Thursday, 28 February 2013

Semuanya akan aku ceritakan satu persatu.




Nampaknya hari ini hari terakhir dalam bulan Febuari bagi tahun dua ribu tiga belas.  Bermakna dua bulan sudah sekalian manusia berada di tahun ini. Kehidupan aku masih berlansung seperti biasa dan sedikit luar biasa. Kondisi luar biasa disebabkan oleh perubahan demi perubahan yang aku telah lalui dan sedang lalui malah sebentar lagi ada satu fasa lagi yang akan mencabar kekuatan aku sebagai perempuan.

Sedang fasa yang ini pun, kadang-kadang aku sudah termegah-megah tapi hasil pujukan dan kekuatan yang selalu diberikan oleh suami, rasanya aku makin dapat bertahan. Adalah menjadi perkara yang normal bila kadang-kadang kita  tidak terlawan setiap cabaran yang datang, mahu menyerah begitu saja tetapi, selagi aku adalah  aku, selagi aku ada alasan  untuk teruskan kelangsungan hidup selagi itulah aku pijak bumi yang nyata.

Alasan aku jelas, aku ada keluarga, ada suami, ada anak yang sekejap lagi akan melihat dunia, ada kerjaan untuk dibuat, ada perancangan perlu dibereskan dan ada nyawa yang perlu dihabiskan sebelum Tuhan tarik semula.

Ya, maksud aku sebelum aku dimatikan dari bumi ini. Sebelum nama aku hanya tinggal nama tanpa jasad jadi, aku kena memaksimakan semuanya yang ada dengan sebaiknya.

Rutin aku sekarang menjadi sangat padat. Aku ada banyak entri-entri yang aku mahu jadikan cerita. Ya, sebagai rujukan kenangan aku pada satu masa nanti. Entri percutian ke Jakarta & Bandung, entri percutian ke Brunei, entri tentang  anak, entri tentang cinta dan entri persiapan selama mengandung dan bersalin.

Habit menulis aku sebenarnya sangat berkobar-kobar seperti selalu hingga kadang-kadang aku lansung terus buat status di page Bungasepet atau pun laman muka buku aku. Paling tidak pun dalam intagram aku, bila kadang-kadang hanya sekeping gambar boleh jadi cerita yang panjang. Hobi aku bercerita, mengisahkan kehidupan aku supaya aku boleh nampak apa aku sudah aku capai dan apa yang belum aku capai. Ia kadang-kadang jadi ukuran sejauh mana aku majukan hidup yang serba sederhana begini.

Sebentar lagi, aku akan bercuti lama, balik kampung dan menunggu kelahiran si kecil. Mungkin masa itu, aku sudah boleh mengarang cerita-cerita aku untuk jadi entri. Insyallah, moga Tuhan tetap berikan aku kesihatan yang baik dan mempermudahkan semua urusan aku sehingga si kecil ini lahir bertemu aku, suami dan semua keluarga.

Jangan ditanya perasaan aku sekarang. Aku ada beribu-ribu perasaan. Tunggulah di lain entri, aku akan pecahkan semua rasa ini. Aku akan tuliskan setiap cabaran yang aku ada selama aku dalam fasa baru ini. Ya, tunggulah. Semuanya akan aku ceritakan satu persatu.

Esok-esok akan ada susulannya.


Tunggulah, ini misi selepas bersalin.;)



Friday, 15 February 2013

Buka sedikit minda kau, jangan sempitkan sangat.


Umum tahu,
Kalau dah namanya kerja kumpulan, 
Kau, kau dan kau kena buat secara berkumpulan atau bergilir - gilir supaya orang lain tak berkecil hati.

Eh.
Betulkah ada yang berkecil hati?

Hei, kau jangan dalih-dalih
Memang ada orang yang macam tu.
Dia tak cakap jadi, kau sendiri yang kena perasan kondisi macam tu. 

Agak-agaklah kalau kau rasa kau malas nak bagi kerjasama.
Esok-esok, orang pula tak nak bagi kerjasama bila bekerja dengan kau.

Janganlah kerana mentang-mentang dia tak cakap apa-apa, tak merungut apa-apa depan kau, kau biarkan dia buat kerja.

Hei, selagi itu kerja bersama-sama, buatlah secara bersama-sama, bersatu padu.
Kan pepatah Melayu kata," Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh" .

Buka sedikit minda kau, jangan sempitkan sangat.
Hidup kena memberi dan menerima.
Kau tolong orang, satu hari nanti, orang akan tolong kau.

Tak percaya?
Kau fikir saja konsep sedekah.
walau sekadar 10 sen yang kau bagi pun, Allah akan hitung pahalanya. Yang penting kau buat dan ikhlas.

Sebenarnya,
aku cerita sedikit rasa kecil hati pada yang kurang bagi kerjasama bila bekerjaan. 

Agak-agaklah kalau ya pun kau nak amalkan terus budaya begitu.
Sampai bila? 
Kita kan Satu Malaysia.

Jadi,
Bila lagi kita nak jadi satu kumpulan yang berjaya dan bekerjasama kalau kau terus-terusan begini?

Fikirkan sendiri.

[Bungasepet | 10.30 am | 15 Febuari 2013]

Sunday, 10 February 2013

Yang perlu



Kita angguk-anggukkan kepala
Tanda hati kita suka dan gembira
Lupakan dahulu, 
kisah kau menangis semalam
Sia-sia hari kau, 
kalau terus-terusan melayan sebal yang bebal

Yang perlu,
Kau tenangkan hati sendiri,
Bacakan Bismillahirahmannirahim
Wiridkan Laillahaillalah, Subahannallah, Walhamdulillah, Allahuakbar.

In Sya Allah, di hujung ucapmu,
Akan ada tenang kiriman dari Tuhan.

[BungaSepet | 5.36 pm | 10 Feb 2013]

| Untung sabut tenggelam, Untung manusia tiada yang tahu. Hari-hari adalah untuk belajar. Bukan sekadar makan, minum, tidur dan bekerja. Kalau ada silap yang kau buat hari ini, cepat-cepat perbetulkan, supaya nanti kau lebih bijak pada esok hari |

Thursday, 7 February 2013

Tiga jiwa


Akhirnya, 

bertemu buku dan ruas.
kau tidak perlu lagi memberi terlalu banyak dengan harapan dia akan anggukkan saja kata kau.
Dia golongan manusia professional yang berpandukan pekeliling. 
Apa-apa katanya terselit perenggan itu ini.
Dia hafal.Kau tahu?
Di kesempatan yang ada, 
kalau satu hari nanti, tiba-tiba dia berlembut jiwa,
Mahu mendengar apa kata kau.
Untunglah kau.

Tapi, setakat ini,
Aku dan kau kena terima adanya dia
Baik juga.
Kerana,
Dari dia, kita belajar untuk ikut peraturan, lebih berdisiplin dan yang aku paling suka kita lebih kreatif untuk mencipta kelainan.

Selamat hari Rabu.

Hai Rabu yang pertama di bulan Febuari 2013.

Senyum.

[BungaSepet | 5.17 pagi|6 Feb 2013]




Manusia kebal.


Kekentalan hati seorang manusia bisa merudum juga kalau kesabaran selalu digugat.

Jadi, hati-hatilah kalau manusia tu sudah bilang sabarnya sudah sampai ke hujung.

Boleh-boleh dia bangkit dan muncul sebagai manusia yang kau kerdip mata berkali-kali pun kau tidak percaya itu adalah dia yang dulu.

Dia tetap manusia. Bukan ultraman atau gaban.

Cuma, dia jadi manusia luar biasa.
Ya,luar biasa yang kau tidak pernah ilhamkan.

Manusia yang mampu menghidupkan jiwanya sebesar-besar jiwa.

Tiada Melemah. Malah dia akan selalu senyum pada kau, orang yang pernah melukai hatinya

Waktu itu, kau yang akan terluka sendiri.

Percayalah.

[Bungasepet|12.18PM|7 Feb 2013]



Semalam.
Aku belajar sesuatu.
Sakit yang datang tiba-tiba memang menyesakkan jiwa.
Rasa-rasa mahu pergi jauh-jauh sendiri
Melayan gelodak perasaan yang bermacam-macam
Mujur, 
Selepas satu masa rehat yang tidak berapa panjang
Ia beransur hilang dan rasa tenang jadi penghuni jiwa

Hari ini,
Aku berlagak tiada merasa sakit,
Buat muka paling tabah dan tenang

Rupa-rupanya, 
Sakit itu tidak perlu diingat-ingat
Biarpun ia terasa sungguh-sungguh
Tapi, 
Penawar yang aku guna semalam ialah
Senyum dan zikir

La hau la wala quwata ilabillah.

Alhamdulillah.

[bungasepet|7 Febuari 2013|8.11am]




Monday, 4 February 2013

Eh, dulu muka berjerawat!



Menjalani hidup, ada banyak simpang yang perlu dilalui. Kadang-kadang ada satu simpang saja yang terang-terangannya kau boleh lalui tanpa perlu berfikir panjang sama ada mahu terus atau tidak. Ada masanya pula, di hadapan kau, ada seribu satu simpang yang kau kena pilih hati-hati. Silap-silap pilih, kau akan merana akhirnya. Yang merasa sakitnya nanti adalah diri kau sendiri, bukan orang lain.

Dan, menjadi manusia seperti aku, cerita hidup aku sangat saling bergantungan antara satu dengan yang lain. Selepas satu kisah, akan ada lagi kisahnya. Kadang-kadang ia memang punya kesinambungan yang pada waktu dulunya aku tidak pernah terfikir jalannya. 

Misalan yang paling dekat ialah, pertemuan dengan suami. Aku kenal dia agak lama. Bemula di sekolah menengah, kami sama-sama satu sekolah dan tingkatan.Cuma berlainan aliran. Dia budak Teknik, Aku budak aliran Agama. Ya, bukan main jauh beza kami. Dia ada geng yang aku dan kawan-kawan memang geruni. Entahlah, dari segi apa pun, aku sendiri tidak pasti kenapa kumpulan budak lelaki hingusan macam tu pun perlu ditakuti. Tapi, yang pastinya bila  ternampak kelibat mereka, aku dan kawan-kawan aku sanggup pusing 90 darjah tidak akan lalui jalan yang sama kalau ada mereka. Kuasa mulut laser memang besar agaknya. Sebab utamanya kami takut mulut laser dorg. Ya, begitulah selalu.

Dipendekkan cerita, aku hanya kenal nama, wajah dan kelas dia. Sikap dia jauh sekali aku tahu apa-apa. Dia pernah kata, dia pernah tegur aku sekali waktu tunggu giliran di pondok telefon sekolah, tapi, sampai sekarang, aku tidak ingat langsung pun momen tu. Dia sajalah yang ingat. Nampak sangat aku tidak ambil kisah pun kan?. Kemudian, selepas SPM tahun 1999, kami bawa haluan masing-masing. Dia ke mana pun, aku langsung tidak ambil pusing. Masing-masing dengan jalan sendiri.

Tetapi,  Hujung 2006, aku terserempak dengan dia lagi dalam keadaan agak berbeza. Bezanya, aku masih kenal raut muka dia yang bermata sepet. Tu la aset dia yang aku ingat selalu. Cuma, siapa sangka, kawan dia adalah kawan lelaki aku. Kawan baik dia pula. 

Waktu tu, aku tidak tahu pun yang pertemuan kali kedua tu sebagai tanda dialah lelaki yang akan melengkapkan hidup aku. Aku benar-benar gagal membaca catatan takdir Tuhan untuk aku. Aku sekadar lalui hidup aku apa adanya. 

Pengalaman aku, mencari pemilik tulang rusuk kita, bukanlah semudah makan nasi, buka mulut, kunyah dan telan. Ia adalah satu perkara serius yang walau kau tidak mahu memikir tentangnya tapi tiba masanya kau kena fikir juga sebab fitrah manusia ni sentiasa mahu ada peneman. Macam Nabi Adam yang perlukan Hawa sewaktu dia di syurga. Jadi, kalau kau kata, kau tidak perlukan teman hidup, kau jangan nak tipu sangat perasaan kau tu. Orang lain kau boleh tipu tapi hati kau?? 

Kemudian, selepas satu persatu episod kerapuhan hati berlaku yang aku sangka tiada penamat, akhirnya aku  mengalah untuk menunggu dan mencari pelengkap kehidupan aku sebagai wanita. Siapa sangka, dalam kepatahan jiwa yang menggila begitu sadis sampai aku rasa kehidupan aku lintang pukang, lelaki yang aku hanya kenal nama, rupa dan kelas tu lah rupanya orang yang aku cari-cari selama ini. Bukan main penat aku bercinta, putus cinta, bercinta putus cinta dengan orang lain, padahal dia sudah ada di depan mata aku bertahun-tahun yang lalu.

Seperti yang aku maklumkan di awal catatan aku tadi, kisah  hidup aku selalu berkaitan. Dan, aku yakin, orang lain pun begitu. Selalunya, sesuatu tu kita tidak akan pernah sedari kepentingannya selain selepas kita menghargai kehadirannya. Maksud aku, selepas aku kenal hati budi dia, baru aku tahu, yang Tuhan sudah lama permudahkan jalan aku untuk temui dia cuma aku yang masih berdegil, tidak mahu belajar melihat ke kiri dan ke kanan, tidak mahu melihat di luar kotak, tidak mahu berfikir di luar kebiasaan dan asyik memikir soal setia dan jujur walhal tidak semua orang yang kita harapkan boleh jujur macam yang kita mahu. Klise hidup, kan?

Alhamdulillah. Sekarang, dia sudah ada benar-benar depan mata aku. Tiada lagi kepayahan untuk aku bertemu dia. Waktu makan atau sembang-sembang, kadang-kadang tanpa sengaja cerita lama tercerita lagi.

Suami:' Eh, dulu muka berjerawat!'
Aku: ' ala, muka berjerawat ni jugalah yang ditunggu 10 tahun, kan?'
Suami: Ketawa.
Aku: Membalas ketawa.

Perkara biasa bila masuk asrama, muka berjerawat. Buruk benar muka aku masa berjerawat dulu. Stress bukan main bila tengok muka kawan-kawan masih cun. 

Demikianlah maksud aku, setiap kisah ada kesinambungannya.

Selepas ini, aku tidak berharap ada unsur suspen sangat dalam hidup aku. Cuma, aku benar-benar berharap,  perjalanan hidup aku mudah dan aku dapat baca jalannya walau tidak banyak tapi sedikit pun sudah cukup.





Saturday, 2 February 2013

Berkongsi Rasa

Memasuki bulan januari, kandungan aku semakin sarat. Mudah penat dan banyak perkara yang selalu aku buat sudah makin terbatas. Itu ini kena jaga. Bukan jaga sembarang tapi jaga sungguh-sungguh. Itu salah satu pengorbanan yang sepatutnya aku buat untuk meraih nyawa yang satu dalam rahim aku. Kali ini, aku tidak guna aspek rasa-rasa lagi tetapi ia adalah satu perkara yang bukan boleh dipandang enteng. Apabila bertahun menunggu dan nikmat itu diberi oleh Tuhan, selain dengan rasa syukur yang boleh dilafaz-lafaz, aku perlu guna perbuatan untuk membuktikannya.

Cuma, yalah. Manusia lemah seperti aku yang selalu patah hati tidak akan lari dari berkongsi rasa begini. Ya, ini status aku pada 10 Januari 2013 yang lalu. Awal-awal lagi aku sudah melemah. Mungkin jiwa semakin sensitif jadi bila penat sikit, aku rasa aku sudah tidak boleh lagi berdiri sendiri.



Kemudian, 1 Febuari 2013, perasaan yang sama juga datang hingga gambar begini dalam instagram aku, aku  muatnaikkan. Seawal jam 6. 20 pagi, aku muatnaikkan gambar ini. Waktu tu, aku memang tidak terdaya. Rasa mahu berehat dan tidak mahu bekerja. Tetapi, seperti bulan-bulan yang lalu dari awal kandungan lagi, aku selalu buat-buat sihat walau aku tidak sihat. Aku hanya akan manjakan diri bila ada suami dan keluarga. Selebihnya, bila aku sendiri, secara automatiknya aku pun jadi kuat. Ya. harap-harap, anak yang aku kandung ni pun kuat dan sabar macam aku. Itu kata-kata yang suami selalu ulang-ulang untuk aku bila aku mula mengeluh itu dan ini.


Sehinggalah semalam, suami bagi teguran, dia kata, aku kena aktif berblog kembali supaya aku tidak buat status sedih. Aku kena menulis lagi di dalam blog macam dulu dan yang buat aku terharu ialah, dia siap bagi tips lagi bagaimana cara yang aku perlu buat supaya statistik pengunjung blog aku makin naik. Seperti yang aku buat sekarang. Dengan semangat yang dia suntik semalam, aku mula buat entri. Dan ketika aku buat entri ni, dia yang basuh baju dan jemur baju. ^_^


Aku mula mencari gambar-gambar tahun lepas. Gambar ni, gambar-gambar waktu aku dalam pantang selepas keguguran untuk kandungan yang pertama bulan Mac 2012. Sedaya upaya di sini, aku cuba untuk sembunyikan setiap kepatahan hati yang ada. Alhamdulillah, aku sudah berjaya laluinya dengan hati yang sangat kuat biarpun ia merapuh di dalam.








Dan ini, gambar 17 Januari 2013. Usia tujuh bulan lebih  kandungan kedua aku. Peplum yang aku pakai mengaburi sedikit pandangan orang lain. Kerana ropol-ropolnya, perut aku tidaklah nampak sangat. Kerana itu jugalah, sepanjang mengandung, koleksi peplum aku agak banyak. Suka benar dengan peplum ni. ^_^


Dan usai entri ini, aku  harap-harap, semangat ini berterusan untuk terus buat entri. Bukan mudah sebenarnya untuk tinggalkan sesuatu yang pernah jadi rutin seperti berblog macam dulu. Tapi, selepas satu persatu kejadian, aku belajar untuk dahulukan yang utama. Mudah-mudahan, esok-esok pun aku masih terus punya nafas yang paling segar untuk teruskan kelansungan hidup di bumi Tuhan. Amin.


sponsor by:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...