Sunday, 26 August 2012

Pulang

Mahunya aku berlama-lama di sini. Biar tuntas semua keinginan dan lunas semua rindu kepada enaknya bertiduran hingga dinihari dan nyamannya menjamah makanan hasil tangan ibu setiap hari. Tiada apa yang aku amat mahukan selain berada di samping mereka yang selalu membuat aku senyum dan ketawa selalu bagaikan aku sudah lupa yang aku masih ada tanggungjawab lain yang perlu aku pikul. Berada di samping mereka di aidilfitri adalah keasyikan yang paling bahagia dalam hidup aku. Beginilah rasa setelah penghidupan sudah diatur sebaik-baiknya, akan ada yang terpisah dan bertemu hanya apabila masanya tiba selepas diaturkan. Aku sekarang berada di lapangan terbang kota kinabalu. Mahu berlepas ke bumi kenyalang. Walaupun hati masih berat untuk meninggalkan jejak di bumi Sabah, tetapi inilah keadaan yang perlu aku lalui setiap kali selepas bercuti. Aku mahu nikmati saja rasa ini kerana apabila satu hari nanti, aku bukan lagi perantau, rasa ini tidak akan sama lagi seperti begini.



posted from Bloggeroid

Wednesday, 8 August 2012

Rezeki

Perihal anak adalah satu sensitiviti bagi mereka yang belum punya pewaris untuk darah daging sendiri. Aku dengar cerita dari seorang kawan. Dia lelaki yang benar-benar mahukan pewarisnya. Terharu aku dengan kesungguhan dia cuma, mungkin rezeki itu masih belum sampai masanya untuk diberikan oleh Tuhan. Kataku dengan dia,
" Rezeki itu datangnya dari Tuhan. Kalau saja Dia mahu berikan rezeki itu, bila-bila masa saja Dia akan tunaikan. Dan jika Dia masih belum memberikannya, anggap sajalah masanya belum tiba. Tuhan bukannya tidak mahu menunaikannya tetapi Dia masih menangguhkannya untuk satu masa yang benar- benar sesuai untuk kita. Berusaha, berdoa dan bertawakal selalh. Janji Allah itu tetap benar. Percaya saja pada Qada dan Qadar. Itu adalah terapi ketenangan yang tidak perlu dipertikaikan".

posted from Bloggeroid

Thursday, 2 August 2012

aku tidak tipu

Bulan puasa, banyak kelebihan dan rahmatnya. Siang menahan lapar dan dahaga serta semua perkara yang membatalkan puasa kemudian, malam berterawih sendiri memohon agar mendapat berkat untuk sepanjang kehidupan. Dan, selepas 13 Ramadhan ini, selepas sahaja membuka telekung yang aku sarung, mata begitu cepat mahu terlelap. Begitula rutinnya. Setiap satu persatu kerjaan aku kini belum pernah lagi aku sempurnakan di waktu malam. Dan sekarang, aku mahu beradu dahulu. Esok, 14 Ramadhan, hari perkongsian kegembiraan aku bersama si dia selepas dua minggu.

Dengan berjauhan, kau akan rasa yang kau akan bertambah-tambah sayang dengan pasangan kau. Betul. Aku tidak tipu.


sponsor by:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...