Wednesday, 20 March 2013

Kenapa aku menulis blog ?


Beberapa orang kawan pernah bertanya dengan aku. Soal mereka, ' untuk apa ada blog, kalau ada blog, mahu dicerita apa dalamnya?'. Jujurnya, soalan-soalan begini kadang-kadang aku jawab dengan senyum tanpa membuat penerangan seperti aku mengajar murid di dalam kelas. 

Bagi aku, setiap orang ada cara penyampaian cerita yang berbeza. Setiap orang ada tekniknya sendiri untuk berkongsi pengalaman hidup masing-masing, Tapi, aku yakin, kepada mereka yang ada diari peribadi atau buku catatan sendiri akan tahu apa yang perlu mereka ceritakan di dalam diari atau buku catatan dan blog mereka.

Kita jangan pergi jauh sangatlah. Tapi, cukuplah kita ingat-ingat, kalau-kalau kita suka mencatat benda atau barang-barang yang kita akan beli  di supermarket atau pun tarikh-tarikh penting yang perlu diraih atau senaraikan perkara-perkara yang perlu kita buat pada masa akan datang untuk beberapa perancangan. Kalau kau tergolong dalam orang macam ni, ini jugalah salah satu fungsi blog sebenarnya. Cuma, blog ni, kalau kau tahu hias, tahu tukar template, letak itu ini, memang meriah jadinya. Cantik dan comel malah kau pun akan rasa selalu ingin buka blog kau lebih-lebih lagi bila ada kawan-kawan yang kau tidak pernah kenal di alam realiti jadi kawan kau di alam maya.  Komen sana sini. Respon itu dan ini.

Mempunyai blog, terpulanglah dengan kau untuk cerita apa. Tiada siapa yang larang selagi ia tidak melarang akta penulisan yang ada. Bila menyentuh tentang akta begini, aku tahu, ramai orang yang sudah tahu apa yang perlu di buat dan tidak. Guna logik akal untuk teruskan kelansungan hidup. Pendek cerita itu saja untuk terus gembira.

Kenapa aku menulis dan berkongsi? aku tiada jawapan yang khusus. Sebab dari dulu lagi, aku memang suka membaca dan menulis. Otak kanan aku banyak berfungsi berbanding dengan otak kiri. Mungkin sebab tu aku kurang mahir kalau bab kira-kira. Otak aku cepat tepu kalau berfikir tentang nombor. Ya, aku sudah lama akun akan benda ini. Dan, suami aku sendiri pun sudah dapat lihat depan mata kepala sendiri betapa lembabnya aku kalau pasal kira-kira. Mujur dia guru matematik dan banyak bantu aku untuk kira-kira. Ya. Jodoh kami, aku suka membaca, tidak suka mengira, dia suka mengira tapi tidak suka membaca. Vice versa!

Apa nikmat yang aku dapat selepas aku menulis? selalunya idea untuk menulis tu akan datang tiba-tiba bukannya yang aku rancang sebab selalunya yang aku rancang tidak akan menjadi. Aku jenis yang tidak boleh dengan benda macam ni, 'eh, esok aku nak cerita pasal ni la, itu lah'. Aku sudah pernah mencuba tapi sampai sekarang hanya ada beberapa entri saja yang aku dapat buat. Aku lebih kepada, kalau waktu itu aku sedang berfikir dan waktu itu juga aku aku menaip sehinggalah habis.

Nikmatnya?
Selepas menulis, aku akan rasa kosong. Puas hati kerana berjaya mengosongkan setiap apa yang ada di dalam fikiran aku walaupun kadang-kadang aku terpaksa tapis untuk menjaga hati orang lain. Menjadi diri sendiri tapi keperluan untuk menjaga sensitiviti orang lain itu pun bagi aku adalah satu keutamaan apabila kau menulis melibatkan keluarga sendiri.

Apabila minda sudah kosong, senanglah bagi aku memproses  perkara yang baru kerana kosong adalah ruang yang aku perlu dalam hari-hari aku. Dengan kosong, maknanya aku sudah bersedia untuk mengisi sesuatu yang baru dalam hidup aku. Ia sama seperti air di dalam gelen yang penuh iaitu bila mana ia tidak dikosongkan untuk mengisi air yang lain, air tersebut akan terus melimpah tiada memberi apa-apa. Jadi, dengan menulis, aku belajar untuk mengosongkan ilmu supaya ilmu baru dapat masuk dan aku akan menulis lagi dan menulis lagi.

Kerana itu, aku belajar untuk mengagumi mereka-mereka yang punya blog dan kesempatan yang cukup banyak untuk membuat entri baru terutamanya tentang kehidupan mereka. Bravo! mereka berjaya mengosongkan dan memperbaharui ilmu mereka tentang hidup setiap hari.

Dan, sekarang, aku sedang belajar untuk berbuat begitu. 

Menyayangi dan menghargai setiap waktu aku dalam kondisi apa sekalipun.
Kerana bagi aku, Apabila Tuhan beri nyawa, maknanya Dia memberi kita hidup, kita perlu cari erti dan tujuan kita berhidup sampailah nafas kita dimatikan kelak.

# aku tidak pernah kisah kalau kawan-kawan blogger aku cerita pasal makan apa, dengan siapa, beli apa,  jalan ke mana, dan buat apa hari-hari sebab bagi aku, hidup ini cuma sekali. Jadi, nikmati ia dengan semaksimanya asalkan kau tahu di mana hadnya seorang penulis.






Monday, 18 March 2013

2 tahun

Aku adalah perempuan yang suka cuba-cuba. Tidak kisahlah soal masak-masak, mengemas atau berpakaian. Aku selalu buat try & error benda ni semua. Kalau memasak, aku akan masukkan ikut suka hati aku masa tu. Jarang sekali ikut resepi yang tulin. Selalu ada penambahan atau pengurangan. 

Ketika mengemas pun, aku agak cerewet tapi tidaklah secerewet suami aku. Dia, kalau mengemas baju, penyangkut baju warna hitam, semua barisnya warna hitam, hijau, hijaulah, merah, merahlah. Ini barisan baju kerja, ini baju t-shirt, ini baju jalan. Dia sangat teliti. Memang aku sukar nak tanding. Dia boleh tahan tidur dia untuk mengemas dan selagi tak habis, dia tak akan berhenti biarpun waktu tu dah jam 3 pagi. Aku pula, kalau dah penat, terus pengsan. Hilang dari dunia nyata. Syukurlah, aku dapat suami macam dia. 2 kali pindah rumah, 2 kali itu jugalah dia adalah penyudah untuk mengemas barang.  

Cuma, kalau bab berpakaian, dia sangat senang diurus. Tidak perlu lama-lama depan cermin. Tiada rambut pacak. Tiada rambut mohawk. Dia pakai t-shirt dan jeans dah siap. Kadang-kadang seluar paras lutut pun dah boleh jalan. Memang lelaki begitu kan, sarung dan jalan. Senang. Perempuan ada banyak lapis kena sarung, dari dalam ke luar. Semua kena bertutup. Di situlah uniknya perempuan. Semua kena dihijab untuk kebaikan.

Jadi, kalau aku mahu keluar dengan dia, aku kena siap dulu. Itu pun normal, kan? sebab perempuan lambat bersiap. Bila berdua-duaan, aku memang suka berhias lebih untuk dia. Aku mahu cantik lebih dari biasa walaupun sekadar pergi isi minyak kereta. Rugi aku rasa bila aku nampak selekeh depan dia apatah lagi, kami jarang berjumpa. Oleh tu, bila berpakaian, aku selalu pakai, buka ganti sehinggalah aku yakin akan penampilan hari tu. Dia selalu geleng kepala bila tengok pakaian dan tudung aku berselerakan di atas katil. hahaha. Perempuan.

Termasuk juga tudung, bila aku rasa tidak selesa atau tidak sedap mata memandang, aku tukar juga. Sejak berkahwin dan tahu akan hukumnya bila isteri pakai itu ini, suami yang tanggung semua. Aku mula berhati-hati dan akhirnya terbiasa.  Walaupun, tahap aku masih belum tahap paling maksima, tapi, sekarang aku sedang mencuba. Mempertimbangkan setiap perkara di pihak suami isteri adalah perkara teratas. Itu resepi kalau mahu hidup terus bahagia. Banyak aspek kena fikir dan timbang tara lebih-lebih status aku dan suami yang berjauhan. Selain ikatan dari hati, yang nampak oleh zahir pun kena kuat juga. 

Suami pernah cerita, ada yang pernah bertanya dengan dia, 'eh, kau  dan isteri tinggal jauh, kau tidak takutkah, kalau-kalau ada yang mengurat dia?'

Aku dengar soalan tu, aku sambut dengan ketawa. Hai. 

Tidak kisahlah kau tinggal dekat atau jauh dengan bini, tapi, kalau cabaran begitu yang kau kena tempuh, jalani saja semua dengan tenang.

Setiap orang ada cabaran dalam hidupnya sendiri. Dan setiap kali itulah sebenarnya salah satu cara untuk Tuhan uji dan dekatkan diri denganNYA. Kalau hidup ni terus-terus senang tanpa susah, sesekali bila kau  tiba-tiba terjatuh, gedebuk, merana jiwa kau. parah dan sengsara.

Bagi aku, jauh atau dekat itu bukan penghalang untuk bahagia. Kalau dekat, itu rezeki untuk saling menambah pahala pada status suami isteri itu sendiri. Kalau jauh pun, itu ujian untuk menambah pahala juga atas cabaran yang diberi. Jauh dan dekat itu adalah didikan untuk setiap jiwa supaya selalu ingat Tuhan. Bahawa Tuhan yang akan jadi pendamping paling  dekat pada bila-bila masa pun.


2 tahun berjauhan selama 2 tahun perkahwinan, berjauhan sewaktu berkasih-kasihan dan bertunang belum pernah buat aku serik untuk mengasihi dia. Menangis dan ketawa pernah jadi rutin dalam hidup aku seawal dahulu. Tapi, lama-lama, aku sudah lali walaupun ada sedikit rasa sebak dalam hati kerana masih belum berpeluang seterika baju kerja dia pagi-pagi. Alhamdulillah, walau aku sudah pernah membaling semua botol-botol air ke dinding ketika marah dan merajuk sehingga susah untuk dipujuk, kita bermasam muka bila keputusan berbeza tapi, sehingga ke ketika ini, hati aku tidak pernah berubah. Selamat ulang tahun perkahwinan kita untuk ke 2 pada 11hb3 2013 yang lepas. Moga kita terus bahagia. Amin,

Ya, aku sayangkan kau, suami.;)



Eh.

kononnya mahu tiru gaya tudung diana amir

# gambar tahun lepas # Peace! Berjaya buat gaya tudung  ala-ala Diana Amir tapi oleh kerana, aku tiada buat tutorial untuk rujukan sendiri, sekarang, aku  sudah melupa caranya. Hmmm.



Saturday, 16 March 2013

Petua dan pesan emak semasa mengandung

Dua tiga hari ini, buka, tutup, buka, tutup adalah antara usaha aku untuk buat cerita.
Bercuti dan menunggu dia datang seperti biasa, boleh cipta banyak perkara yang perlu dibuat dan tidak boleh dibuat.

Asyik-asyik, emak suruh makan itu ini, misalnya gulai keladi dan bendi. Katanya, untuk memudahkan si anak keluar nanti.
Kejap lagi, emak suruh pula makan sambal kelapa dan lengkuas yang dia buat. Katanya, untuk bersihkan uri si anak supaya si anak senang keluar dan bersih.
Nanti-nanti, emak minta aku sapu di permukaan perut, daun ntah apa nama yang dia dah rendam dalam air. Katanya, supaya angin-angin yang ada dalam badan hasil berjalan di waktu malam atau makan benda-benda yang berangin tu keluar dan supaya si anak mudah lahir kelak.
Petang-petang, lepas emak hilang sekejap, entah ke mana, katanya ke belakang rumah cari daun untuk aku. Kemudiaan, dia balik bawa daun yang namanya aku dengar emak sebut tapi aku tidak ambil pusing pun. Emak minta aku letak daun tu di bawah cadar tempat aku tidur. Katanya, untuk buang semua angin-angin badan juga. Kata emak lagi, itu pun untuk lancarkan waktu bersalin. Pendek kata, kalau si anak nak keluar, dia akan keluar terus, insyaAllah tak akan tersekat-sekat.

Tiap-tiap hari, malah tiap-tiap masa, emak akan pesan:

# kalau cuci piring tu, bercakap atau bersyarat dalam hati ' macamana bersih piring ni aku cuci, macam tu juga bersih anak aku keluar'. 
# Kalau keluar dari pintu, keluar terus jangan terjembul di depan pintu, supaya si anak pun nanti, keluar terus, tidak menyangkut di salurannya. 
# Kalau bangun pagi, terus bangun, kemas selimut dan cadar. Jangan bertengek lagi atas tilam, supaya katanya, si anak nanti keluar terus juga.
# Rajin-rajinkan buka tingkap atau pintu almari atau bilik atau rumah. Tapi, kalau bab nak tutup, minta orang lain tutupkan. Katanya supaya nanti pintu rahim cepat buka.
# Bangun pagi, kena mandi awal, jangan mandi tengahari supaya badan sihat. Tak lenguh sana-sini. Petang tu jam 5 macam tu, emak dah suruh mandi. Jangan mandi malam katanya. Tapi, aku selalu mandi jam 6.30 sebelum maghrib dan lepas tu kelam-kabut duduk depan tv tengok cerita Rindu Bertamu di Abu Dhabi. Haii.
# Jangan duduk terlalu lama, kena berjalan-jalan dan jangan juga jalan terlalu lama, kena duduk kadang-kadang. Kena baring bila rasa belakang dah lenguh. Kesian si anak. Dia nak rehat juga.
# Bila nampak orang pelik-pelik, emak pesan suruh diamkan diri, tutup mulut. Jangan nak cakap bukan-bukan walaupun benda tu terasa lucu, nak ketawa. Diam-diam.
# Kalau lapar, cepat-cepat makan. Jangan tahan perut. Sebab tu, pagi, tengahari dan malam, emak sentiasa pastikan ada makanan tersedia di dapur. Emak. Emak.
# Kalau perut gatal, jangan garu, tapi, ambil ibu kunyit, tumbuk dan campur dengan sedikit air, lepas tu sapu di perut. Alhamdulillah, selepas 2 minggu mengalami gatal-gatal di perut sewaktu kandungan aku 7 bulan lebih, sampai naik ruam-ruam merah di perut, malam pun susah nak tidur, apatah lagi siang, bila dah berpeluh, aku siap menangis sebab rasa gatal dan merah. Telefon emak, dia bagi petua tu. Alhamdulillah, malam tu selepas 2 minggu tidak tidur lena, aku sudah dapat tidur hingga siang tanpa menahan rasa gatal yang ada. Memang seksa betul masa tu.

Ini, separuh versi emak sepanjang menjaga aku selama sembilan bulan lebih ni. Harap-harap, semuanya aku boleh praktik lagi nanti kalau aku dimurahkan rezeki untuk anak ke-dua. Moga-moga juga, umur emak masih panjang supaya terus ada di sisi aku waktu-waktu begini. 

Setakat ini, aku cuba satukan versi emak jaga aku dengan versi aku guna teknik moden. Mudah-mudahan berkesan untuk memudahkan aku bersalin dan lahirkan anak yang sihat dan sempurna. Amin.

# Versi aku, nantilah di lain entri aku kongsikan;)




Wednesday, 13 March 2013

amalan ibu agar tidak mengalami kesukaran ketika melahirkan anak


# Menunggu hari-hari melahirkan kau, adalah momen-momen yang sangat mendebarkan walaupun ketika itu aku sedang tidur.

Kalau sudah tiba masanya, kau mahu keluar melihat dunia, beri ibumu ini petanda paling dekat. Agar, kita dapat sama-sama habiskan sesi terakhir kau bersama sahabat baik mu si tembuni. Kelak, kalau kau lahir, sahabat baikmu ada ibu pula.

# Jangan pernah risau kerana ibu akan selalu berdoa agar jadi ibu yang terbaik untuk engkau.

# Rabbi Yassir, Walaa tu'assir, fa-inna taissira 'alaika yasiirun, Rabbi tammim bikhairin.
[ Ini amalan ibu agar ibu tidak mengalami kesukaran semasa lahirkan kau, kelak ]

Tuhannku, permudahkanlah dan jangan Engkau sukarkan, kerana sesungguhnya memudahkan sesuatu itu  adalah mudah bagiMu. Tuhanku, sempurnakanlah dengan kebaikan.

Sunday, 10 March 2013

Cara aku memandang ujian hidup




Aku sedar, sejak akhir- akhir ini, pusat sensitiviti aku agak makin tinggi. Betullah apa yang aku baca dan apa yang orang kebanyakkan kata, emosi ibu hamil ni jangan dicuba-cuba diuji, kalau kau uji, siaplah. Kalau bukan dengan marah, dia akan balas dengan air mata walaupun dengan perkara yang sangat remeh. Itu klise status bagi ibu-ibu hamil, kan? Kerana itulah, jiwa-jiwa ibu hamil perlu dijaga sebaik-baiknya.


Memandang kondisi ini, aku bayangkan bagaimana dengan ibu-ibu hamil yang punya masalah tidak kira kewangan, pekerjaan, mentua, keluarga atau kecurangan suami. Aku rasa, waktu begini adalah waktu sadis bagi mereka. Kalau saja tidak punya hati yang tabah, kesihatan bayi yang dikandung pun boleh terjejas. Tapi, sebenarnya aku masih positif, setelah melalui berbagai-bagai ujian hidup, aku selalu percaya, walau macamana sekalipun teruk kita diuji, kita kena lihat dari sisi yang baik.

Misalnya, sewaktu bertemu doktor ketika aku keguguran pertama dulu dengan membawa ketulan daging yang keluar sendiri dan tunjukkan kepada doktor, rasa aku masa tu memang kosong. Sepi. Termasuk suami. Tapi, nyata, doktor tu pandai memujuk.

Katanya, ‘jangan salahkan diri sendiri bila u keguguran, its not because u 'r stress or whatever, but, u kena tau yang Tuhan tu ciptakan kita dengan sangat sempurna jadi, mungkin baby u yang ada ni tidak sempurna pertumbuhannya jadi, lebih baik ia tiada. Cuba u fikir, kalau orang yang pregnant tu akan keguguran disebabkan oleh terlalu stress atau beban kerja, macamana pula dengan buruh-buruh wanita yang kerja berat angkat simen itu ini boleh survive sampai anak mereka lahir? Kadang-kadang bukan seorang dua tapi ada buruh yang dapat anak sampai lapan Sembilan orang’.

Aku tersentak sebenarnya bila doktor tu cakap macam tu. Mata aku jadi celik. Minda aku terbuka. Fikiran aku jadi panjang. Malam sebelum ke klinik di mana bahagian ari-ari aku mula mengeras dan sakit sehinggalah ketulan daging itu keluar sendiri, aku dan suami tidak banyak bercakap. Masing-masing terkejut dan kelu. Selepas makan malam, kami tidur. Tidak mahu lansung bincangkan soalnya walaupun air mata kami seka sendiri.  Ia saat paling sadis dalam perkongsian hidup kami.

Dalam perjalanan balik dari klinik,  barulah kami mula berbincang, bercakap dan mengambil yang positif. Tidak lagi mahu bertanya kenapa dan mengapa. Kerana, aku dan dia tahu, sekurang-kurangnya Tuhan dah pinjamkan dia sekejap untuk kami rasa sangat bahagia sebelum dia diambil balik. Kami ambil sisi positifnya iaitu, mungkin kalau dia terus membesar, siapa tahu kesihatannya akan terjejas sehingga dewasa dan dia akan rasa lebih terseksa. Dan, kami sebenarnya percaya, ada hikmah yang besar di sebalik ujian ini di mana, kami kena tunggu kedatangannya. Tahulah, kesabaran kita manusia ni bukanlah tinggi terus-terus. Perlu ditanam, diasuh, digilap supaya jadi darah daging dalam diri. Insyallah, kami akan dapat ganti yang lebih baik lagi selepas itu. Begitulah cara aku dan suami memandang ujian hidup yang kami lalu waktu tu. Saling mengerti dan saling menerima apa adanya.

Kerana itu, berdasarkan dari misalan yang aku berikan di atas, aku sudah selalu positif dalam rutin aku. Tipulah kalau aku kata, aku positif 24 jam. Tidak, ada juga masanya aku jadi negatif bila benda tu mula memberi syak-wasangka dengan aku. Cuba, aku akan lekas-lekas pusing emosi melawan yang negatif. Bukan mudah bermain dengan cas positif dan negatif ni. Mental kena kuat. Hati kena ikhlas. Jiwa kena kosong syak-wasangka. Susah nak buat tapi kalau aku mahu terus lansungkan keberadaan aku di bumi Tuhan ni untuk terus merasa hidup tenang dan bahagia, inilah salah satu perkara yang aku perlu BUAT. TIADA ALASAN untuk aku kata TIDAK. Ya. Tiada kata TIDAK.

Waktu begini, ketika aku hitung hari-hari yang ada untuk menunggu si pengganti sulung ini lahir, aku cepat sangat sensitif. Walhal, aku hanya google dan baca pengalaman mereka-mereka yang telah bersalin. Masa baca dan bila saat bayi keluar selepas diteran atau dibedah, automatik air mata aku merembes keluar. Mereka sudah selamat dalam perjuangan yang satu ni, giliran aku lagi pula. Aku tidak mengharapkan apa-apa, cukuplah kalau aku dapat lahirkan dia dengan mudah, lancar, selamat dan dia sempurna sifatnya. Ya, sekarang aku tengah ketap bibir. Menahan rasa.

Tuhan, Engkau permudahkan semua urusanku melahirkan dan membesarkan anak ini kelak. Amin.



Sudah.



Dua hari lepas, aku sudah kongsikan di sini satu cerita.
Panjang berjela-jela siap dengan gambar sekali.
Kemudian, kerana kecuaian menekan butang ‘delete’ pada draft ‘post’
Habis hilang semuanya.
Sakit hati, kecewa pun ada.
Sekarang, mood sudah terbang ke mana untuk mengulang lagi cerita yang itu.
Berhenti.

Biarlah.
Entri Percutian ke Brunei tu tiada dalam senarai buku cerita aku.
Cukuplah ia hanya ada dalam fail fambar di dalam laptop dan terpuruk di sudut memori.
Biarkan.

Cuma, aku perasan ada sesuatu yang aku dapat selepas dari insiden begini.

Kau tahu apa?
Apabila sesuatu telah berlaku dalam hidup kau dan kau cuba untuk buang dan bakar semua kenangan yang ada, betullah, semuanya tiada lagi di depan mata kau.
Tetapi, semuanya akan kekal di hati dan minda kau selagi kau masih berakal.
Kalaupun kau tidak ingat semua, sikit-sikit tentu ada.

Jadi, dalam kondisi begini, kalau kau ambil sisi yang positif, kau akan bertenang  selalu tetapi kalau tiba-tiba kuasa syaitan lebih kebal dalam diri kau dan kau ambil sisi negatif, maka, jangan pernah hairan kalau hidup kau jadi tidak tenang dan tiada rasa bahagia walaupun kau ada kerja tetap, kereta mewah dan rumah besar.
Sebabnya:
Kau asyik merungut dan mengadu pada si polan dan si polan yang si anu bin si anu tu pernah buat taik di muka kau. Kau kata kau tak minta simpati sekadar untuk berpesan sebagai pengajaran pada orang lain. Sedangkan kau tak tau, kau sedang aibkan orang dan diri kau sendiri.

Mungkin kau lupa, Bila kau sembunyikan aib orang, 
Tuhan pun akan sembunyikan aib kau kelak.

Cukuplah tu.

Daripada kau asyik merungut dan membebel pasal dia dan dia. Baik lagi kalau kau buka tv tengok cerita Kartun Hagemaru. Ketawa sikit pun kira okay dah. Daripada kau kenang-kenang dia yang pernah bodohkan kau dengan perangai setan dia.

Sudah.

sponsor by:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...