Sunday, 23 September 2012

Pesan mereka



Setiap kali bercakap sebelum mengakhiri perbualan di corong telefon, emak selalu berpesan,' jaga tutur kata dengan suami, jangan suka marah-marah, lembutkan suara apabila bercakap dan  jangan bergaduh soal benda-benda kecil '.

Sehingga ke saat ini, setahun enam bulan memegang amanah sebagai isteri, satu persatu pengalaman aku hadapi. Fasa kehidupan yang satu ini ada indahnya dan tetap ada cabarannya. Yang indahnya apabila setiap perkara yang dikongsi menjadi satu ibadah kalau dibuat benar-benar ikhlas kerana Allah. Dan yang menjadi cabarannya apabila ada perkara yang misalannya mood untuk memasak begitu merundum kerana kesihatan yang tidak berapa baik. Biasanya, aku selalu memaksa diri. Berdoa sebanyak-banyaknya supaya diberi kelapangan dan kesihatan yang baik walaupun ketika itu ruang pernafasan begitu sendat untuk bergerak. 

Pernah beberapa kali air mata aku menitis ketika berdoa untuk diberi kekuatan untuk bergerak mengemas rumah dan memasak kerana badan aku begitu lemah untuk bekerja. Tetapi, setiap kali itulah, dengan doa yang aku pohon, dengan kudrat yang aku ada, lemahnya aku akan hilang sedikit demi sedikit kerana aku benar-benar mahu bekerja untuknya. Aku mahukan rumah yang bersih dan rapi apabila dia pulang. Aku mahu ada makanan yang tersedia untuknya apabila sesampainya dia di depan pintu rumah. Aku mahu aku sudah bersiap dengan keadaan diri yang membuatkan matanya selesa memandang apabila dia sudah ada di depan pintu pagar rumah. Aku mahu tuala dan pakaiannya sudah tersusun di atas meja apabila dia mahu membersihkan diri.  Aku mahu pastikan ada sebotol air sejuk dan cawan segelaS di atas meja untuk dia minum selepas mengunci pintu rumah. Walaupun, dia belum pernah membuat sebarang komen, tapi, hidung, mata dan perut suami perlu dijaga selalu. Kekuatan isteri perlu ada di ruang itu.

Seperti tadi, badan aku panas, mood aku menjadi tidak baik, aku lemah cuma, tidur pun aku tidak lalu. Tetapi, seperti biasa, aku perlu hadapi cabaran begini dengan hati yang kuat. Aku gagahkan diri, bangun memasak dan sibukkan diri. Esok-esok, ada cabaran yang lebih kuat lagi untuk aku hadapi dan untuk berjaya menangkisnya, aku dan dia perlu berjaya dahulu lalui cabaran-cabaran yang ada sekarang. Kehidupan tidak akan selamanya senang dan tanpa cabaran hidup tiada serinya. 

Berumahtangga bukanlah sekadar satu perkongsian hidup untuk menunjukkan kehidupan sebagai manusia itu sudah sempurna tapi ia lebih kepada satu tarbiah untuk hati supaya selalu ingat yang hidup perlu ada tujuan. Solat adalah tiang dalam rumahtangga yang selalu aku ingatkan pada diri sendiri. Nikmat berimamkan suami adalah jalan untuk mendapat redha Tuhan. Kadang-kadang aku juga terlalai. Manusia selalu dimainkan oleh syaitan. Harap-harap hati aku tetap kuat untuk memegang amanah dari yang SATU ini. 

Pesan emak, aku selalu ingat. Mesej yang ada sama seperti pesan yang nenek selalu suarakan cuma cara penyampaiannya berbeza. Penyampaian nenek lebih berlapik. Mungkin emak sangat tahu perangai anaknya yang ini. Sampai sekarang, rasa-rasa aku, mesej-mesej begini bunyinya berbeza tapi isinya sama. Sebenarnya, aku perlu berterima kasih kepada emak, kepada ayah mahupun kepada nenek dan emak pakcik saudara. Bebelan mereka ada benarnya. Baiknya, aku masih beruntung kerana masih boleh mendengar pesan mereka walaupun ia tetap sama pada saban waktu.

Nota kaki: Salam sayang untuk semua ahli GSF.;)

Wednesday, 19 September 2012

Menunggu

Menjalani hari-hari yang aku ada kadang-kadang membikin aku lagi banyak memikir tentang keberhasilan keberadaan aku di sini. Untung-untung, aku dapat menunaikan apa-apa harapan yang mereka letakkan di atas bahu aku. Itu sudah kira sangat baik pada hitunganku. Cuma, kadang-kadang apabila satu masa aku terpaksa membuat mereka kecewa, aku alihkan rasa bersalah dengan sedikit senyuman walaupun pahit benar untuk aku lakukan. Ada juga ketikanya, aku mahu menguburkan rasa tidak puas hati dan terkilanku dengan menganggap yang kesempurnaan itu jarang kita temui di dalam satu masa. Ada baiknya aku simpulkan erat-erat kemahuanku yang tidak tertunai untuk aku langsaikan ia apabila masa sudah bersedia menunggu aku di situ. Insyallah, dengan keyakinan yang tidak pernah memudar, aku selalu yakin yang akan ada hari esok yang begitu cerah untuk aku.

Menunggu.

posted from Bloggeroid

Wednesday, 12 September 2012

Manusia berhati batu

Bagaimaaa rasanya kalau berkira-kira mahu menjadi sebaik-baik manusia? Bukan sempurna tapi cukuplah dengan memberi selalu yang terbaik, membuat orang lain selalu tersenyum dan setidak-tidaknya menjadi orang yang selalu diingat kerana kebaikkan. Lumrah manusia, perkara yang tidak baik akan menjadi kenangan yang tidak akan pernah hilang dari benak yang paling halus dan perkara baik adalah perkara yang selalu dilupa jika kebaikan itu adalah sekecil-kecil kebaikan.

Menjadi aku, aku selalu mahu mengenang kebaikan yang pernah orang lakukan kepada aku. Cuma, sayangnya, aku juga selalu mengingat setiap kesakitan dan kelukaan yang pernah aku jalani dulu. Bukan mudah untuk menjadi aku. Sehingga sekarang, jauh di sudut hati, aku mahu membuang rasa dendam yang sudah lama bernanah dan membengkak. Aku membencinya kerana dia manusia paling biadap yang tidak pernah tahu erti menghormati hak orang lain. Sehingga aku sudah membenarkan dia mengambil hak yang aku ada tetapi sampai ke saat ini, hati aku masih tidak merelakan dia menghirup walau sedikit pun rasa bahagia yang aku ada. Mahunya, biar dia terus dihimpit kesempitan hidup dan mungkin itu karmanya kerana menjadi pemusnah kebahagiaan orang lain.

Aku, manusia berhati batu yang asalnya lembut tetapi setelah kau membuat aku begini, aku sedang bangkit melawan kedegilan hati.

Jangan sampai aku hilang rasa hormat kali terakhir kepada kau sebagai manusia.

posted from Bloggeroid

sponsor by:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...