Wednesday, 24 October 2012

Teruskan


Dalam tidak sedar, sebulan lepas tiada apa-apa yang aku kongsikan di ruang kecil ini. Kehidupan yang begitu mudah menjadi sedikit kompleks apabila macam-macam perkara berlaku tidak kira di dalam kawalan dan di luar kawalan aku. Alhamdulillah, nafas masih lagi dihembus dan dihirup. Jantung masih terus berdetak tanpa pernah ada rasa bosan untuk berhenti. Ya, teruskanlah.

Kerjaya yang dipikul masih terus dipikul. Aku yang sedang belajar bertatih untuk menjadi seperti apa yang aku mahu pun belum pernah lagi terhenti. Teruskan setiap percubaan untuk berjaya biarpun ada masanya laluan yang ada begitu menakutkkan. Mengawal si kecil di dalam kumpulan yang besar memang mencabar. Mahunya marah dan berteriak supaya hilang rasa menggila di dalam diri. Apabila suara mereka lebih besar dari aku, aku terpaksa membesarkan suara 2 kali ganda dari mereka. Tenggelam suara aku maknanya, aku hanya akan dilihat sebagai bayang pada mata mereka. 

Jadi, jika mahu berhidup sebagai orang utama di depan mereka, aku terpaksa menjadi pelakon yang memegang pelbagai watak. Sekejap marah, mesra, ketawa, sinis, senyum dan sekejap-sekejap jadi bak naga. Begitulah hidup

Ada sekali dua dalam sebulan ini, ada rasa hampa yang terus-terusan  meraja. Tapi, kerana percaya pada rezeki yang Tuhan sudah bahagi-bahagikan pada setiap hamba, tidak salah rasanya kalau aku terus mengharap dan berserah. Kalau memang itu rezeki aku, Insyallah, sampai masa, ia tiba. Kalau ia memang rezeki aku, tiada siapa pun yang akan dapat milikinya kecuali aku.

Cuma, kadang-kadang aku perlu beringat-ingat yang ada ketikanya, rezeki itu rezeki aku tapi sebenarnya bukan hak aku. Itu yang aku belajar dari buku ' Mudahnya menjemput Rezeki ' hasil penulisan Fathuri Salehuddin. Banyak input yang aku dapat dan aplikasikan dalam hari-hari aku. Syukran Jazilan.

Merantau di tempat orang bukan lagi isu yang jadi masalah pada aku. Orang kata, alah bisa tegal biasa. Hidup sendiri menjadi begitu tipikal dengan bosan dan tiada teman. Mereka yang begitu sebati dengan jiwa, jauh dari depan mata. Mungkin itu salah satu hikmah kita berjauhan. Menjadikan aku makin sayang dan menghargai setiap nama mereka yang ada tertulis di dalam nota kecil aku. Setiap waktu, berkira-berkira bila lagi untuk bertemu. Penangan jauh dan rindu.

Bekerja dan hidup sendiri sebenarnya mudah selepas 3 tahun melaluinya. Dulu, bukan main susah aku rasa. Siang malam menangis, mengadu nasib sendiri. Tapi, setelah belajar percaya pada diri sendiri, sekarang aku sudah boleh tersenyum-senyum sendiri. Alhamdulillah. Kadang-kadang, senyum sendiri bila mandi dan memasak. Bercakap sendiri seperti berteman. Alhamdulillah. Hasil nikmat yang tidak ternilai ini, aku mula yakin yang bahagia memang ada untuk setiap manusia. Cuma, lewat masa yang menentukan.

Tidak mengapa begini. Dengan jalan hidup yang begini, ada banyak perkara yang aku belajar. Insyallah, mudah-mudahan semuanya terus dipermudahkan. Amin.










sponsor by:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...