Friday, 19 April 2013

Kisah Nai'ila # 4 # pengalaman bersalin


Setibanya di dalam wad bersalin, aku diminta untuk naik ke atas katil. Tetapi, waktu tu perut aku kembali sakit. Jadi, aku kena tunggu sekejap sehingga sakit itu hilang dan naik ke atas katil. Aku nampak nurse di situ relax walaupun aku rasa memang sakit amat.  Bila sakit berhenti sekejap, aku gagahkan diri untuk naik atas katil dengan bantuan nurse.

Macam biasa, mereka pasangkan tali untuk periksa tahap kontraksi dan denyutan bayi aku. Sementara sakit belum datang, aku bernafas seperti biasa dan bila kontraksi yang sakit tu menyerang, Tuhan, hanya Engkau yang tahu. Aku praktikkan apa yang aku baca. Tarik dan hembus nafas. Macam nurse tu juga cakap. Tarik dan hembus nafas. Sedayanya aku buat tapi sakit kontraksi tu lebih dari sakit yang aku alami dari kemarin. Inilah kemuncaknya. Bila sakit datang, tangan nurse tu aku pegang dan picit. Picit sungguh-sungguh. Tapi, nurse tu masih buat muka tenang. Nampak sangat dah biasa tengok orang sakit bersalin. 

Tahan punya tahan, suami pun masuk dalam bilik bersalin. Aku rasa lega. Ada semangat untuk lahirkan bayi kami. Suami sempat bergurau dengan aku bila nampak muka aku tegang. 

katanya:
' sayang, senyum dulu, relax. jangan stress '. aku gagahkan bibir untuk senyum. Orang tengah berperang dengan sakit, dia masih boleh suruh aku senyum. haih. 

Lepas tu sempat lagi tegur macam ni' eh, sayang, ada tahi matalah. haiya, apa ni, tahi mata waktu pagi-pagi'

Aku senyum malu-malu. Oh, suami. Dikaulah, raja hatiku penghibur laraku. Aku sapukan mata yang dikatanya bertahi sambil dia pun ikut sapu-sapukan muka aku.

Habis bersenyum-senyum, kontraksi aku sakit lagi. Kali ini maha sakit. Tangan suami jadi ganti tangan nurse yang tadi. Suami yang aku sudah kongsikan cara-cara menahan sakit kontraksi dengan cara tarik hembus nafas, ulangkan cara tu berkali-kali untuk aku. Sampai dia pun ikut tarik dan hembus nafas sekali, Sambil-sambil dia bisik di telinga aku, 'sayang, tarik, hembus nafas, kalau tidak, nanti baby tidak dapat bernafas'. Setiap kali dia cakap begitu, aku dayakan kudratku walaupun sakit tu memulas-mulas bagai ada benda yang mahu keluar dari bawah. Suara aku mahu menangis. Tuhan, sakitnya kontraksi ini memang berbaloi dengan pahala yang akan aku dapat. Demi Tuhan, ia sakit.

Di tepi-tepi katil, aku lihat, doktor sudah ada, nurse pun sudah sediakan barang-barang. Kali ini aku sudah tidak dapat tahan lagi. Aku betul-betul perlu push dia keluar. Aku dengar yang nurse bagitahu bukaan aku yang tadinya dikata 5 cm sudah terus ke 8 cm. Bukaan aku yang agak cepat dalam masa yang sangat singkat buat mereka sikit terkejut dan terus buat persiapan. Sakitnya memang tidak dapat aku tahan lagi. Rasa benar-benar mahu terberak yang 5 tahun lamanya menahan. 

Nurse cakapkan dengan aku:
'kalau sakit datang, kau push kuat-kuat. Letak kaki di besi ni dan tendang sekuat-kuat hati bila sudah sakit'.

Masa tu, aku betul-betul tidak sabar lagi untuk meneran. Dan, bila sakit memulas-mulas tu datang, aku push sekali panjang. Masa tu, aku dengar doktor cakap,' eh, rambut sudah nampak, push lagi '. Aku tarik nafas, bibir aku kering dan nurse tu bagi aku minum guna straw dan basahkan bibir aku.

Sakit datang lagi, aku tarik nafas dan hembus sedaya aku sambil memegang tangan suami dan dia mengusap-usap ubun-ubun aku. Tapi, teranan kali kedua berhenti dan belum dapat keluarkan bayi aku.

Lagi sekali kontraksi yang benar-benar tu datang, aku tarik nafas dan hembus sedaya kudratku panjang-panjang sambil menendang palang besi yang ku pijak tu dengan perasaan marah seperti yang nurse cakap ' tendang besi tu, tendang, tendang lagi, tendang lagi macam kau betul-betul marah'.

Dan, aku betul-betul tendang besi tu sambil hembus nafas dan teran sehinggalah bayi aku keluar. Alhamdulillah. Dia terus diletakkan atas dada aku dan waktu tu dengan automatiknya aku cakap, ' eh, tidak sakit lagi '. Aku, suami, doktor dan nurse ketawa bersama-sama. Sakit tadi yang menggila macam sekadar menipu sekejap. Masa tu juga, suami gengam tangan aku dan kata, 'nah, sudah kan?' sambil senyum yang aku rasa itu senyum dia paling manis selepas kami diijabkabulkan dulu.

Anak tadi yang di dada aku, aku cium pipinya. Ya. Tuhan, inilah manusia ciptaanMu dari benih aku dan suami. Rasa aku mahu menangis ketika itu. Satu hos dimasukkan ke mulutnya untuk sedut air ketuban dan lepas tu, dia menangis. Anak, kau telah selamat lahir di dunia, sayang!.

Sementara itu, doktor sempat lagi suruh suami potongkan tali pusat bayi. Lepas tu, dia jahit luka aku. Aku sendiri tidak tahu berapa banyak jahitan aku, cuma yang aku tahu, aku nampak tangan doktor keluar masuk menjahit tapi aku tidak rasa sakit dan waktu tu, aku dan suami tengah raikan bahagia.

Suami ambil gambar bayi kami yang tengah menangis dan ambil gambar aku juga. Ya, itu  momen-momen bahagia selepas rasa sakit yang mengerikan.

Alhamdulillah, lahir juga anak yang kami tunggu selama 2 tahun lebih. Berhasil juga usaha, doa dan tawakal kami untuk dapatkan anak walaupun duduk berjauhan. Rezeki, kalau Tuhan mahu beri, jauh atau dekat tu tidak akan pernah ada bezanya bagi DIA.



Inilah wajah yang kami tunggu selama 39 minggu 1 hari. Kami namakan dia Nai'ila Hamani Hanan. Dia selamat lahir melihat dunia jam 11.02 minit pagi.

Dia inilah yang temankan aku tinggal di rumah yang aku duduk seorang diri. Hujung minggu suami balik barulah dapat berjumpa. Dia inilah yang semangatnya begitu kuat untuk lahir di dunia berjumpa aku dan suami walaupun aku pernah tergelincir di tandas, punggung terhempas sewaktu check up di klinik. Waktu tu, aku mengandungkan dia 7 bulan lebih. Kerana dia kuat, pendarahan tidak berlaku dan dia selamat sehingga dilahirkan. Allah Maha Besar kan? Tiada siapa yang tahu rencana yang Tuhan sudah atur. Alhamdulillah.

Itulah saja kisah aku bersalinkan Na'ila. 4 rentetan kisah yang cukup panjang. Kepada yang sudi membaca sehingga habis, terima kasih untuk kamu-kamu semua. Moga setiap urusan aku dan kamu-kamu semua dipermudahkan selalu. amin.





Thursday, 18 April 2013

kisah na'ila # tiga # pengalaman bersalin

Panjang benar bagi aku bila mengisahkan tentang pengalaman bersalin. Banyak rasa  dan macam-macam jenis perasaaan yang perlu diterjemahkan. Patutlah ibu-ibu yang bersalin ni ada banyak jenis pahala yang dia dapat. Untung jadi perempuan. Boleh kumpul banyak pahala. Yang penting jalannya ada dan caranya betul.

Jadi, berbalik kepada sambungan cerita aku sampai di klinik bersalin. Sesampainya di sana, macam biasa, nurse tanya itu ini dengan aku. Aku cakapkan dengan nurse yang sakit aku dah selang 10 minit sakitnya. Waktu tu jam 5. 30 pagi. Aku terus dimasukkan wad, periksa nadi, kontraksi dan jantung bayi. Tiap kali dengar bunyi jantung bayi selalunya, hati aku jadi tenang. Entahlah, aku kurang pasti, kalau-kalau aku saja yang hadapi kondisi tentang setiap kali dengar jantung anak atau ibu-ibu lain pun ada rasa yang sama dengan aku. Dari bunyi tu, sakit kontraksi tidaklah terasa sangat jadinya. 

Berada di wad bersama-sama emak dan suami, dalam keadaan baring, aku relakan saja nurse-nurse buat pemeriksaan itu ini. Mujur aku ambil bilik untuk seorang, jadi senang sikit semua proses dijalankan terutama bila bab periksa bukaan.

Jam 6 pagi, staff di sana sediakan roti dua keping, jem strawberi, planta dan milo secawan. Emak dan suami suruh aku makan. Waktu tu, lapar pun sudah tidak terasa lagi dengan rasa kontraksi aku. Tapi, paksaan mereka buat aku mengalah dan aku makan roti sekeping. Ya, sekeping untuk alas perut aku. 

Kemudian, jam 7. 30 pagi, datang lagi nurse untuk cek bukaan aku. Kecewanya aku bila dia kata, bukaan aku baru 2 cm. Haih. Dari semalam sakit bertambah tapi bukaan bertambah 0.5 cm saja. Jadi, kena tunggu lagi sehingga bukaan bertambah. Mempercayai yang kebiasaannya bagi ibu yang baru pertama kali bersalin akan mendapat bukaan sebanyak 1 cm untuk 1 jam. Bila aku hitung, mungkin aku akan bersalin jam 3.30 petang. Lamanya, lamanya, lamanya. itu yang aku bebel sendiri. 

Dari sudut lain, aku mula risau. Sebenarnya, aku berharap sangat aku dapat bersalin normal. Seboleh-bolehnya aku tidak mahu ada apa-apa masalah berlaku. Dalam hati, aku berdoa, Tuhan, beri aku peluang bersalin normal dan permudahkanlah semuanya. 

Menunggu waktu bersalin, aku sekadar baring dan berzikir. Emak dan suami berganti-ganti duduk di atas sofa. Dan akhirnya, mereka pun tertidur menunggu aku. Melihat mereka yang tengah ikut bersusah-payah dengan aku memang mengharukan. Kasihan. Penat dan tidur tidak cukup. Tuhan, Engkau sayangilah mereka.

Lebih kurang jam 8. 30 pagi, nurse datang lagi. Bertanyakan sama ada aku sudah makan atau belum. Kalau sudah, mereka akan beri aku ubat untuk percepatkan najis keluar. Hah. Aku ada baca tentang pengalaman orang yang ini dan aku alaminya. Ubat tu bentuk cecair dan dimasukkan di dalam dubur. Dan, tidak sampai 3 minit, ubat tu terus berkesan dan buatkan aku terus ke tandas. Part ini aku suka. hahaha. kalau boleh, aku mahu ada stok ubat ini jadi senang sikit pergi tandas. 

Nurse kata, kalau kita belum buang air besar, itu adalah salah satu menyebabkan bayi susah turun. Jadi, bila najis tiada, lagi mudahlah proses bersalin. Kata-kata nurse tu memang betul, jam 9.30 pagi, bukaan aku diperiksa lagi. Dan, bukaan ku dah 3cm. Ya. Hati senang. 

Lepas tu, nurse yang tadi datang lagi dengan seorang nurse tapi warna baju lain.  Dia  kata, air ketuban aku akan dipecahkan. Aku ya kan saja. Aku mahu anak ni cepat-cepat keluar. Waktu tu, aku nampak ada sebatang kayu warna putih, entah, aku pun tidak pasti sama ada ia kayu atau tidak tapi aku gelarkan kayu putih sederhana panjang. Bila dia masukkan di bawah, serta merta aku rasa panas macam air kencing. Rasanya, ya, macam biasa, tidak sakit. Memang profesional betul staff sini. Tu aku kagum sampai sekarang. 

Tapi, selepas saja air ketuban aku dipecahkan, rasa sakit aku tiba-tiba macam aku tidak tertanggung lagi. sakit amat. Dan, aku diminta untuk pergi ke tandas dahulu sebab lepas tu aku akan dimasukkan ke dalam wad bersalin. Waktu ke tandas, mata aku dah berair, kontraksi menjadi-jadi, keluar tandas dan aku naik kerusi roda. Masa naik di atas kerusi roda tu pun aku tidak larat, siap menangis lagi, emak yang papah aku di atas kerusi roda. bergegar suara aku menangis. Sayunya muka emak masa tu. Lebih-lebih lagi waktu tu suami belum sampai dari keluar beli makanan. Sebelum sampai ke wad bersalin, suami telefon selepas aku sms dia yang aku akan masuk dalam wad bersalin. Waktu tu, lemah suara aku bercakap dengan dia dan dia pun agak cemas. Dia kata dia akan balik cepat. Ya, itu yang aku harapkan.

Kisah seterusnya aku kisahkan dalam kisah na;'ila # 4 # pengalaman bersalin. 

Tuesday, 16 April 2013

kisah Na'ila # 2 # Pengalaman bersalin

Bagaimana untuk aku memula cerita ini? 

Beginilah:

24 Mac 2013 ( Ahad )

Selepas menunggu 3 minggu lebih untuk dia sampai, akhirnya dia selamat balik ke rumah. Hati aku senang dan ketika itu aku hanya memikir untuk melahirkan anak kerana dia sudah ada. 3 minggu yang lalu, aku tahankan hati, tidak pernah jemu untuk bercakap dengan anak yang ada di dalam rahimku supaya lahir selepas suami sudah ada bersama-sama kami. Selepas solat dan setiap kali ada masa terluang, aku cakapkan dengan dia. Kadang-kadang dia beri respon dengan bergerak sewaktu aku bercakap dengan dia. Respon tu aku anggap dia sudah fahamkan. 

Bermula jam 11.10 minit pagi, aku rasa perut aku sakit semacam. Macam ada rasa menyucuk-yucuk, pinggang aku pun rasa sengal. Mulanya, aku anggap kontraksi biasa, tapi,, aku sudah rasa lain bila sakit tu datang sejam-sejam, kemudian selang 30 minit. Aku ada juga adukan pada suami tapi masa tu, kami masih yakin yang itu adalah kontraksi palsu.

Dan, petang ahad jam 3.30 petang, ya, aku sempat lihat jam, sewaktu ke tandas , mata aku bulat membesar bila ada sedikit darah di seluarku. Cepat-cepat aku keluar dari tandas dan dapatkan suami yang waktu tu tengah bersantai di beranda rumah. 

Dengan muka bersenyum-senyum, aku cakapkan dengan dia yang ada sedikit darah keluar. Dia terus tengok aku, juga sambil tersenyum lepas tu cakap ' jadi, hari ni la ni?'. Kami sama-sama ketawa. Aku jawab, ' mungkin lah ni'. waktu tu, aku dan dia sebenarnya tidak pasti dengan perasaan kami. Cuma, yang aku ingat suami ada cakap lagi ' jadi, kita akan ada anaklah ni, sayang?'  hahaha. soalan yang bagi aku, sangat Tahun satu.  Kami serius semula dari ketawa semacam tidak percaya, masa yang kami tunggu sudah pun cukup hampir. Haih. Aku bersiap, mandi dan sediakan semua barang untuk di bawa ke klinik tempat aku bersalin sambil dibantu oleh suami. 

Kami bertolak ke Kota Kinabalu Specialist centre dalam jam 4. 35 petang ditemani oleh emak dan suami.  Aku daftarkan diri aku untuk bersalin di sana. Dalam perjalanan, aku sempat telefon emak mertua, beritahu keadaanku dan minta doa semua dipermudahkan. Sepanjang perjalanan yang mengambil masa 1 jam dari  Kota Belud ke Kota Kinabalu, aku tidak putus-putus berdoa. Ya, Allah, Engkau permudahkanlah semuanya.

Sesampai di Klinik, aku bersoal jawab dengan nurse. Dia tanya bila lagi sakit, berapa lama, dan keadaan aku. Kemudian, dia bawa aku ke bilik 1 untuk pemeriksaan kontraksi, jantung bayi dan bukaan aku. Lepas cek itu ini, dia cek bukaan aku pula. ok. bukaan aku baru 1. 5 cm. Dan, dalam hati, aku puji nurse tu, dia cek bukaan aku tanpa ada rasa sakit pun. Maknanya, sakit kena seluk yang aku baca dari pengalaman orang lain dan yang orang lain beritahu aku tu tidak sama dengan pengalaman aku. Ya, betul, nurse tu buat tiada rasa sakit pun. Alhamdulilah, untuk peringkat ini, Tuhan permudahkan.  Cara nurse tu cek, dia suruh aku tarik nafas, dan aku tarik, dia masukkan jari, tidak lama lepas tu, dia keluarkan jari dengan berlumuran darah. Masa tu, aku agak sentap. Takut. Dia kata, itu memang normal. Jangan risau. Aku lega.

Memandangkan bukaan aku masih 1.5 cm, jadi, aku diminta untuk berjalan-jalan dahulu kemudian bila sudah sakit, aku disuruh datang ke klinik semula. Sebagai orang yang belum ada pengalaman, aku tanyakan dengan nurse,
' sakit tu, sakit yang macamana'
 Nurse tu jawab,
' Bila kau rasa, kau sakit yang kau sudah tidak boleh tahan lagi, kau cepat-cepat datang sini'.
Sebenarnya, waktu tu, aku masih lagi tidak dapat bayangkan sakitnya macamana. Aku anggukan saja kepala. Tanda faham.

Akhirnya, kami ambil keputusan untuk makan dulu dan selepas makan kami menginap di hotel malam tu.  Lagipun, kalau memandu balik ke rumah, ambil masa sejam, entah-entah, kalau dah terlalu sakit, takut aku terberanak dalam kereta pula. haih.

Waktu di hotel, sakit perut tu masih lagi ada dan tempohnya masih sama. Aku tahankan saja. Sementara suami dan emak sudah tidur, aku pula masih terklip-kelip. Mata aku tidak dapat lelap menahan sakit. Dari malam hingga ke pagi, Sakitnya makin terasa. Bila ia sakit, perut aku mengeras dan terasa seperti isi perut ditarik-tarik dari dalam. Daripada selang 30 minit, sakit tu jadi selang 10 minit dan aku sudah mula terpusing-pusing walaupun sakitnya sekejap-sekejap dan aku masih boleh tahan. Emak yang tidur-tidur ayam gesa kami supaya ke klinik bersalin. Mandi, berkemas dan kami ke klinik semua jam 5 pagi.

Bila sampai d klinik, bermulalah sakit sebenar bersalin. Allahuakhbar!

cerita di klinik- biar masuk part ke-2. aku tidak larat lagi untuk menaip.

Sunday, 7 April 2013

Kisah Na'ila # satu

Sudah beberapa kali aku cuba untuk buat entri tetapi, sejak tiga belas hari yang lepas, tapi, nampaknya kekangan masa yang aku ada cukup-cukup beri aku masa untuk mandi, makan dan tidur sekejap. Fasa menjadi ibu benar-benar uji kekuatan emosi aku. Sama ada aku masih terpuruk di zon selesa atau sudah bersedia untuk beralih ke zon yang selesanya tiada, kurangnya tidur, tidak enaknya makan tetapi paling bermakna bila bangun pagi ada manusia kecil di sisi untuk disusukan, dicium dan dipeluk bila-bila masa.

Haih..

Ya, alhamdulillah, anak yang ditunggu-tunggu datangnya sejak 9 bulan yang lalu sudah ada di depan mata aku.  Aku selamat bersalin pada 25 hb Mac 2013 yang lalu. Melahirkan Na'ila pada jam 11.02 minit pagi bertemankan suami di dalam wad bersalin. Sudah-sudah tentunya jadi momen paling ada erti untuk aku dan dia. 

Begitu panjang masa untuk menunggu na'ila datang dalam hidup kami.  ya, 2 tahun 13 hari adalah jangka masa yang telah pun kami berjaya laluinya tanpa seorang anak. Yang ada hanya kami berdua. Berbulan madu selama tempoh ini banyak juga menyempatkan kami untuk saling lebih mengenali dan memahami.  Bertahun bercinta pun, belum tentu sama fi'il bila dah berkahwin. Selepas  berkahwin baru tahu, dia begini, aku begitu. Resepi untuk terus  bahagia ialah terima baik buruk, busuknya wanginya diri masing-masing. Jangan perlekeh. saling menghargai. saling menerima. Tanpa syarat. Insyallah, Tuhan bagi rahmat, permudahkan semua perjalanan berumahtangga.

Alhamdulillah, sekali lagi untuk kelahiran baru manusia kecil ini. Dia lahir dengan mudah. Maka, aku semakin yakin pada zikir dan doa yang di sepanjang menunggu dia lahir. Janji Allah itu benar. Barangsiapa yang berdoa padaNya, Dia akan makbulkan.

Rabbi yassir, wala tu'asir, fa'inna taisira,a'laika yassirun, rabbi tammim bikhairin.


Selamat melihat dunia, sayang.



Na'ila ;)





sponsor by:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...