang punya Tuhan untuk aku adukan setiap rasaku. Kau lupa yang doa orang teraniaya itu adalah antara doa-doa yang mudah dimakbulkan oleh Tuhan?
Buka mata dan rasa denyut jantung kau, kau rasa, bagaimana kau boleh hidup tanpa Tuhan? 

Monday, 23 July 2012

Kedua dan ketiga belas

Alhamdulillah, aku masih diberi ruang pernafasan untuk jalankan ibadat yang satu ini. Alhamdulillah, ini kali kedua berpuasa sebagai isteri dan tahun ke tiga belas berpuasa di rantauan tanpa keluarga. Ia kitaran waktu yang pada bahasanya begitu lama tapi sangat sekejap pada rasa yang aku ada selama keberadaan aku di atas bumi ini.

Dalam jangka masa ini, aku bayangkan yang aku sebenarnya sudah imun tanpa mereka tetapi aku belum cukup ampuh untuk mengenangkan momen-momen aku bersama-sama mereka. Bangun dan terus makan tanpa membantu ibu di dapur adalah satu keterbiasaan yang aku bikin aku mahu dekat dengan mereka selalu. Cuma, dalam umur tiga puluhan begini, cukup-cukuplah rasanya kemanjaan mendapat tempat pada posisi paling teratas di dalam diri. Kasihan ibu. Tong-tang tong tang di dapur. Anak-anak semua masih bergelimpangan memeluk bantal.


Aku masih teringat perihal ibu membangunkan kami adik-beradik. Untung-untung ibu panggil sekali, semua bingkas bangun tapi kalau mata lebih penting dari mengisi perut, ibu ada strategi untuk ajarkan kami.

Kata ibu,
" Bangun No kom mimon, amun kom nia bangun, baya ni kom ngelantu kang poso." ( dialog dalam Bahasa Bajau, minta mama arina bagi terjemahan. Hahaha.)

Tapi memang sudah dingatkan banyak kali ' kata-kata merupakan satu doa'. Kalau ibu yang sudah cakap sebegitu tapi anak-anak masih berdegil, terimalah padahnya kelaparan dan kehausan sampai mahu duduk di dalam peti ais lama-lama. Eh!.

Untuk semua ahli Gsf dan pembaca senyap blog ini:

' SELAMAT MENYAMBUT RAMADHAN DAN SEMOGA KEHADIRANNYA MENJADIKAN KITA LEBIH BAIK DARI SEBELUM INI '. AMIN.

posted from Bloggeroid

Friday, 20 July 2012

Beri jalan

Kadang-kadang dengan hanya mempercayai diri sendiri yang setiap jiwa perlu ada pengisian perihal ketuhanan untuk setiap saat, ia akan menjadikan diri lebih bersiap-siaga dengan segala kemungkinan di dalam kehidupan. Alasannya cuma satu, hidup akan berakhir di dunia tetapi akan abadi selepas Hari Pembalasan kelak. Untung-untung kalau kebaikan melebihi kejahatan, bolehlah bersenyum-senyum tanda kelegaan. Tetapi jika hitungan adalah sebaliknya, tangis dan rintihan akan menjadi saksi paling utama sebagai tandalah itulah kekecewaan kerana kelalaian berbuat kebaikan sewaktu bernafas di bumi Tuhan dahulu.

*Sekurang-kurangnya, berilah jalan kepada pemandu lain ketika di jalan raya. Tidak rugi pun kalau berbuat kebaikan begitu. Insyallah, kalau kita bagi jalan dengan orang lain, orang lain pun akan bagi jalan juga pada ketika kita sangat memerlukannya kelak★.




Doodle Hasil kreativi mama arina♥♥

posted from Bloggeroid

Monday, 16 July 2012

Relakan saja tutup mata

Hingga ke saat aku tuliskan rasa ini, aku akui yang manusia itu punya macam-macam ragam yang kalau aku tidak mampu tahankan, sudah lama aku tutup rapat-rapat ruang yang aku pernah sediakan untuk mereka. Kadang-kadang aku tidak faham kenapa mereka ini yang pada ketika syaitan menghasut mengapi kemarahan, mereka akan tempiaskan kepada orang lain.

Jujurnya, ada kala aku juga begitu, tahu yang diri aku sedang digilai oleh syaitan untuk meledakkan marah ini pada sesiapa saja. Sudah beberapa kali, aku ditegur kerana kebiadapan itu. Ketika itu, kalau saja aku sudah celik mata dan berperasaan terbuka, aku rasa itu adalah sekecil-kecil kesilapan yang silap-silap boleh heret aku terpuruk menyesali kekhilafan diri.

Tetapi, ya, benarnya, setiap manusia itu berbeza relung pemikirannya. Yang baiknya, aku perlu terima saja semua. Relakan saja tutup mata dan tidak usah terlalu memikirkan ragam manusia sebagai salah satu makhluk Tuhan yang paling unik dijadikan di dunia.

posted from Bloggeroid

Saturday, 14 July 2012

Pengganti

Satu persatu rasa kegilaan datang. Sesak rasa mahu menghalang agar ia tidak duduk di sudut hati. Kalau aku teruskan dengan rasa begini, tidak-tidaknya aku akan mati. Atau untung-untungnya aku akan tetap berhidup dengan cara aku sendiri tanpa mempeduli orang lain. Sukar untuk melupa dan aku akui dengan seribu kali anggukan tanda aku benar -benar setuju. Melupus setiap rasa yang tidak selesa sememangnya boleh menjadikan aku seperti manusia dengan jiwa separa sedar bahawa yang telah pergi itu tidak akan kembali. Aku hanya perlu tadahkan saja tangan aku berdoa agar tempatnya digantikan dengan lebih baik darinya. Kepercayaan aku pada Tuhan sebenarnya tidak pernah berbelah-bahagi. Jatuh bangun hidup aku ada di tangan Dia. Entah-entah esok lusa, aku sudah ada pengganti dia. Siapa tahu yang rahsia Tuhan itu kalau hijabnya terbuka, semua makhluk akan terduduk bersujud dan bersyukur. Aku mengerti benar perihal itu. Sungguh-sungguh aku masih berharap yang aku tidak gila terus walaupun ketika aku rindukan dia, aku berharap yang dia ada di sisi aku untuk aku peluk dan cium selalu.




posted from Bloggeroid

Thursday, 12 July 2012

Kenangan bersama Mama Arina

Serasa aku, jika ahli GSf ada yang sedia maklum yang aku dan mama arina adalah sepupu. Emak dia dan bapa aku adalah adik beradik. Jadi, bila dikatakan sepupu, sudah tentu adalah kenangan-kenangan yang kami pernah lalui bersama.

Dalam banyak-banyak kenangan yang ada, mama arina mengingatkan aku perihal satu perkara yang amat manis untuk dikenang-kenang. Dia ingatkan aku sewaktu dia komen entri 'Rabu tanpa kata' yang lepas. Ia perihal 'birud' dalam bahasa Bajau dan sinonim dengan siput sedut dalam Bahasa Melayu. Aku rasa mesti ramai yang maklum tentang birud ni.

Jadi, ada cerita yang masih cantik tersimpan yang berkaitan dengan birud waktu aku dan mama arina masih hingusan. Kalau tidak silap, umur kami dlm 9 thn macam tu. Mama Arina, betulkan kalau salah.;).

Satu hari waktu petang, kami pergi cari birud ni di tepi sungai. Bukan main gembira bila kami dapat birud dalam kuantiti yang banyak. Terbayang-bayang kalau direbus kemudian di korek guna pin kemudian masuk dalam mulut. Kami cari birud ni di tepi-tepi batu dan hasilnya memang lumayan. Bila balik rumah dan waktu hampi Maghrib, emak tunggu di luar rumah sambil pegang rotan di tangan. Aku yang lihat sudah kecut perut. Memang habislah kalau sudah ada di depan emak.

Dan ramalan kami benar belaka, emak rotan aku di kaki sambil membebel. Sebab emak marah: aku jalan tanpa maklumkan dia, kami pergi di sungai tanpa ditemani orang dewasa, emak takut kalau ada apa-apa jadi dengan kami sebab kami masih budak masa tu, dan aku tahu emak rotan supaya aku beringat-ingat yang aku kena jaga diri selalu. Emak marah benar bila aku jalan tanpa maklumkan dia. Kesian mama arina, dia pun turut kena tempias. Jiwa kanak-kanak yang ingin tahu memang tidak dapat dikawal waktu tersebut. Asyik mahu cuba semua benda.

Bila difikir-fikir dan dibandingkan dengan masa sekarang, memang bahaya bila kami pergi sendiri cari makanan padahal makanan cukup disediakan oleh keluarga. Walaupun lokasi sungai tidaklah jauh sangat dari rumah tapi, percubaan begini kurang selamat untuk budak seumur kami.

Kesan dari hari itu, aku dan mama arina memang serik. Takut kena rotan lagi. Walaupun itu bukan pertama kali, aku dirotan sebab selain dirotan, aku pernah juga diikat guna tali oleh pakcik aku selepas itu. Mungkin itu untuk entri lain. :)

♥ AHLI GSF, ada yang pernah dirotankah? Hehehe. Angkat tangan?


Ini birud yang aku maksudkan. Gambar dari blog dibawah;


http://lokanmelaka.blogspot.com/2010/08/siput.html


Birud yang tidak boleh dimakan. Ia tidak ada penutup dia bahagian atas.


Birud yang boleh dimakan. Ia ada penutup di bahagian atas. Dan inilab yang kami cari.
posted from Bloggeroid

Monday, 9 July 2012

Banner bungasepet

Hujung minggu usai pergi dengan aktiviti keluarga. Ke sana ke sini berjalan bawa mereka jenguk bandar kuching. Mungkin aku perlu buat satu entri nanti. Tunggu ya.

Kesibukan yang ada buatkan aku lupa entri mama arina tentang banner aku. Minta maaf mama arina yang comel seperti Pn. Misya Mialen. Hehehe.

Ulasan:
Banner in siap seperti yang aku mahu. Dan apa yang aku mahu, ada seperti di dalam.banner di bawah.

Terima kasih dik. Moga panjang umur, murah rezeki dan bahagia selalu. ♥♥♥



posted from Bloggeroid

Tuesday, 3 July 2012

Dia suka, dia datang, dia tidak suka, dia hilang.

Aku bukannya tipikal orang yang sukakan binatang yang satu ini. Manusia cepat baran seperti aku selalunya kurang sabar melayan karenah mereka.  Jauh bezanya dengan pasangan hidup yang Tuhan pinjamkan untuk aku. 

Dia sangat sayangkan kucing. Dia suka bercakap dengan makhluk ini seperti ia pun faham dengan apa yang diucapkan. Kadang-kadang dia gendong kucing seperti ayah gendong anak, maksud aku, kucing tu dia akan letak di atas bahu dia sambil berjalan-jalan. 

Itu belum lagi bila dia bermain-main dengan kucing, hulur jari telunjuk letak atas muka kucing dan gerakkan sehinggalah kucing tu berdiri dengan 2 kaki dan kemudian terjatuh. Masa itulah, dia akan ketawa dan kalau waktu tu aku ada di sana, aku pun turut ketawa. Tersentuh hati bila dia begitu baik melayan kucing.

Bukan macam aku, dengan binatang ini, aku boleh suka sekelip mata dan boleh juga marah percuma-percuma. Aku akan tersenyum terus-terusan bila ternampak kucing yang mukanya saja boleh menceritakan ia adalah haiwan paling menyenangkan. Lebih-lebih lagi sekarang ni, gambar kucing selalu digunakan untuk menunjukkan perasaan yang manusia sukar untuk lakonkan. Kucing ada banyak jenis raut muka. Muka kasihan meminta makanan selalu menampakkan mereka memang binatang kesukaan orang kebanyakkan.

Tapi, cahaya matahari tidaklah sampai ke petang. Bila-bila kucing tu buat perangai, misalannya curi makanan padahal aku sudah bagi makanan, aku cepat sangat baran, cepat untuk buat aksi pukul kucing. Mungkin kerana perangai inilah, kucing agak takut dengian aku berbanding dia. 

Bukti yang paling jelas, kucing gelandangan yang selalu datang di rumah akan tunggu depan pintu pagar atau depan pintu rumah pada waktu-waktu suami dijangka sampai di rumah. Ya, itu salah satu sifat kucing yang paling klise aku rasa. Dia suka, dia datang, dia tidak suka, dia hilang.
















sponsor by:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...