Saturday, 17 November 2012

Mengadu



Sejak kecil, aku dibiasakan yang setiap manusia perlu tahu berdikari. Perlu  tahu menyesuaikan diri sendiri dengan apa keadaan apa pun. Ketika susah atau senang, semuanya perlu dilalui saja sama ada dengan perasaan takut, marah, geram, syukur atau penuh keluh-kesah.

Bagi aku, manusia hanya ada dua pilihan sahaja iaitu memilih untuk bahagia atau derita. Jika memilih untuk bahagia, hadapi saja setiap kesusahan hidup dengan usaha, doa dan tawakal. Dan jika mahu memilih derita. lalui semua kesusahan hidup itu tadi hanya dengan tangisan, kesalan dan menunggu untuk bahagia seperti dalam cerita dongeng, ada sakti yang boleh beri emas segunung atau pun memilih jalan mudah iaitu mati. Habis cerita hidup. Mudah tapi bertahun lamanya diseksa selepas kehidupan kedua kelak.

Aku teringat pada kisah hidup seorang kenalan. Dia bercinta dengan seorang lelaki yang dia memang suka. Bermesra dan terlanjur. Kemudian, tiba-tiba ditinggalkan oleh lelaki tersebut selepas dia sudah tiada apa-apa. Tidak lama selepas itu, dia mendapat tahu yang lelaki itu bercinta dengan orang lain. Hati dia memang patah seribu. Tangis dia tidak pernah kering. Kalau dia memilih jalan mudah, sudah tentu dia memilih untuk mati saja. Begitu klise seperti dalam cerita drama atau novel. Tapi, Alhamdulillah, dia memilih jalan untuk insaf dan berserah. Walau sampai sekarang dia belum berjumpa dengan pemilik tulang rusuknya tetapi, sekurang-kurangnya dia sudah tahu hargai diri dia sendiri. Jangan terlalu menggila pada cinta yang belum pasti.

Beberapa hari yang lepas, ada sedikit perbualan antara aku dengan seorang bekas anak murid melalui laman muka buku. Dia klien yang selalu datang sukarela berkongsi masalahnya dengan aku dahulu.

Dia: Cikgu, I miss u. Sekarang saya tengah tension. Tiada siapa yang dapat saya luahkan masalah saya sekarang macam dulu masa ada cikgu.

Saya: I miss u too. Ya, tension kenapa tu? Kalau tidak kisah, luahkan dengan saya. Saya sedia mendengar.

Dia: Cikgu, salahkan kalau saya suka dengan orang yang lebih tua dari saya?

Saya: Tidak salah sebab itu naluri kebiasaan bagi manusia.

Dia: Tapi, dia sudah ada orang yang punya, cikgu.

Saya:...

Agak-agak apa jawapan yang paling tepat untuk aku berikan untuk dia? Dia baru berumur 13 tahun. Baru mengenal sedikit saja makna suka, cinta dan sayang dari manusia berlainan jantina. Belum lagi tahu benar akan muslihat rasa cinta yang kalau tersilap langkah, mahu-mahu meraung bila cinta tidak dibalas atau membuat helah dendam seperti dalam cerekarama melayu atau sinetron indonesia yang serba canggih penipuannya. Atau drama dari Filipina misalanya SIRI MARIMAR, yang akhirnya Angelica mati begitu saja?

Harap-harap, jawapan jujur yang aku bagi dengan dia, akan dapat dia fikirkan semasak-masaknya. Sebagai yang tua, aku mahu menasihati walaupun kadang-kadang, masalah aku sendiri pun, aku masih belum dapat selesaikan dengan cara paling bijak. Paling-paling pun, banyak mendiamkan diri sebagai tanda paling matang dalam menangani masalah.  

Apabila dalam keadaaan marah, menangislah dengan semahu-mahunya. Biar bengkak mata asal hati puas. Cuma satu, belajarlah mengadu pada Allah dari sekecil-kecil dan sebesar-besar masalah. Pengalaman aku, mengadu pada Allah, jalannya cepat nampak daripada mengadu pada manusia. Ada juga masalah yang perlu diadu pada manusia tetapi, beragak-agaklah untuk memilih tempat untuk mengadu. Mengadu pada yang betul, mungkin boleh membantu. Mengadu pada yang salah, mungkin boleh membinasa.

Beginilah kehidupan.


Tuesday, 13 November 2012

Sulung pengganti

Pada momen aku menaip kisah ini, aku sendiri tidak akan pasti, bila ketikanya aku akan klik perkataan ' publish'. Mungkin satu hari nanti, apabila semuanya aku sudah yakini berjalan seperti apa mahuku dan seiring dengan nikmat anugerah dari Illahi.

Malam tadi, hati aku yang sering-sering tidak sabar untuk melihatnya masih lagi mencari dan membaca sesuatu yang boleh menjadikan dia sebagai realiti di mata aku. Artikel-artikel ke 4 bulan setengah dan ke 5 bulan, aku baca satu persatu. Aku amati setiap segi perkataannya dan aku angankan terus di dalam mindaku tentang rupa dan pergerakan dia ketika aku sedang duduk dengan kaki sebelah menjulur di atas tilam.  Sambil membaca, aku usap dia. Begitu kasih aku pada dia. Seolah-olah aku sudah makin mengerti begini rupanya kasih ibu kepada anaknya.

Dalam tidak sedar, dia sudah menjangkau 5 bulan menghuni alam rahimku. Seperti malam tadi, setiap kali membaca tentang perkembangannya, hati aku sayu, ia begitu kecil di dalam rahimku tetapi sedang membesar sedikit demi sedikit dengan kuasa Tuhan. Kadang-kadang, jiwa aku mengila mahu benar melihat dia dan tangan aku selalu cepat menaip perkembangannya di dalam u-tube. Aku tonton sehingga air mata aku mengalir pun aku tidak sedar. Sebaknya hanya Tuhan yang tahu. Kalau boleh, aku mahu peluk dia terus, Biar aman jiwa aku dengan adanya dia di depan mata aku.


Untuk momen-momen sekarang, air mata aku menjadi sangat murah apabila perginya suami. Lambaian di pintu pagar sehinggalah keretanya hilang dari pandangan akan menjadikan pandangan aku semakin kabur sambil mengusap si kecil ini. Aku kata dengan dia, ' sayang, bapa balik sudah. Nanti minggu depan bapa balik lagi. Kesian kita tinggal berdua kan? tapi, tidak apa, sayang ada mama kan'. Itu yang aku ucap dengan dia. Apa yang aku tahu, peringkat sepertinya sudah mampu mendengar suara aku dan aku berharap dia faham kenapa kami ditinggalkan setiap kali hari minggu datang. Ia memang situasi yang sangat menyesakkan jiwa aku. Tapi, apalah daya aku mahu menolak kalau beginilah takdir perjalanan hidup kami. Berkahwin dan berjauhan. Sakit tapi membahagiakan. Alhamdulillah pada hujungnya.

Ada yang mengelar si kecil ini sebagai sulung pengganti. Mulanya aku pun tidak mengerti apa. Kemudian, ia diperjelaskan yang maksudnya si kecil ini adalah anak sulung tapi pengganti kepada sulung yang pernah pergi dahulu. Ya, aku sudah redhakan kepergian dia. Ya Allah, sebak lagi hati aku bila menaip tentang dia. Laju air mata aku turun ketika aku taip benda ni. Dia datang temankan aku sekadar 7 minggu dan berjaya membuat hati aku dan suami sangat bahagia. Ia momen paling bahagia apabila ia dianggap sebagai hadiah ulang tahun perkahwinan yang pertama. Tapi sayangnya ia pergi 3 hari sebelum hari ulang tahun perkahwinan kami. 

Sudah-sudahnya, aku mengalami kemurungan yang agak dahsyat tetapi hanya suami yang mengerti erti air mata aku ketika itu. Di depan orang, aku berlagak paling tabah tapi di depan suami, hati aku  selalu runtuh, pipi aku sentiasa basah dan sehinggalah aku benar-benar relakan kepergiannya, aku berserah. Aku bertawakal 100% kepada Tuhan. Aku sudah tidak punya kudrat apa-apa. Aku tunggu hikmah selepas keguguran untuk mengandung kali kedua. Dan, Alhamdulillah, si sekecil ini adalah hikmahnya selepas 2 bulan pantang. Alhamdulillah, Alhamdulillah.

Ujian sentiasa datang.Kadang-kadang aku sukar mengawal perasaan bila sendiri tanpa suami dengan mengusung permata ini. Ke pasar bersama, kerja bersama, makan bersama, mandi bersama dan tidur bersama. Aku kuatkan hati. Tegarkan jiwa supaya tabah. Adanya si kecil ini, hati benar-benar teruja. Mahu melihat dia. Mahu membelai dia. Mahu mencium dia. Biarpun, jalannya masih jauh, ada beberapa bulan lagi sebelum dia melihat dunia, aku doakan semuanya berjalan serapi-rapinya, semudah-mudahnya dan secantik-cantiknya. 

Perancangan Tuhan itu cantik. Aku yang pernah terduduk kecewa kerana kehilangan yang sulung tapi sudah hampir banyak ketawa dengan pengganti sulung ini. Moga engkau selamat datang ke dunia ibu sedikit masa lagi sayang.

Mialen Eja ( 29 Okt0ber 2012, 9.13 malam )
Atas tilam, rumahku syurgaku.







sponsor by:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...